https://critoxium.com/shop/

Terkini

PDRM perlu bertegas dalam isu hina Jalur Gemilang

MARANG  - Pas mendesak kerajaan dan polis Diraja Malaysia (PDRM) bersikap lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina Jalur Gemilang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Jalur Gemilang merupakan simbol negara, justeru adalah menjadi tanggungjawab seluruh warganegara Malaysia untuk menghormati simbol tersebut.

"Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama perlu menghormati Jalur Gemilang dan anak-anak muda turut dinasihatkan agar terus menghayati erti kemerdekaan negara.

"Mereka yang anti kemerdekaan merupakan saki-baki penjajah dan komunis yang mempunyai dendam terhadap perajurit negara. Kita menghargai tentera kita yang menentang komunis di samping pejuang kemerdekaan dalam semua kalangan termasuk Cina dan India," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di kediamannya sejurus selesai mengadakan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.

Baru-baru ini 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat isu ditularkan dalam laman Facebook berkenaan Jalur Gemilang yang didakwa sengaja dipasang secara terbalik di beberapa premis seluruh negara.

Tindakan yang disifatkan sebagai provokasi melampau dan mencabar simbol kemerdekaan negara itu dalam masa sama didakwa memperlekehkan rukun negara dan tidak menggambarkan sifat serta jati diri warganegara Malaysia.

Menurut Abdul Hadi, Jalur Gemilang diasaskan dengan persetujuan bersama kalangan mereka yang memperjuangkan kemerdekaan dan walaupun Pas merupakan pembangkang tetapi parti ini tetap menerima kemerdekaan.

"Selepas itu kita buat pengisian kemerdekaan, caranya bukan dengan mencabut bendera atau memasang secara terbalik, tetapi bendera tetap dipertahankan," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.