https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dari 'rumah putih' ke lorong sesat


Oleh Zin Mahmud 

Kumpulan Rumah Putih ditubuhkan di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur oleh Ashaari Muhammad pada 1968. Ketika itu dia berusia 31 tahun.

Saya berada di darjah tiga dan berusia sembilan tahun. Bapa saya pula berusia 30 tahun dan kami sekeluarga tinggal di Mindef yang berjiran dengan Kampung Datuk Keramat.

Kami sering membeli keperluan dapur dari pasar kampung itu.

Suasana politik negara pula sedang bergolak. Sebahagian besar orang Melayu berasa tidak puas hati dengan kepemimpinan Tunku Abdul Rahman Putra yang menjadi perdana menteri hampir 11 tahun.

Malaya sudah mencapai kemerdekaan lebih 10 tahun dan pelbagai harapan orang Melayu masih tidak tercapai. Misalnya bahasa Melayu yang dijanjikan menjadi bahasa rasmi pentadbiran, pendidikan dan perundangan tetapi belum terlaksana. Itu belum lagi dikira kedudukan orang Melayu dalam ekonomi.

Perikatan yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC sedang menghadapi cabaran besar dalam PRU yang dijangka diadakan tahun berikutnya.

Bukan saja Umno bergolak bahkan MCA juga. Setelah berlaku pemilihan parti yang memecah-belahkan, calon presiden yang kalah, Lim Chong Eu, meninggalkan MCA dan menubuhkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia.

Anggap PAS sama macam Umno

Maka parti pembangkang utama Melayu, PAS, kekal memerintah Kelantan. Yang dipertuanya, Asri Muda, merupakan menteri besar. PAS menjadi harapan orang Melayu untuk mencabar dan menyedarkan Umno.

Tetapi Ashaari yang pernah menjadi aktivis PAS berasa tidak puas hati terhadap Asri. Baginya PAS hanya memberikan perhatian pada tetapi tidak membina gaya hidup Islam.

PAS dianggap Ashaari sama seperti Umno, justeru tidak akan membawa kejayaan buat orang Melayu.

Bagi dia, hanya dengan kembali kepada Islam “sepenuhnya” dari semua segi dalam kehidupan, barulah negara ini berjaya.

Maka Ashaari dan penyokongnya keluar dari PAS dan mengadakan halaqah (kumpulan diskusi) di rumahnya di Kampung Datuk Keramat. Rumahnya berwarna putih dan anggota kumpulan itu berpakaian jubah dan serban putih.

Pada 1971, kumpulan Rumah Putih itu diberi nama Darul Arqam.

Pada tahun 1975, saya berada di tingkatan empat dan tinggal di Kampung Datuk Keramat. Pada tahun itu juga Darul Arqam berpindah ke Kampung Sungai Penchala, Selangor.

Di Pasar Datuk Keramat ada seorang penjual yang berniaga produk-produk basah buatan Melayu iaitu tauhu, fucuk, tempe, mi dan mihun di samping ikan, ayam, sayur dan ulam. Saya sering membeli barangan halal berkenaan dari situ.

Perlu diingat, pada masa itu tidak banyak lagi produk yang disahkan halal. Malah pensijilan halal belum diwujudkan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) belum ditubuhkan.

Gerai itu juga menjual kicap, sabun dan ubat gigi buatan orang Al-Arqam.

Anak muda tak puas hati

Peniaga itu juga menjual akhbar bulanan bernama Al-Arqam. Ia diterbitkan dalam dua versi, iaitu tulisan Rumi dan Jawi. Arqam juga sudah mempunyai logo iaitu bulan bintang bersinar, serta sebuah menara putih dengan latar belakang hijau.

Beberapa tahun kemudian, ada seseorang memberitahu saya menara putih itu sebenarnya menggambarkan menara Masjid Umayah di Damsyik kerana terdapat satu riwayat yang menyatakan, Imam Mahdi akan datang ke situ menjelang hari kiamat.

Pada 1975, suasana politik, sosial dan ekonomi sedang mengalami perubahan mendadak.

Malaysia di bawah kepemimpinan Abdul Razak Hussein sedang melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dasar-dasar lain yang diharapkan dapat memperbaiki kedudukan sosial dan ekonomi orang Melayu, sekali gus mewujudkan negara yang stabil dan maju.

Tetapi orang Melayu terutama anak-anak muda masih rasa tidak puas hati.

Pada 1974, berlaku demonstrasi besar-besaran pelajar yang berasa kemiskinan terutama dalam kalangan orang Melayu tidak diatasi oleh kerajaan.

Serentak itu, ada pandangan yang menganggap masalah pada negara dan dunia berpunca daripada umat Islam tidak mengamalkan ajaran agama sepenuhnya.

Maka umat Islam mesti kembali kepada perkara asas atau fundamental. Kefahaman ini dipanggil oleh para pengulas sebagai “fundamentalis". Ia bukan saja berlaku di Malaysia tetapi di negara-negara Islam lain terutama dalam kalangan anak-anak muda.

Istilah itu kini tidak lagi digunakan. Sekarang ia digantikan dengan "Islamis".

Undangan ceramah di sekolah

Pada akhir 1970-an, muncul tiga kumpulan yang disifatkan sebagai gerakan dakwah untuk menampung perasaan berkenaan. Mereka ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), jemaah Tabligh dan Al-Arqam.

Di United Kingdom pula, pelajar-pelajar Malaysia menubuhkan gerakan Islamic Representative Council (IRC) dan Suara Islam.

Ada satu ketika, terdapat hasrat Al-Arqam untuk menyertai Tabligh. Tetapi ia tidak jadi sebab kaedah pergerakannya tidak sama. Abim pula pernah menawarkan jawatan ketua Selangor tetapi Ashaari menolak.

