Haji: Perhubungan kini lebih mudah
KUALA LUMPUR 3
Julai - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menjalin kerjasama dengan
Mobily di bawah Program Sahabat Korporat TH akan memberi perkhidmatan
kad sim prabayar kepada jemaah haji Malaysia bagi memudahkan mereka
menghubungi keluarga semasa berada di Tanah Suci.
Menurut kenyataan Tabung Haji di sini, pihak
Mobily akan memberikan satu kad prabayar kepada setiap jemaah haji
Malaysia semasa di stesen berlepas sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Kata
kenyataan itu, kad prabayar tersebut hanya boleh diaktifkan di Mekah
dan Madinah sahaja di mana para jemaah dikehendaki membawa sim kad serta
lencana pengenalan diri.
“Petugas Mobily akan mengimbas jari jemaah haji di kaunter Mobily yang akan dibuka di setiap bangunan penginapan.
“Bagi
jemaah haji Malaysia yang ingin menggunakan kad prabayar syarikat
telekomunikasi lain, pendaftaran telah diselaraskan dengan hanya
menunjukkan lencana pengenalan diri jemaah haji sahaja,” katanya di sini
hari ini.
Tambah kenyataan itu, ia bagi
memudahkan para jemaah kerana pasport mereka akan diambil dan diserahkan
kepada pihak Muassasah semasa tiba di Arab Saudi.
Katanya,
peraturan Kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan setiap seorang
jemaah haji mempunyai satu talian juga hendaklah dipatuhi.
Tambahnya
lagi, setelah pengaktifan kad prabayar Mobily dilakukan, jemaah haji
hendaklah menambah nilai kredit kepada akaun yang didaftarkan serendah
SAR5 (RM5.51) bagi mendapatkan dua gigabait data percuma selama tiga
hari mengikut keperluan masing-masing.
“Kiosk
Mobilly di bangunan penginapan juga menyediakan perkhidmatan tambah
nilai dan gantian kad sim. Tabung Haji dan Mobily berharap perkhidmatan
yang disediakan ini dapat membantu jemaah haji menghubungi keluarga dan
saudara mara mereka di Tanah Air,” ujarnya.
Untuk
makluman, terdapat pelbagai pilihan kad sim prabayar yang dijual oleh
syarikat telekomunikasi di Arab Saudi seperti Mobily, Saudi
Telecommunications Company (STC), Zain dan lain-lain.
Menurut
kenyataan tersebut, selain itu, bagi jemaah yang tidak mempunyai
telefon bimbit, syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) akan meneruskan
perkhidmatan i-Talk yang membolehkan jemaah membuat panggilan ke tanah
air pada kadar berpatutan iaitu SR1 (RM1.10) seminit.
“Tabung
Haji ingin mengingatkan kepada jemaah haji untuk tidak membeli kad sim
prabayar daripada agen tidak bertauliah di Terminal Haji, tempat rehat
dan rawat atau sekitar bangunan penginapan jemaah haji,” ujarnya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.