https://critoxium.com/shop/

Terkini

Transisi dari Darul Arqam ke GISBH


Oleh N Faizal Ghazali

Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) tiba-tiba menjadi kontroversi selepas pembongkaran kegiatannya dengan pelbagai dakwaan dikaitkan terhadap mereka.

Ia bermula selepas sebuah NGO dikenali sebagai Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) Malaysia mendedahkan kegiatan GISBH termasuk dakwaan mengamalkan ajaran sesat dan eksploitasi kanak-kanak.

Rentetan daripada itu Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin turut membangkitkan isu keganasan dan kekejaman yang dikaitkan dengan GISBH sambil menggesa pihak berkuasa segera bertindak.

Akhirnya pada 11 Sept lalu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak dengan menyerbu 20 rumah amal dipercayai milik GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam satu sidang media ketika itu mendedahkan secara keseluruhan lebih 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan.

Angka itu kemudian meningkat menjadi 572 hasil daripada operasi lanjut yang diambil pihak berkuasa.

GISBH bagaimanapun mengeluarkan kenyataan menafikan mereka mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja dan menyatakan pihak mereka tidak akan berkompromi dengan aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kanak-kanak. Razarudin kemudiannya mengesahkan hasil rampasan dalam Op Global yang dilancar PDRM menunjukkan GISBH mempunyai kaitan dengan pertubuhan Darul Arqam (al-Arqam) iaitu sebuah organisasi yang difatwakan sesat serta diharamkan pada 1994.

Apakah al-Arqam?

Pusat Penyelidikan PAS Pusat dalam sebuah artikel menyatakan al-Arqam merupakan pertubuhan serpihan yang muncul daripada langkah bekas parti itu.

Pengasasnya Ashaari Muhammad dilaporkan tidak berpuas hati terhadap PAS yang dianggapnya mengabaikan bidang ekonomi dalam perjuangan mereka.

Lalu dia bertindak menubuhkan sebuah gerakan dakwah yang aktif dan berpengaruh sejak 1970-an hingga 1990-an.

Kejayaan dan pengaruh kumpulan itu membolehkan mereka bertapak dalam sebuah perkampungan di Sungai Penchala.

Pada suatu ketika al-Arqam begitu sinonim dengan petempatan yang terletak di pinggir Petaling Jaya dan Kuala Lumpur itu.

Sebelum dinamakan al-Arqam, gerakan itu pada awalnya berskala kecil dikenali sebagai usrah Rumah Putih yang bertapak di Keramat.

Pertubuhan tersebut kemudian berkembang pesat melebihi sekadar gerakan dakwah sebaliknya dilihat turut berdiri sebagai entiti perniagaan yang berjaya melebarkan sayap malah hingga ke luar negara.

Pada suatu ketika Ashaari juga pernah diyakini para pengikut al-Arqam sebagai bakal perdana menteri Malaysia terutama apabila mereka melihat kegiatan kumpulan itu tidak diganggu atau dikawal oleh pihak berkuasa.

Pertubuhan berkenaan turut memberitahu mereka bersedia mentadbir hal ehwal Islam negara ini dengan menawarkan diri mengelola Pusat Islam - yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam sejarahnya boleh dikatakan antara al-Arqam satu pertubuhan dakwah paling berpengaruh dengan pertambahan pengikut dari semasa ke semasa sama ada dalam atau luar negara.

Ia diperkuatkan dengan personaliti, populariti dan kepimpinan Ashaari sebagai Sheikul Arqam atau lebih dikenali sebagai Abuya dalam kalangan pengikut serta ahli pertubuhan terbabit.

Pertubuhan itu kemudian diharamkan apabila didapati mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah.

Siapakah Abuya Ashaari?

Nama sebenarnya ialah Asaari Mohamad dan lahir pada 30 Okt 1937 di Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan.

Dia mendapat pendidikan awal di kampungnya sebelum mengikuti pengajian di Madrasah Hishamuddin di Klang, Selangor.

Dalam kalangan pengikutnya, Ashaari lebih dikenali sebagai Abuya dan dikatakan pernah berkahwin dengan lima wanita. Hasil rumah tangga yang dibina itu dia dikatakan mempunyai 34 orang anak.

Pada awalnya dia bekerja sebagai guru agama kerajaan dan berkecimpung dalam gerakan politik PAS termasuk pernah menjadi calon parti itu untuk kerusi Bangsar dalam PRU pertama sejak Malaysia merdeka, iaitu pada 1964.

Apakah Aurad Muhammadiyah?

Secara umumnya Aurad Muhammadiyah merupakan bacaan wirid yang diamalkan oleh kumpulan Tarekat Muhammadiyah.

