https://critoxium.com/shop/

Terkini

Warga maya diajak bersama bantu pekerja Utusan yang dibuang

KUALA LUMPUR, — Perkataan ‘Utusan’ telah menjadi salah satu daripada lima carian paling tinggi dalam talian, berikutan laporan penutupan syarikat akhbar itu hari ini atas masalah kewangan.

Berita mengejutkan tersebut telah menerbitkan pelbagai ‘tweet’ simpati, tawaran pekerjaan dan juga satu panggilan untuk bersama membantu pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, yang telah dibuang kerja dan menghadapi masa hadapan yang tidak menentu.

Ida Nadirah dalam tweetnya: Utusan Malaysia telah berhentikan operasinya mulai hari ini, menyebabkan nasib 800 pekerjanya tidak menentu. Satu hari yang menyedihkan untuk industri media. Saya tidak tahu nak cakap apa.

Esther Landau pula menyebut: Amat menyedihkan mendengar penutupan penerbitan Utusan dan Kosmo hari ini. Ini satu pengakhiran kepada akhbar bahasa Melayu di Malaysia? Tolong jangan jadi rasis dan tolonglah bersimpati dengan pekerja di kedua-dua penerbitan itu.

Joe dalam tweetnya: Saya terasa dengan apa yang kawan-kawasan Utusan baru beri tahu pagi ini yang mereka diminta mengosongkan meja mereka sebelum jam 1 tengah hari. Ini satu keadaan yang amat teruk, tak harap ia berlaku kepada siapa-siapa. Bertabahlah sahabat-sahabat.

Di tengah-tengah kemuraman itu, beberapa ruang pekerjaan juga telah diiklankan, dengan hantaran tweet yang memberikan peluang dan cara bagi membantu mereka - wartawan, jurugambar, grafik arts dan lain-lain yang kini tidak mempunyai pekerjaan.

Nizam Bakeris dalam tweetnya: Pasukan kami di @enervive sedang mencari seorang pereka grafik dan seorang penerbit media sosial. Rakan-rakan di Utusan dan Kosmo yang berminat boleh hantarkan resume ke sini knb@enervive.co.

Mohd Faizal Hassan dalam tweetnya pula : Dari terus berduka, ayuh sebarkan peluang pekerjaan kepada rakan-rakan di kumpulan Utusan. Mohon kongsi peluang pekerjaan yang ada di tempat kalian berkaitan penulisan, media dan sebagainya!! Twitter, tolonglah lakukan keajaiban anda!.

Masalah kewangan yang dihadapi telah dilaporkan media pada 21 Ogos, dengan Kumpulan Utusan yang dalam sedang menghadapi masalah membuat keputusan untuk tidak menutup operasinya dan sebaliknya menaikkan harga jualan akhbarnya sebanyak 50sen bermula Jumaat (23 Ogos), sebagai cubaan untuk memastikan ia dapat terus beroperasi.

Namun demikian ia tetap menghentikan operasinya dengan para pekerja diberikan sehingga jam 1 tengah hari untuk mengemas dan meninggalkan Utusan serta memulangkan kesemua peralatan milik syarikat termasuk kad akses.

Pada 30 Ogos, penerbit akhbar berbahasa Melayu tertua di Malaysia itu telah dikeluarkan daripada senaraian Bursa Malaysia dengan nilai jualan terakhirnya 5.5 sen. — Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.