https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anwar nafi Azmin 'kebal'

KUALA TERENGGANU - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ‘kebal’ namun merasakan belum perlu diambil tindakan walaupun sudah beberapa kali tidak hadir mesyuarat parti.

Menurutnya, Azmin ada kalanya memberikan alasan bersebab ketidakhadirannya dalam mesyuarat.

Selain itu katanya, Lembaga Disiplin PKR perlu mencari alasan yang cukup kukuh sebelum tindakan diambil terhadap mana-mana ahli parti.

“Memang ada dalam peraturan parti kalau tidak hadir tiga kali mesyuarat berturut-turut tanpa sebab, gugur jawatannya. Kadang kala orang cuba beri sebab, jadi lembaga disiplin kena siasat sebab tu betul atau tidak.

“Ada kalanya dia (Azmin) hantar dan beri alasan (kenapa tidak hadir). Bagi saya, semua pimpinan dikehendaki menghadiri mesyuarat, jadi gesaan itu sudah cukup. Esok kita ada mesyuarat pimpinan tertinggi parti, mesyuarat bulanan dan selang seminggu, mesyuarat biro politik. Jadi, semua pimpinan diminta hadir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Dewan PKR dan Dialog DSAI bersama Komuniti dan NGO di Bukit Besar di sini hari ini.

Jelas Anwar lagi, dia sentiasa positif dan percaya Azmin selaku timbalan presiden, tahu akan tanggungjawabnya dan yakin Azmin akan hadir pada mesyuarat akan datang.

Sebelum ini, media melaporkan Azmin telah lapan kali gagal hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sejak mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden PKR tahun lalu.

Sementara itu, Anwar menafikan wujudnya puak-puak dan dua kem dalam parti itu, sebaliknya menyifatkan ia hanyalah pandangan pihak luar.

“Berita kem-kem ini lebih banyak di media. Macam hari ini, semua cabang hadir dan program berjalan. Semasa kita buat retreat di Port Dickson bulan lalu, semua hadir. Adalah 10 peratus yang tidak hadir.

“Kalau 10 peratus yang tidak hadir, adakah ia mewakili pecah atau puak? Saya tidak fikir mana-mana parti akan dapat sokongan 100 peratus dalam semua hal.

"Pada pendapat saya, program berjalan biasa dan pimpinan hadir, kerja mesti berjalan,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.