https://critoxium.com/shop/

Terkini

MyKad palsu: 20 termasuk pegawai kanan JPN ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan sekurang-kurangnya 20 individu terlibat dalam kegiatan menjual MyKad menggunakan butiran individu yang sudah meninggal dunia, disyaki didalangi seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

Dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamad berkata suspek yang ditahan di Pulau Pinang 19 Ogos lepas, terdiri daripada 15 lelaki dan 2 wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India.


Kesemua suspek masih direman bawah Seksyen 4 (5) Akta Sosma 2012 selama 28 hari.

“Kesemua suspek berusia 32 hingga 70 tahun merupakan ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia (palsu),” kata beliau.
Malam tadi FMT melaporkan seorang penolong pengarah di JPN Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket menjual MyKad kepada warga asing di negeri itu.

Huzir berkata, hasil siasatan menunjukkan modus operandi sindiket adalah dengan mencari warga asing sebelum maklumat mereka diserahkan salah seorang pegawai JPN untuk proses pengeluaran kad pengenalan secara tidak sah.

“Ejen sindiket akan mencari warganegara asing yang ingin mendapatkan taraf warganegara dan kemudiannya menghubungi salah seorang individu telah ditahan, yang berkhidmat di JPN Pulau Pinang untuk menguruskan sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

“Semasa proses mengemas kini data dan sebagainya, individu tersebut turut mengarahkan beberapa staf JPN lain untuk terlibat sama tanpa mereka sedar sama ada rekod yang dimasukkan oleh mereka ke dalam sisten adalah sah ataupun tidak,” kata beliau.

Bayaran yang diperolehi hasil sindiket tersebut dari warga asing antara RM100,000 hingga RM600,000 bergantung kepada permintaan mereka daripada pihak sindiket, kata beliau.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada ketua unit jenayah am dan ketenteraman awam,” tambah beliau.
Beberapa pegawai kerajaan berpangkat tinggi ditahan dalam operasi khas pada minggu lalu bagi membantu siasatan berhubung kegiatan menjual MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

Polis turut menahan beberapa individu dalam satu operasi sulit kerana disyaki terbabit dalam penjualan MyKad pada harga RM350,000 kepada warga asing.

Sindiket terbabit terbongkar susulan laporan Jabatan Imigresen Pulau Pinang berhubung seorang wanita China berusia 25 hingga 30 tahun yang mahu membuat pasport Malaysia menggunakan MyKad sah.

Katanya, imigresen meragui status kerakyatan wanita itu yang berdepan masalah berkomunikasi dengan pegawai bertugas.

Isnin lalu, JPN membuat laporan polis terhadap beberapa pemilik akaun media sosial yang menyebarkan maklumat palsu berhubung pemberian MyKad kepada warga China untuk membolehkan mereka tinggal di negara ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.