https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kaji semula pendekatan majukan kampung

Oleh Saidon Idris

Sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan pasti saya akan mencari masa untuk balik ke kampung di Perak. Walaupun ada beberapa pilihan laluan, biasanya dari Kuala Lumpur saya akan menggunakan lebuh raya PLUS dan keluar di Plaza Tol Sungkai.

Dari situ saya akan mengambil jalan pintas melalui Jalan Kuala Bikam-Sungkai, seterusnya ke Langkap, Sungai Manik, Kampung Gajah dan ke rumah ibu saya di Kampung Lambor Kiri.

Dalam perjalanan sekitar tiga jam itu, saya melalui banyak kampung tetapi ada dua yang begitu menarik perhatian saya, iaitu Kampung Baru Kuala Bikam, Bidor dan Kampung Baru Chui Chak, Langkap. Jarak antara kedua-duanya sekitar 15 kilometer.

Apa menarik perhatian saya tentang kedua-dua kampung yang majoritinya didiami masyarakat Cina ini ialah bagaimana penduduknya berjaya membina kekuatan tersendiri dalam bidang pertanian.

Bina kesepakatan

Mereka kelihatannya berjaya membina kesepakatan dalam pengkhususan tanaman diusahakan. Kampung Baru Kuala Bikam dalam penanaman buah-buahan, manakala

Kampung Baru Chui Chak pula tanaman padi yang diselitkan juga dengan tanaman kontan lain.
Pengkhususan ini membolehkan mereka membangunkan prasarana diperlukan untuk mengusaha dan memasarkan hasil tanaman.

Apabila melalui Kampung Baru Kuala Bikam, selain deretan gerai yang menjual buah-buahan segar kita juga akan bertemu sebuah pusat pengumpulan hasil tanaman untuk penduduk memasarkan buah-buahan dihasilkan.

Saya tidak pasti sama ada pusat pengumpulan itu diusahakan agensi kerajaan yang berkaitan atau atas inisiatif penduduk kampung itu.

Tetapi yang pasti kemudahan itu yang membolehkan penduduk kampung ini meneruskan usaha mereka sehingga sekarang kerana dalam bidang pertanian prasarana paling penting sekali ialah sistem pemasaran yang cekap kerana sifat hasilnya yang cepat rosak.

Dari segi pemodenan dan sistem pemasaran, apa yang ada di kedua-dua kampung itu mungkin tidak setanding dengan apa yang ada di negara maju seperti Jepun, tetapi asasnya sudah ada. Apa yang perlu dilakukan ialah mengemaskan dan memajukannya.

Kerajaan kini serius mengubah kehidupan masyarakat desa dan petani kita. Mungkin tidak salah jika agensi berkaitan menjadikan kampung yang sudah ada asas baik seperti Kampung Baru Chui Chak serta Kampung Baru Kuala Bikam ini sebagai sampel dan menggunakan model pembangunan berkenaan untuk memajukan kampung lain di seluruh negara.

Sebenarnya usaha memajukan masyarakat desa dan memodenkan pertanian ini buka perkara baharu. Pelbagai jabatan dan agensi telah ditubuhkan dan berbilion ringgit disalurkan bagi tujuan itu, tetapi berdasarkan hakikatnya hari ini, tidak salah jika dikatakan tahap kejayaannya amat kecil.

Bergerak sendirian

Sudah sampai masanya strategi dan pendekatan sedia ada dilihat semula. Contohnya, ada banyak jabatan dan agensi yang ada kaitannya dengan pertanian serta kemajuan masyarakat desa, tetapi masing-masing seperti bergerak bersendirian mengikut pengkhususan masing-masing. Program dijalankan juga ada kalanya seperti bertindih.

Tidak dinafikan usaha memajukan desa dan pertanian membabitkan pelbagai bidang dan kepakaran, tetapi ia mesti disepadukan agar program yang mahu dilaksanakan dilakukan serentak.

Dalam usaha menggalakkan pesawah menanam tanaman kontan bagi menjana pendapatan tambahan misalnya, pelbagai agensi yang berkaitan pembekalan benih, pembiayaan, latihan dan pemasaran perlulah bergerak serentak supaya nanti tidaklah timbul masalah seperti hasil tanaman tidak berkualiti atau yang lebih teruk lagi, tiadanya tempat untuk memasarkannya.

Peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu diperkasakan supaya pegawainya di peringkat negeri dan daerah dapat berperanan sebagai penyelaras dan penggerak agenda pembangunan desa.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Kanan

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.