https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hormati kerjasama politik UMNO-Pas

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) sebagai parti pemerintah perlu lebih matang dan menghormati sebarang keputusan diambil blok pembangkang termasuk melibatkan isu kerjasama UMNO dan Pas.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sebagai sebuah kerajaan yang berpegang teguh pada prinsip demokrasi sihat, PH tidak boleh sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman asalkan pembangkang tidak menyalahi undang-undang.

“Jika Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh bergabung menentang BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, rasanya tidak ada salah dari segi undang undang serta Perlembagaan Persekutuan untuk UMNO dan Pas pula mengadakan kerjasama politik untuk menentang PH dalam PRU15.

“Selagi UMNO - Pas bergerak secara sah mengikut undang undang negara dan undang-undang PRU yang ada sekarang, maka PH yang mendukung kedaulatan undang-undang serta keluhuran perlembagaan harus menghormati dan mengalu-alukan kerjasama mereka.

“Juara yang hebat di gelanggang adalah mereka yang dapat menewaskan lawan yang kuat, bukannya itik tempang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor turut menasihatkan pimpinan PH untuk tidak sesekali melakukan perkara tidak beretika sekali gus bertentangan dengan pegangan demokrasi.

Katanya, perkara itu adalah melibatkan pelbagai sudut termasuk cadangan pengharaman UMNO yang dikemukakan baru-baru ini.

“PH jangan main kotor, tidak beretika dan anti demokrasi. Jangan haramkan UMNO kerana hal remeh-temeh dan teknikal. Adakah mahu bunuh UMNO sekali lagi? Sambut cabaran kerjasama politik UMNO-Pas dengan semangat demokrasi liberal yang telah diterima semua pihak.

“Percayalah jika terus jujur dan ikhlas untuk menjadi blok politik yang mempunyai dasar sederhana dalam politik arus perdana, ciri ciri bersifat inklusif, menolak politik sempit kaum dan agama serta mengutamakan isu sosioekonomi, PH akan tetap diterima rakyat pada PRU akan datang,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.