https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Pendidikan Untuk Semua' elak tercicir

 Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

Jika ada orang bertanya - apakah program dilaksanakan Kementerian Pendidikan sepanjang 2019 yang memberi impak besar terhadap murid?

Jawapan saya pastinya usaha memperkasakan program murid berkeperluan khas dan tindakan membaik pulih kemudahan sekolah daif.

Sekalung pujian harus diberikan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, apabila mengumumkan lima fokus utama pendidikan negara, iaitu mengupayakan program murid berkeperluan khas dan arahan memperbaiki kemudahan asas sekolah daif, selain melakukan reformasi sistem, reformasi digital dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Langkah ini selaras visi bertemakan ‘Pendidikan Untuk Semua’ membabitkan empat kelompok teras, iaitu orang kurang upaya (OKU) yang juga murid berkeperluan khas, kumpulan B40, murid dan guru.

Dalam pengumuman, baru-baru ini, beliau menyatakan secara purata sekurang-kurangnya dua kelas untuk pelajar OKU ditambah setiap hari di seluruh negara, menjadikan keseluruhannya 10,200 kelas, bertambah 526 berbanding 9,674 kelas tahun lalu.

Bilangan murid OKU mendaftar masuk sekolah juga meningkat mendadak dengan pertambahan 4,821 orang berbanding 2018, menjadikan jumlah keseluruhan 88,419 murid. Salah satu faktor penyumbang adalah kesedaran ibu bapa untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak mereka.

Sebelum ini kumpulan murid berkeperluan khas kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat kita. Kebiasaan berita yang menonjol di muka akhbar atau media massa adalah murid cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Jarang sekali golongan murid ini mendapat tempat sewajarnya.

Siapakah sebenarnya kumpulan murid berkeperluan khas itu? Kumpulan ini terdiri daripada individu berkeperluan khas atau kurang upaya. Mereka mengalami kecacatan mental, bermasalah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku termasuk gangguan komunikasi (pertuturan dan bahasa), hilang pendengaran, hilang penglihatan atau darjah penglihatan rendah, kecacatan fizikal dan golongan pintar cerdas.

Dalam usaha untuk berlaku adil kepada semua, Kementerian Pendidikan tidak meminggirkan kumpulan murid kurang bernasib baik itu, malah memberikan perhatian istimewa.

Mereka dibenarkan mengikuti pendidikan di sekolah harian biasa. Di samping itu disediakan pula peralatan pembelajaran khas dan terkini termasuk bimbingan daripada guru terlatih.

Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan diberi tanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan pendidikan. Bahagian itu wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan walaupun ketika itu hanya sebagai unit kecil.

Pada peringkat awal tumpuan adalah terhadap murid menghadapi masalah penglihatan dan pendengaran sahaja.

Sekolah pertama ditubuhkan untuk murid yang bermasalah penglihatan ialah Sekolah Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru pada 1948. Bagi kanak-kanak menghadapi masalah pendengaran pula Sekolah Kanak-Kanak Pekak Persekutuan, Pulau Pinang ditubuhkan pada 1954.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, kementerian memperluaskan program pendidikan khas dalam sekolah biasa melalui Program Pendidikan Khas Integrasi. Bagi keberkesanan perkhidmatan, Bahagian Pendidikan Khas dinaik taraf menjadi sebuah bahagian melalui penstrukturan kementerian pada 2008.

Ketika ini perkhidmatan bahagian diperluaskan dengan memberi tanggungjawab mengendalikan Sekolah Dalam Hospital, Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney. Sesungguhnya kewujudan bahagian ini menggambarkan keprihatinan terhadap sekumpulan murid yang kurang bernasib baik bagi mendapatkan pendidikan berkualiti sama seperti murid normal lain.

Tumpuan seterusnya terhadap sekolah daif atau serba serbi kurang dari segi kemudahan asas. Kebanyakan sekolah ini jauh di pedalaman atau pulau kecil.

Hakikatnya sekolah daif ini tidak mempunyai kelengkapan dan peralatan sekolah secukupnya sama seperti sekolah lain di bandar besar atau luar bandar.

Kekurangan kemudahan ini boleh menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran murid. Tambahan pula kebanyakan sekolah ini tidak mendapat bekalan elektrik dan air bersih secukupnya. Dibimbangi turut terjejas, aspek keselamatan murid ketika berada dalam kawasan sekolah.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) Kementerian Pendidikan menyediakan peruntukan RM2.7 bilion bagi menyelesaikan masalah sekolah daif di Sarawak sahaja. Sebanyak 1,020 sekolah daif dikenal pasti dan 451 daripadanya dikategorikan sangat daif.

Sementara itu sebanyak RM78 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi pembaikan sekolah daif di Sabah tahun ini. Peruntukan itu boleh memberi manfaat kepada 30 hingga 35 sekolah dikenal pasti memerlukan tindakan segera.

Secara umumnya jika murid tidak mendapat akses atau penyediaan pendidikan sempurna dan berkualiti, maka peluang mereka untuk bersaing menikmati kemajuan ekonomi pada masa hadapan akan terjejas.

Sehubungan itu menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang dilaksanakan kementerian, asas utama ialah memastikan setiap institusi pendidikan, terutama pada peringkat sekolah mempunyai infrastruktur mencukupi bagi pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum berkesan.

Justeru, keprihatinan Menteri Pendidikan bagi meningkatkan keupayaan kedua-dua bidang berkenaan sangat dialu-alukan.

Ini bersesuaian tema ‘Pendidikan Untuk Semua’ atau dengan kata lain tiada murid tertinggal atau tercicir.

Penulis adalah bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Ahli Majlis Persatuan Sejarah Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.