Ia diperkenalkan oleh individu dikenali sebagai Sheikh Muhammad Abdullah as-Suhaimi (Sheikh Suhaimi) yang berasal dari Jawa Tengah, namun meninggal dunia di Klang pada 1925.

Terdapat dakwaan kononnya Sheikh Suhaimi menerima ajaran wirid Aurad Muhammadiah dari Rasulullah SAW di dalam Kaabah. Bahkan dia mendakwa Rasulullah menjelma di hadapannya secara sedar dan mengajar sendiri bacaaan wirid tersebut.

Pengikut Sheikh Suhaimi meyakini bahawa dia seorang wali besar dan Imam Mahdi. Ia kemudian menjadi pegangan pengikut al-Arqam dan dianggap daripada ajaran dan akidah sebenar Islam.

Aurad Muhammadiyah difatwakan haram pada 1988.

Apa selepas al-Arqam diharamkan?

Pada Ogos 1994 al-Arqam difatwakan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan diharamkan susulan mengamalkan amalan Aurad Muhammadiyah yang menyeleweng.

Ashaari bersama beberapa pemimpin kanannya ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk suatu tempoh dan mereka dibawa menjalani proses pemulihan.

Kemuncak proses itu ialah kemunculan Ashaari bersama beberapa pengikutnya yang membuat pengakuan bahawa mereka menyeleweng dan kembali bertaubat.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung oleh stesen TV Malaysia.

Selepas itu Ashaari dikenakan tahanan rumah di Rawang dan Labuan sebelum dibebaskan pada 25 Okt 2004. Dia akhirnya meninggal dunia pada 2010.

Pada umumnya selepas difatwa sesat dan diharamkan, al-Arqam dianggap sudah menjadi sejarah.

Namun di peringkat akar umbi nampaknya ia tidak terkubur dalam erti kata sebenarnya. Dalam diam-diam pengaruh dan ajaran tersebut masih menebal dalam kalangan sesetengah pengikut tegar.

Malah dikatakan mereka masih menghidupkan fahaman ‘al-Arqam’ secara bersembunyi selain terdapat cubaan untuk menghidupkan semula pertubuhan itu dengan penjenamaan baru.

Rufaqa’ ganti al-Arqam?

Sebuah syarikat perniagaan yang dinamakan sebagai Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd ditubuhkan oleh bekas pengikut al-Arqam. Ashaari - yang dipaparkan secara terbuka sudah bertaubat sebelum itu - dilantik sebagai pengerusi eksekutif syarikat berkenaan.

Entiti perniagaan tersebut berpusat di Rawang, Selangor dengan tumpuan pelbagai bidang perniagaan termasuk rangkaian pasar raya dan klinik selain entiti yang tersebar di beberapa negara luar.

Dilaporkan Rufaqa’ juga berkembang dengan penglibatan lebih 300 kakitangan.

Sekitar Nov 2006 pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan serbuan terhadap Rufaqa’ di sebuah premis di Shah Alam, Selangor.

Lebih 100 orang termasuk empat pemimpin utama syarikat itu ditahan dalam serbuan berkenaan atas dakwaan cuba menghidupkan semula ajaran al-Arqam.

Sebahagian mereka dibebaskan dengan jaminan, manakala mereka yang disyaki terlibat dengan dakwaan itu didakwa di mahkamah.

Transformasi selepas Rufaqa’

Semasa era kegemilangan al-Arqam, kumpulan tersebut turut melebarkan pengaruh dan membina imej mereka yang tersendiri melalui cabang seni serta media massa.

Misalnya mereka tampil dengan beberapa kumpulan nasyid seperti NadaMurni, The Zikr dan lain-lain yang menghasilkan pelbagai album berunsur ketuhanan.

Namun, selepas al-Arqam diharamkan kumpulan nasyid utama (popular) mereka turut terbubar sebelum ahlinya membawa haluan sendiri dengan sesetengahnya menubuhkan kumpulan baru.

Ketika itulah muncul kumpulan nasyid popular seperti Raihan, Rabbani, dan Hijjaz yang membentuk gelombang baru dalam dunia seni hiburan.

Kumpulan berkenaan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia malah diterima baik di persada arus perdana, selain dianggap sebagai alternatif kepada hiburan sedia ada.

Pada suatu ketika kumpulan Raihan memenangi pelbagai anugerah selain meraih jualan album tertinggi di pasaran industri dan turut mendapat sambutan di peringkat antarabangsa.

Penglibatan kumpulan-kumpulan nasyid itu bagaimanapun dilihat tidak lagi dibayangi dengan pengaruh al-Arqam.

