https://critoxium.com/shop/

Terkini

Gagasan Malaysia kekal relevan, hormati inti

Oleh Muzaffar Syah Mallow

Kita baru saja menyambut Hari Malaysia. Masih segar. Tarikh 16 September merupakan salah satu tarikh penting dalam sejarah pembentukan negara kita. Pada tarikh berkenaan, 56 tahun yang lalu, sebuah gagasan atau dikenali sebagai Malaysia telah terbentuk dengan bergabungnya Semenanjung Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak.

Pada awal penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Singapura turut menyertai gagasan Malaysia, namun Singapura telah berpisah dari Malaysia pada 1965. Pada peringkat awal perbincangan mengenai penubuhan gagasan Malaysia, Brunei juga telah dijemput untuk menyertai gagasan ini, namun atas sebab beberapa faktor yang berlaku pada ketika itu, hasrat ini tidak menjadi kenyataan.
Maka kekal lah gagasan Malaysia yang terdiri daripada 14 negeri seperti yang kita kenali sehingga hari ini.

Setelah 56 tahun pembentukan gagasan Malaysia, tarikh 16 September disambut bagi memperingati hari yang paling bersejarah dalam perjalanan penubuhan negara kita selain daripada sambutan hari kemerdekaan pada setiap 31 Ogos. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak seharusnya melupakan sejarah pembentukan gagasan Malaysia lebih setengah abad yang lalu.
Usaha ke arah pembentukan gagasan Malaysia telah dimulakan oleh para pemimpin terdahulu tanah air kita yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga merupakan perdana menteri Malaysia yang pertama. Gagasan Malaysia ini tidak mungkin akan berlaku tanpa adanya usaha serta komitmen yang telah diambil oleh para pemimpin yang ada di Semanjung Tanah Melayu serta yang berada di wilayah Sabah dan Sarawak ketika itu.
Segala usaha dan komitmen yang telah diambil oleh semua pemimpin terdahulu terhadap pembentukan gagasan Malaysia ini perlu dikenang dan dihargai oleh setiap warga negara Malaysia buat selama-lamanya.

Jika diimbau kembali dalam sejarah, usaha pembentukan gagasan Malaysia ini dilakukan di atas beberapa faktor. Di antara faktor utama ke arah pembentukan gagasan Malaysia ialah untuk membebaskan beberapa buah negara di rantau Asia Tenggara pada ketika itu yang masih dijajah oleh pihak penjajahan British seperti Singapura, Sabah, Sarawak serta Brunei.

Langkah pembentukan gagasan Malaysia juga diambil bagi membendung penyebaran pengaruh komunis yang dilihat masih kuat ketika itu yang sering menggunakan alasan penjajahan British bagi menyebarkan pengaruh komunis mereka di rantau Asia Tenggara.

Sebab lain pembentukan gagasan Malaysia ialah untuk membentuk sebuah gagasan yang terdiri daripada beberapa buah negeri kecil yang terletak di Semenanjung Tanah Malayu dan pulau Borneo menjadi sebuah negara besar bagi bersama-sama menghadapi segala bentuk cabaran yang ada di dalam negeri masing-masing, di peringkat serantau serta di peringkat antarabangsa.

Agak sukar untuk sesebuah negara kecil terutamanya yang baru mendapat kemerdekaan pada ketika itu untuk bergerak secara bersendirian kerana kekurangan sumber ekonomi, pengalaman, tenaga kerja dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian, pembentukan sebuah negara besar seperti Malaysia adalah langkah tepat bagi memastikan semua negeri-negeri yang kecil ini dapat bersatu dalam sebuah negara yang lebih besar untuk membawa pembangunan terhadap setiap negeri serta kemakmuran kepada setiap lapisan masyarakat.

Malaysia kini terdiri daripada 14 negeri, dan buat sekian lama, rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan aman dan makmur walaupun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama.

Amat penting bagi negara kita kekal bersatu dalam gagasan Malaysia yang telah lama ditubuhkan ini.

Perlu diingatkan pepatah ada mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Jika kita berpecah-belah, agak sukar untuk kita hadapi segala bentuk cabaran yang mendatang. Ini juga selaras dengan kata- kata yang terdapat pada Jata Negara kita sendiri iaitu “Bersekutu Bertambah Mutu”.

Melalui gagasan Malaysia banyak perkara dapat dibuat dengan lebih jayanya melalui kerjasama di antara negeri-negeri berbanding kekal bersendirian sebagai sebuah negeri.

Usaha perlu diambil lagi bagi memastikan gagasan yang telah dibentuk buat sekian lama ini kekal buat selama-lamanya. Antara usaha yang boleh diambil ialah dengan terus menghormati segala dasar yang telah dipersetujui ketika pembentukan gagasan Malaysia itu sendiri 56 tahun yang lalu.

Segala bentuk penjanjian yang telah dibuat ketika termeterainya penjanjian pembentukan gagasan Malaysia perlu dihormati oleh semua pihak. Segala bentuk ketetapan yang telah dibuat dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri juga perlu dihayati dan dilaksanakan.

Selain itu, proses pendidikan juga memainkan peranan penting bagi memberi kesedaran dan didikan kepada orang ramai khususnya di kalangan generasi muda dalam negara kita mengenai sejarah kewujudan gagasan Malaysia serta pentingnya untuk kekal bersatu dalam gagasan Malaysia ini buat selama-lamanya.

Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.