https://critoxium.com/shop/

Terkini

Solidariti untuk Orang Asli di Kuala Koh

Oleh Mohamad Azim Sholehin Abdul Shukor

 Dalam kemeriahan umat Islam menyambut Aidilfitri, kita menerima berita duka di mana komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dilanda musibah.

Dakwaan awal wabak dipercayai berpunca daripada air tercemar yang digunakan untuk aktiviti harian mereka menyebabkan kira-kira 50 Orang Asli terpaksa menerima rawatan di 3 negeri berlainan.

Kebanyakannya kini berdepan jangkitan berkaitan saluran pernafasan. Kejadian itu antara tragedi yang agak menyedihkan jika dibandingkan pencemaran Sungai Kim Kim di Johor kerana ramai yang meninggal dunia.
Kejadian yang meragut banyak nyawa seperti ini memerlukan penyelenggaraan khusus dan koordinasi pelbagai agensi.

Sebuah jawatankuasa bagi melaksanakan tugas tertentu di peringkat negeri dan persekutuan perlu ditubuhkan segera dan bersiap sedia dengan semua kebarangkalian tidak terduga.

Media sebelum ini melaporkan cadangan mengali semula 12 kubur Orang Asli itu bagi melakukan bedah siasat untuk mencari punca kematian kerana pengesahan kematian tidak dapat dibuat berikutan tiada komunikasi antara tok batin dengan pihak berkuasa.

Pernahkah kita membayangkan jika kubur salah seorang ahli keluarga kita digali semula dan apakah perasaan waris si mati? Saya tinggalkan persoalan ini untuk kita jawab sendiri.

Laporan mengenai isu ini semestinya mencetuskan kebimbangan dan spekulasi orang awam. Sehingga semalam, 1 kubur Orang Asli digali semula untuk menjalankan bedah siasat ke-2.

Kubur itu milik Romi Hamdan, 25, yang meninggal dunia pada 29 Mei lalu dilaporkan akibat jangkitan radang paru-paru atau pneumonia dan dikebumikan mengikut cara Islam di hutan Kuala Koh, keesokannya.

Sehingga semalam, 8 mayat Orang Asli sudah ditemui, tetapi pihak berkuasa tidak boleh mengambil mayat begitu saja kerana komuniti itu mungkin mempunyai ritual tersendiri untuk berbuat demikian.

Majistret mempunyai kuasa untuk mengarahkan mayat digali semula agar bedah siasat dapat dilakukan sekali lagi. Namun, penggalian semula kubur ialah pilihan terakhir untuk dipertimbangkan jika tiada ikhtiar lain kerana tindakan itu sangat sensitif dan sukar diterima waris.

Penggalian kubur bertujuan menjalankan bedah siasat ke-2 ke atas si mati untuk menyelidik bila, di mana, bagaimana dan dan apa caranya seseorang itu meninggal dunia.

Terdapat beberapa sebab yang mustahak dalam menjayakan siasatan kematian, seperti kepantasan siasatan, kesempurnaan dan lengkapnya siasatan, siasatan berkecuali dan hak masyarakat dalam siasatan.

Selain menentukan punca kematian, pegawai perubatan yang melakukan bedah siasat perlu memberi pandangan tentang kemungkinan cara kematian, identiti si mati jika belum dikenal pasti dan masa kematian atau mempunyai sebarang kecederaan.

Pemeriksaan bedah siasat forensik bermula di tempat kematian atau lokasi kejadian jenayah. Selesai proses bedah siasat, pegawai perubatan akan mengisi perincian mengenai identiti si mati dan sebab kematian dalam permit pengebumian.

Perlu dimaklumkan permit pengebumian tidak sama dengan sijil kematian. Sijil kematian ialah keterangan yang mengesahkan si mati dan didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.

Kesimpulannya, perubatan forensik bertujuan mencari kebenaran supaya pihak pengadilan dapat memberikan keputusan adil.

Hikmah daripada kejadian ini, pihak berkaitan perlu meneruskan kesinambungan dan menambah baik kebajikan Orang Asli di negara kita. Ini kerana mereka adalah warganegara dan diiktiraf sebagai Orang Asli di negara ini.

Saya memohon mereka yang membaca tulisan ini untuk kongsi sebanyak mungkin dan bersolidariti buat komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.