Selepas kes melibatkan Rufaqa’, isu membabitkan al-Arqam mula terpadam seolah-olah tiada lagi sebarang pengaruh yang boleh dibimbangi mengancam kesejahteraan Islam. Pada masa sama munculnya pula jenama GISBH yang pada awalnya disedari sebagai syarikat yang dijalankan oleh bekas pengikut al-Arqam yang sudah kembali ke pangkal jalan.

Syarikat yang ditubuhkan pada 2008 itu dilihat meneruskan model perniagaan seperti formula al-Arqam termasuk melebarkan empayar pernigaan ke seantero dunia.

Kejutan GISBH selepas 15 tahun yang tenang

Pada 2008 sebuah entiti yang dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn Bhd muncul dan menjalankan pelbagai aktiviti seperti perniagaan dan perusahaan lain.

Syarikat itulah yang kemudiannya berkembang meluas dan menjadi GISBH beberapa tahun kemudian.

Selepas kira-kira 15 tahun mengecapi tempoh ‘tenang’, GISBH menggemparkan negara dengan pelbagai dakwaan menyalahi undang-undang.

Pada 19 Sept lalu, Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan PDRM melakukan serbuan di 82 premis. Hasilnya 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan, manakala 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi yang turut disertai Jakim itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran Islam serta barang khurafat turut dirampas.

Di Pulau Pinang, empat premis termasuk dua pusat jagaan kanak-kanak disyaki terkait dengan GISBH diserbu. Polis kemudian merampas enam buku atau kitab disyaki berkaitan dengan ajaran al-Arqam.

Di Melaka pula sebanyak 285 barangan berkaitan ajaran al-Arqam termasuk gambar Ashaari ditemukan dalam serbuan ke atas 19 premis berkenaan GISBH.

Di Kelantan pula, tiga rumah yang dipercayai menjadi petempatan keluarga ketua pegawai eksekutif GISBH di Kampung Panji diserbu. Pelbagai jenis buku serta dokumen berkaitan syarikat itu ditemukan ditanam di tepi pinggir sungai selain ada yang turut dibakar.

Langkah itu dipercayai diambil mereka sebagai cubaan menghapuskan sebarang bukti kaitan dengan GISBH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar berkata isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibincang oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang dari Selasa hingga Khamis ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) giat memantau kandungan media sosial membabitkan GISBH termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir masyarakat.

Antara kontroversi melibatkan GISH

Pada penghujung 2011 hingga 2012 masyarakat negara ini digemparkan dengan sekumpulan wanita yang dikaitkan dengan Kelab Taat Suami (KTS) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

Kemunculan KTS ini menjadi kontroversi selepas mereka menerbitkan buku Seks Islam: Perangi Yahudi untuk kembalikan seks Islam kepada dunia.

Mereka yang terdiri daripada isteri pemimpin dan anggota GISBH itu turut melancarkan kempen Perangi Seks Haram: Taat Kepada Suami.

Kementerian Dalam Negeri ketika itu mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan buku tersebut.

KST dipimpin isteri kepada Ashaari iaitu Khadijah Aam dan beberapa individu lain, manakala Rohaya Mohamed menjadi naib presidennya.

Ia turut mencuri perhatian ramai ketika itu apabila mereka mengeluarkan kenyataan agar golongan isteri melayan suami seperti "pelacur kelas pertama."

Kenyataannya itu mengundang kontroversi sekali gus memaksa kerajaan mengambil tindakan termasuk meneliti status pendaftaran KST.

Apakah dakwaan penyelewengan GISBH?

Pihak polis mendedahkan siasatan terkini mendapati pengikut GISBH masih berpegang kepada ajaran al-Arqam walaupun kumpulan itu sudah diharamkan sejak berpuluh tahun lalu.

Ia susulan penemuan bukti antaranya berbentuk risalah dan buku-buku berkaitan pertubuhan tersebut.

Selain itu anggota GISBH juga dikaitkan dengan penderaan fizikal, pengabaian dan penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja; ugutan jenayah; amang seksual terhadap kanak-kanak; pemerdagangan manusia; dan pengubahan wang haram.

Setakat ini dilaporkan PDRM sudah membekukan 153 akaun berkaitan GISBH membabitkan wang berjumlah RM882,795.94.

Selain itu sebanyak 38 motokar pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM3.94 juta dan 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan turut disita.

GISBH melalui lawan web rasminya secara jelas menyatakan syarikat itu diasaskan oleh Ashaari, dan kini diketuai Nasiruddin Mohd Ali sebagai pengerusi eksekutifnya.

Dalam video korporatnya, GISBH diperkenalkan sebagai sebuah syarikat konglomerat Muslim bertaraf antarabangsa dan beroperasi di 20 negara.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.