https://critoxium.com/shop/

Terkini

Adakah Muafakat Nasional doa Ustaz Fadzil atas Tun M?

Oleh SUBKY LATIF

 USTAZ Fadzil Noor dalam satu ceramahnya mendoakan moga-moga Mahathir panjang umur supaya dia dapat lihat gara-gara politiknya.

Ramai tahu akan doa itu dan menunggu bilakah maksud doa itu akan Dr Mahathir hadapi.
Bahkan dalam usianya yang panjang itu dia bertambah nasib baik. Setelah jadi Perdana Menteri (PM) 23 tahun, tak terfikir 15 tahun kemudian dia jadi PM semula.

Puluh tahun berbalah dengan Anwar, dia berdamai dengan Anwar dan janji Anwar akan jadi gantinya. Tidak ramai yang bernasib baik sepertinya.

Jatuh bangun dalam politik seperti yang dialaminya adalah benda biasa. Jika dia tidak sedia dia tidak wajar masuk politik.

Jadi apakah doa Ustaz Fadzil itu setakat sedap ceramah saja?

Banyak kejadian dalam negara, kerajaan, politik dan ekonomi selepas dia berundur dulu, antaranya gara-gara politiknya juga, rasuah dan penyelewengan selepasnya adalah lanjutan daripada amalan lama politik sebelum dan sesudah dia jadi PM mula-mula dulu. Ia tanda dia tidak dapat bantu Umno dan kerajaan tidak kawal keadaan untuk jadi pentadbiran yang baik.

Adapun yang berlaku selepasnya adalah bertambah teruk daripada semasanya.

Bila jadi PM semula dia belum dilihat dapat buat lebih baik daripada dua penggantinya dulu.

Di bawah kerajaan baru, keadaan dirasakan lebih teruk dari dua kerajaan yang dijatuhkannya.
Semua orang rasa dia tidak lebih baik dari Najib.

Kita tunggu apa akhirnya menjelang PRU15. Apapun kita belum dapat agak doa Ustaz Fadzil sudah berlaku.

Tetapi suatu yang dikira dia rasa pahit yang dialaminya sekarang ialah kejayaan PAS dan Umno dapat bantah Piagam Muafakat Nasional bagi menangani ancaman dari politik yang mencemarkan sekarang.

Dia pernah musnahkan muafakat PAS-Umno yang membentuk Barisan Nasional 1974-1978 dulu.
14 September 2019, Umno-PAS adakan muafakat semula atas nama Muafakat Nasional menyambung semula apa yang Mahathir musnahkan sebelum dia jadi PM dulu.

Dia lihat sendiri apa yang dirobohkannya dulu dihidupkan semula dengan peranan Islam yang lebih meyakinkan dan Umno seolah sama dengan politik Islam PAS.

Dan kalau Umno sudah tidak banyak beza dengan PAS, ia adalah suatu yang dia tidak ingini kerana padanya Islamnya adalah amat jauh dari politik Islam yang PAS bawa.

Dia tidak mahu politik Islam PAS terlaksana dan apalagi Umno sudah jadi dekat macam PAS.
Memang banyak perkembangan dalam Umno sudah jadi seperti apa yang PAS selama ini.
Jika Umno pula serupa seperti PAS, maka inilah agaknya yang Ustaz Fadzil mahu Mahathir lihat adalah apabila Allah panjangkan umurnya.
Ustaz Fadzil hendak semua lihat Mahathir dapat lihat dengan usia panjangnya,Umno berpolitik seperti PAS. Dia tidak suka politik PAS, tetapi Umno berpolitik seperti PAS.
PAS tidak bersatu dengan Umno tetapi mereka berdua melaksanakan politk seperti yang PAS mahu.
Tidakkah ia mengecewakan Dr Mahathir?
Dia dan Anwar amat pilu dengan Muafakat Nasional setelah sekian lama kedua-duanya pernah menguasai pentas PWTC tetapi sekarang mereka berdua tidak boleh masuk dan menjejakkan kaki ke tangga PWTC.
Keduanya banyak sejarah dan jasa di bangunan itu. Anwar memang lebih lama tidak masuk ke situ bila dia dikeluarkan dari Umno, tetapi sejak tiga tahun ini Mahathir pula tidak dapat masuk ke situ.
Jika tempat jatuh lagi dikenang, apa lagi tempat yang banyak membawa kenangan manis.
Sudahlah keduanya tidak boleh masuk PWTC, tiba-tiba Tuan Guru Haji Abdul Hadi pula bercakap lantang di dewan yang mereka pernah kuasai.
Mereka mahu tolak suara Tuan Guru Haji Abdul Hadi ke Laut China Selatan, tetapi suaranya lantang didengar di semua penjuru PWTC.
Dan pada acara memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September orang PAS penuh di PWTC sama ramai dengan orang Umno.
Dan simbol bulan bergantungan di setiap ceruk di tempat yang Mahathir dan Anwar pernah jadi wira dulu.
PAS tidak datang untuk mengusai dan mengambil alih PWTC, tetapi PAS mahu bersama Umno memartabatkan bangunan itu. Mahathir dan Anwar pula jadi orang luar memerhatikan PAS dan Umno bersuka ria di dalamnya.
Bukankah ini yang Ustaz Fadzil lihat bila dia berdoa Mahathir akan lihat jika dipanjangkan umurnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.