https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ziarah musim Aidilfitri perlu utama keberkatan

Oleh Latifah Arifin

Sambutan Syawal dalam masyarakat Islam di tanah air, biasanya akan berlanjutan selama sebulan meskipun ada yang menyifatkan sambutan Aidilfitri cukup disambut pada 1 Syawal sahaja.

Ia ada kalanya menimbulkan persoalan sama ada amalan sambutan rumah terbuka, ziarah-menziarahi dan maaf-bermaafan digalakkan atau tidak untuk dilakukan sepanjang Syawal.

Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Nabil Ahmad, berkata Rasulullah SAW menyebut ada dua perayaan khusus untuk umat Islam, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

“Justeru, meraikan Syawal adalah pada hari raya pertama tetapi hari yang seterusnya dalam bulan ini menjadi satu adat dalam masyarakat kita.

“Memandangkan ada antara umat Islam mungkin tidak berkesempatan untuk berhari raya kerana pelbagai kekangan dan tuntutan lain, maka Islam tidak menghalang daripada penganjuran majlis seperti rumah terbuka dan saling kunjung-mengunjungi yang bermatlamat untuk mengeratkan kasih-sayang sesama umat Islam.

“Bagaimanapun, apa yang perlu kita fahami perkara ini, bukanlah satu sunah seperti meraikan Syawal pada hari raya pertama,” katanya.

Nabil berkata, selagi majlis atau keraian yang dilaksanakan itu dibuat atas dasar kesyukuran dan diadakan secara sederhana tanpa diisi dengan perkara bertentangan dengan ajaran Islam, ia tidak menjadi kesalahan.

“Apa yang perlu ditekankan adalah tatacara sambutan yang sebenarnya mengikut kaedah Islam untuk mengelakkan sikap berlebihan hingga ada yang lalai dan lupa matlamat lebih besar adalah untuk mengejar keberkatan daripada Allah SWT.

“Contohnya dalam menganjurkan rumah terbuka, ia mesti diiringi dengan perasaan syukur, iaitu berkongsi rezeki dengan umat Islam yang lain.

“Apabila ada niat sedemikian, akan terhindar sikap membazir dan ingin menunjuk-nunjuk kemewahan serta kekayaan yang ada,” katanya.

Jaga kesempurnaan ibadat

Menurutnya lagi, antara perkara yang sering diabaikan dalam musim perayaan, iaitu menjaga kesempurnaan ibadat.

Katanya, Nabi berkata, ada individu yang tanpa perasaan bersalah meninggalkan ibadat wajib terutama solat dengan pelbagai alasan tidak munasabah seperti terlalu sibuk menerima undangan jamuan hari raya dan melayani tetamu yang berkunjung ke rumah.

“Ulama ada menyebut, jadilah kamu sebagai hamba Tuhan, bukannya ‘hamba’ Ramadan, iaitu apabila tiba bulan puasa, semua menjadi alim dan warak tetapi selepas keluar daripada bulan mulia ini, ibadat mula tidak tentu hala.

“Sepatutnya kita perlu meneruskan disiplin yang dilakukan sepanjang Ramadan hingga kita hafaz waktu berbuka puasa setiap hari, maka sepatutnya setiap kali masuk waktu solat terus konsisten termasuk dalam bab menyegerakan ibadat.

“Dalam situasi lain seperti bermusafir kerana memenuhi jemputan hari raya, kita perlu memperuntukkan waktu untuk solat kerana masa untuk Allah SWT sepatutnya perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata, ibadat yang dilaksanakan sepanjang Ramadan tidak sepatutnya ditinggalkan begitu sahaja, sebaliknya perlu dilazimi pada bulan berikutnya.

“Jika sepanjang Ramadan, masa untuk beribadah termasuk membaca al-Quran, solat sunat dan qiamullail boleh diperuntukkan, mengapa tidak diteruskan pada Syawal dan bulan lain.

“Teruskanlah bersedekah, menginfakkan harta kepada yang memerlukan dan melazimi solat sunat, barulah boleh dikatakan beroleh kemenangan hakiki, sekali gus contoh yang baik boleh diteladani dalam ahli keluarga serta masyarakat sekeliling,” katanya.

Menurutnya, jadikanlah Syawal sebagai bulan terbaik untuk melakukan penambahbaikan dan menilai sejauh mana Ramadan berhasil menjadikan kita lebih fokus untuk melakukan amal kebaikan serta ibadat.
Saling bermaafan amat digalakkan dalam Islam kerana ia dapat mengeratkan silaturahim sesama insan. - Gambar hiasan
 
Pegang sifat istiqamah

“Kata ulama, jika tidak boleh buat semua, jangan pula meninggalkan semuanya. Paling tidak, peganglah sifat istiqamah walaupun bagi pandangan manusia lain mungkin ia dianggap remeh.
“Jika dalam Ramadan mampu melaksanakan solat Tarawih, maka teruskan sekurang-kurangnya kerjakanlah solat sunat dua rakaat setiap hari.

“Justeru, amat penting untuk setiap umat Islam membuat senarai semak untuk melihat dan menilai sejauh mana masa yang ada dimanfaatkan sebaiknya untuk memperbaiki kelemahan dalam amal ibadat,” katanya.

Tambahnya, melakukan amal kebaikan ini tidak hanya menjurus kepada hal ibadat semata-mata tetapi dalam masa sama perlu diseimbangkan dengan turut mendisiplinkan diri dalam banyak perkara termasuk mengubah sikap dan keperibadian diri ke arah yang lebih baik.

“Ini termasuk perbuatan seharian kita seperti adab di jalan raya. Ada yang dalam perjalanan ziarah sempena Syawal tetapi melakukan perkara dilarang seperti melanggar peraturan, memaki-hamun pemandu lain dan menjadikan trek jalan raya sebagai medan berlumba.

“Selain itu, dalam bersilaturahim dan saling mengunjung, perlu juga diingat untuk menjaga akhlak supaya tidak mengguriskan hati tetamu, sebaliknya ungkapkan perkataan baik-baik dan santuni seikhlas hati.

“Jika Syawal diisi dengan perkara yang sia-sia, tidak ada makna sambutan yang dianjurkan Islam sebagai ganjaran dan bagi menggembirakan umat Islam,” katanya.

Selain itu, Nabil turut menyentuh mengenai hukum meraikan dan menjemput orang bukan Islam sebagai tetamu bagi sambutan Aidilfitri.

Menurutnya, Rasulullah SAW ketika hayatnya menyampaikan risalah Islam bukan hanya kepada kelompok orang Islam tetapi turut meraikan masyarakat bukan Islam.

“Tidak jadi kesalahan untuk menjemput atau melayani tetamu dalam kalangan bukan Islam seperti jiran tetangga dan sahabat-taulan.

“Islam tidak mengehadkan siapa jemputan kita dan agama dianuti dan hikmahnya mereka dapat melihat sendiri bagaimana Aidilfitri ini diraikan, selain menunjukkan Islam tidak memisahkan atau meminggirkan mereka.

“Apa yang lebih penting dalam meraikan Syawal dengan orang bukan Islam, perlu jaga adab kita dan pastikan sambutan Aidilfitri itu dilaksanakan berlandaskan syariat agama.

“Maksudnya, tunjukkanlah contoh yang baik termasuk daripada aspek komunikasi, menjaga aurat dan tonjolkan kemanisan Islam melalui juadah makanan halal bagi menjamu mereka,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.