https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jangan salahkan Dr Zakir Naik sahaja

Oleh ABD JALIL ALI

SELAIN sebagai sumber mendapatkan berita juga saudara seagama, saya tidak ada apa-apa hubungan istimewa dengan Dr Zakir Naik. Seingat saya hanya dua kali bersua muka dan berjabat tangan dengannya untuk wawancara khas.

Itu betul-betul satu tugas kewartawanan, sama seperti ketika saya menemuramah Imam Mufti Menk, Ustaz Somad dan lain-lain pendakwah antarabangsa.

Saya percaya Dr Zakir pun tidak ingat saya lagi. Banyak lagi nama dan tokoh negara yang beliau kena ingat, lebih-lebih lagi dalam situasi sehari dua ini. Tetapi, saya kena mengakui bahawa saya mengagumi pendakwah dari India itu.

Dulu, kini dan selamanya, bila ada kesempatan, saya akan mengikuti beliau, baik menerusi YouTube atau ceramah umum terbuka.

Beliau hafal al-Quran, juga hafal kitab-kitab agama lain termasuk Injil, Vedas dan beberapa lagi. Itu antara yang mengagumkan saya.

Paling saya senangi ialah sikapnya yang terbuka dan boleh menerima kritikan dan hujah dari setiap orang termasuk yang bukan Islam.

Kerap terjadi dalam berhujah itu pengkritiknya (bukan Islam) menjadi terlalu emosional tetapi Dr Zakir menepis dan memberi penjelasan dengan tenang, sehingga akhirnya si pengkritik menyerah kalah.

Malah pernah beberapa ketika pengkritik yang menghentam beliau habis-habisan, bangkit kesedaran dan akhirnya melafazkan syahadah di depan umum. Itu kelebihan Dr Zakir.

Dalam pada itu, ada juga yang saya tidak berapa setuju dengan beliau, lebih-lebih lagi berhubung dengan kenyataan yang dibuat pada satu ceramah umum di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Seperti yang diketahui, ceramah di Serambi Makkah yang dihadiri berpuluh ribu orang itu mencetuskan kontroversi. Dr Zakir menyalahkan media kerana dikatakan telah memutar belit kenyataan beliau.

Sebagai orang media pada hemat saya, ada baiknya kita mendengar isi kandungan ceramah di Kota Bharu itu menerusi rakaman asal untuk mengetahui sama ada ia diputar belit atau sebaliknya.

Apa pun akibat kontroversi berkenaan, beratus laporan polis dibuat ke atas pendakwah berkenaan dan beliau telah dua kali dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.

Susulan siasatan polis itu, pendakwah berkenaan tidak lagi dibenarkan berceramah di mana-mana tempat, sementara beberapa negeri juga tidak membenarkan beliau berdakwah.

Apa yang lebih penting ialah Dr Zakir berlapang dada dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia sekiranya ceramah beliau telah menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Pendakwah dikehendaki kerajaan India yang diberi status Pemastautin Tetap (PR) mungkin tidak berapa faham sentimen dan sensitiviti rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Akibat ketidakfahaman itu, beliau terlanjur menyentuh perkara-perkara menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan tertentu di tempat kita.Kata pepatah, terlajak perahu boleh ditarik, tetapi terlajak kata buruk padahnya. Dr Zakir kini telah pun menerima padah tersebut, iaitu tidak boleh lagi berceramah.

Setelah memohon maaf dan dihalang berceramah, pada hemat saya kontroversi pendakwah tersebut sepatutnya telah diredakan, tutup kes.

Maka tidak perlu menarik balik status PR beliau, dan tidak perlu buat tunjuk perasaan mendesak supaya beliau dinyahkan dari negara ini.

Benar beliau mungkin terlanjur kata, tetapi setelah meminta maaf, apa salahnya kita memberi peluang kedua kepada pendakwah tersebut.

Pihak berkuasa memberi kata dua kepada beliau. Sekiranya beliau masih tidak akur, kuasa ada di tangan kita untuk bertindak lebih tegas.

Lagi pun perihal terlajak kata ini kita sepatutnya tidak hanya menuding jari kepada Dr Naik yang berstatus PR itu. Ada sekian banyak rakyat kita warganegara sendiri yang juga terlanjur kata, malah lebih celupar daripada pendakwah berkenaan.

    Kalau kita boleh memaafkan keterlanjuran orang menuduh anggota tentera kita ‘hanya makan-tidur,’ tidak bolehkah kita memaafkan Dr Naik?

Kalau kita boleh bertolak-ansur dengan penentang tulisan jawi dan desakan sesetengah NGO yang celupar dan cauvanis, mengapa kita terlalu keras dan tegas terhadap pendakwah dari India itu?

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.