https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sumpah laknat Najib sekadar gambaran persepsi politik

Apabila bekas perdana menteri Najib Razak mengambil pendekatan sumpah laknat yang kononnya dia tidak ada kaitan dengan Altantuya, paling tidak pun, wacana ilmu berkenaan perkara ini wajar dibuka.

Apatah lagi, sesuatu tindakan sudah pasti punyai implikasinya tersendiri, sama ada baik atau buruk.
Secara dasarnya, kebanyakkan ulama-ulama fiqh berpendapat bahawa sumpah bukan suatu amalan yang digalakkan – dikira sebagai hukum makruh.

Ini berasaskan kepada firman Allah: “Jangahlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpahmu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan, bertakwa dan mengadakan ishlah di antara manusia. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (al-Baqarah 2:224)

Demikian juga, bersandarkan kepada penjelasan Allah bahawa yang suka bersumpah adalah orang-orang munafiq. Firman Allah: “Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keridhaanmu, padahal Allah dan Rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keridhaannya jika mereka adalah orang-orang yang mukmin” (Surah al-Taubah 9:62)

Walaubagaimana pun, apabila dikaitkan sumpah dan laknat, dalam fiqh Islam dibincangkan perkara ini dalam dua tajuk besar; Pertama, li’an. Kedua, mubahalah.

Apa itu li'an?
Kalimah li’an bermakna perkataan tertentu yang digunakan oleh orang yang terpaksa menuduh orang yang mencemarkan tempat tidurnya dan memberi malu kepadanya sebagai berzina.

Dengan perkataan lain, Li’an bermaksud seseorang suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan seramai empat orang saksi, maka hendaklah dia berkata, “Aku bersaksi demi Allah, aku berada di pihak yang benar terhadap dakwaanku bahawa isteriku [sebut nama dan bintinya] telah berzina”.

Perkataan ini hendaklah diucapkan sebanyak empat kali. Dan pada kali kelima, dia hendaklah berkata, “Aku dilaknati Allah sekiranya aku berbohong”. [Al-Fiqh Al-Manhaji : 4/903]

Amalan li’an ini disandarkan kepada firman Allah: “dan orang-orang Yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada Syarak) bagi seseorang Yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah Dengan nama Allah, empat kali, Bahawa Sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar dan sumpah Yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang Yang dusta” (Surah al-Nur 24:6-7)

Dengan ini difahami bahawa li’an ini berlaku dalam hal yang melibatkan antara suami dan isteri. Selain dari itu – seperti isu melibatkan Najib yang bersumpah laknat bahawa dia tidak kenal Altantuya, tidak timbul isu li’an sama sekali.

Apa itu mubahalah?

Makna mubahalah dari sudut bahasa adalah, “saling laknat melaknati”. (Mukjam Al-Mustalahat wa Al-Alfaz Al-Fiqhiyyah: 3/204).

Adapun makna Mubahalah dari sudut syarak adalah, “saling laknat melaknati, iaitu berdoa agar diterima laknat dari Allah terhadap orang yang dusta daripada dua pihak yang saling laknat melaknati” (Tahrir Alfaz At-Tanbih : 1/247).

Asal amalan mubahalah adalah perdebatan antara Nabi Muhammad SAW dengan beberapa orang Nasrani dari Najran. Mereka terdiri daripada 13 orang, yang diketuai oleh seorang yang bernama Al-‘Aqib, atau dikenali juga sebagai Abdul Masih.

Dalam perdebatan itu, semua hujah-hujah Nasrani itu dijawab oleh Nabi SAW, tanpa mereka berjaya membalas lagi. Namun begitu, mereka tetap berkeras juga hendak berhujjah, walau mereka sudah tidak mempunyai hujjah lagi.

Mengenangkan sifat begitu, Allah SWT pun menurunkan ayat ke 61, surah ali-Imran yang bermaksud : “kemudian sesiapa Yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah Engkau beroleh pengetahuan Yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak Kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan Kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri Kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah Dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang Yang berdusta" (Ibnu Kathir : 2/50]).

Ulama-ulama Islam menjelaskan bahawa mubahalah, walaupun boleh diamalkan, tetapi lebih digalakkan agar tidak dilakukannya. Ini kerana, dibimbangi ia memberi implikasi tidak baik kepada masyarakat. Dengan sebab itu, para ilmuwan Islam menekankan beberapa syarat bagi amalan mubahalah. [Syarh Qasidah : 1/37]

Apatah lagi, mubahalah tidak berlaku dalam urusan yang melibatkan jenayah. Ia berlaku dalam urusan yang melibatkan perdebatan ilmu sahaja. Dengan sebab itu, al-Imam Ibn al-Qayyim ada menjelaskan bahawa mubahalah tidak berlaku kecuali kedua-dua belah pihak pendebat telah mendatangkan hujjah masing-masing. Hujjah itu pula, hendaklah hujjah yang nyata dan jelas. [Zad Al-Ma’ad : 3/643]

Dengan itu, amalan sumpah laknat yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib tidak bertepatan dengan konsep mubahalah.

Bagaimana pula dengan jenayah?
 
Dalam kes melibatkan jenayah, sesuatu dakwaan perlu kepada pembuktian. Sesuatu dakwaan, tidak boleh terus dianggap sebagai benar kecuali perlu kepada proses pembuktian, seperti siasatan dan proses mahkamah.

Di pihak yang menafikan pula, semestinya ada hak untuk menafikannya – melalui bersumpah. Namun, semua proses itu tidak akan berlaku kecuali dihadiri hakim.


Dengan sebab itu, dalam kes yang melibatkan Najib yang melakukan sumpah laknat di masjid - walaupun dihadiri ramai orang, ia bukan sekadar boleh dianggap sebagai amalan “bid’ah”, tetapi ia tidak memadai.

Ia tidak memberi kesan pada keputusan di peringkat mahkamah pun. Ia tidak lebih sekadar memberi gambaran dari sudut persepsi politik sahaja.

WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.