Bagaimanapun, ada satu ketika dia menerima jawatan ketua Biro Dakwah Abim. Beberapa tahun kemudian, Ashaari melalui bukunya mengkritik pertubuhan itu yang disifatkannya hanya sibuk mengadakan seminar tetapi tidak membina sahsiah ahli-ahlinya.

Ketika saya berada di tingkatan enam (1978) di sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor, pernah suatu ketika seorang wakil Al-Arqam diundang untuk memberi ceramah di dewan sekolah.

Saya hadir sepertimana pelajar-pelajar lain. Wakil Al-Arqam itu ialah Akbar Anang yang mengetuai bahagian ekonomi pertubuhan tersebut.

Dia berpusat di Muar dan menjadi orang kanan pertama meninggalkan kumpulan itu apabila menyedari Ashaari mengamalkan ajaran sesat.

Apabila saya memasuki Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada 1979, ada tiga kumpulan Islam iaitu Abim, Tabligh dan Al-Arqam. Golongan Abim menang pilihan raya kampus.

Kumpulan Tabligh dan Al-Arqam pula bergerak berasingan.

Aurad Muhammadiyah belum timbul

Semasa cuti semester ketiga-tiga kumpulan itu mengadakan program untuk pelajar. Kumpulan pro-Abim melalui Persatuan Mahasiswa UPM (PMUPM) menganjurkan program kampung angkat. Mereka pergi dengan bas universiti.

Begitu juga dengan Tabligh yang mengadakan program mereka di Masjid India Kuala Lumpur. Pelajar-pelajar yang mengikut program Al-Arqam pergi ke Kampung Sungai Penchala.

Salah seorang pesertanya memberitahu saya, program Al-Arqam adalah ringan dan menyeronokkan. Tidak ada ceramah yang memberatkan kepala, sebaliknya dipenuhi dengan alunan selawat dan nasyid-nasyid yang enak didengar.

Antaranya ialah nasyid doa taubat. Selain itu makanan yang disediakan dalam program-program mereka juga dikatakan enak.

Semasa itu Al-Arqam belum lagi diketahui sebagai kumpulan yang mengamalkan ajaran sesat. Ia sekadar kumpulan yang dilihat amat konservatif.

Belum timbul soal amalan Aurad Muhammadiyah, amalan poligami yang berleluasa dan pemakaian berpurdah.

Tetapi ketika itu saya sudah mengesan bahaya Al-Arqam yang akan menjadi kultus apabila diberitahu bahawa kumpulan itu tidak membenarkan pengikutnya membaca buku-buku selain daripada tulisan Ashaari yang mereka terbitkan sendiri.

Bagi saya larangan membaca buku lain bermakna kumpulan itu menjadi tertutup dan menjadi ancaman kepada masyarakat serta negara. Pada masa itu lagi sepatutnya perkembangan Al-Arqam perlu dihalang.

Al-Arqam terus berkembang pada era 1980-an. Saya mendapat tahu ada pelajar Institut Teknologi Mara (ITM) yang berhenti belajar kerana hendak menyertai Al-Arqam.

Bagi saya Al-Arqam boleh mengancam aspirasi pendidikan dan ekonomi orang Melayu.

Kumpulan mula berpecah

Pada 1982 saya menyertai Utusan Melayu sebagai wartawan. Ketua Pengarang Kumpulan, Zainuddin Maidin, mengambil pendirian menentang Al-Arqam yang disifatkannya sebagai gerakan negatif buat orang Melayu.

Ada beberapa kakitangan Utusan sendiri yang menyertai Al-Arqam termasuk dalam kalangan wartawan dan pelukis grafik.

Namun begitu, Al-Arqam amat aktif dalam bidang perniagaan termasuk penerbitan majalah. Pada 1983 saya mengunjungi Ekspo Ekonomi Al-Arqam di Dewan Sivik Petaling Jaya. Pelbagai jenis produk keluaran mereka dipamerkan dan dijual.

Ia adalah sesuatu yang tidak dilakukan oleh pertubuhan dakwah yang lain.

Pada 1984 saya membuat liputan dan pembongkaran kumpulan tersebut apabila timbalan ketua Al-Arqam, Mokhtar Yaakob, pula keluar. Alasan tindakan tersebut diambil ialah kerana Ashaari didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Terdapat beberapa pengikutnya turut mengambil tindakan sama.

Saya pergi ke rumahnya di Temerloh dan akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Melayu menyiarkan laporan mengenai perpecahan kumpulan tersebut di muka depan akhbar.

Ekoran itu, setiap hari Utusan menyiarkan berita mengenai keburukan Al-Arqam dan bahayanya sambil menyeru kerajaan mengharamkannya.

Bagaimanapun pengharamannya hanya dibuat 10 tahun kemudian iaitu pada 1994.

Ashaari pula ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) apabila ada tanda-tanda kumpulan itu sedang menuju ke arah perbuatan yang mengancam keselamatan negara.

Ketika itu Ashaari berusia 56 tahun. Dalam tempoh 10 tahun itu sudah tentu berlaku keburukan yang menimpa banyak keluarga di seluruh negara terutamanya mereka yang meninggalkan pendidikan, terlepas peluang kerjaya dan juga kehilangan hubungan keluarga.

Andainya Al-Arqam tidak mengikuti ajaran sesat dan tidak mengamalkan poligami berleluasa, serta ahli-ahlinya pula tidak diajar untuk taasub kepada pemimpinnya, mungkin pertubuhan ini boleh lebih berjaya dalam usaha perniagaannya yang dapat menyumbang kepada ekonomi umat Islam.

ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.