Biar pakar, pihak berwajib hebah penularan penyakit
Bagaimanapun, kebimbangan keterlaluan tanpa asas diikuti emosi akibat tularan berita demi berita dalam media sosial tanpa kawalan, mengganggu komitmen yang sepatutnya dilakukan. Penerimaan sesuatu berita berkenaan penularan virus sepatutnya dijuruskan kepada pencegahan diri sendiri dan sesiapa paling dekat dengan kita.
Masyarakat awam diharapkan tidak bertindak seolah-olah mereka berada pada peringkat tertinggi. Tanpa pengetahuan teknikal yang benar; sesuatu yang sepatutnya begitu mudah difokuskan kepada diri sendiri, bakal melalut kepada tuding-menuding mencari kesalahan kenapa serta bagaimana penularan itu berlaku.
Jangkitan paru-paru boleh disebabkan pelbagai kuman, termasuk bakteria, virus, parasit dan fungus. Kadar keseriusan bergantung kekuatan patogenik kuman berkenaan serta daya tahan seseorang melawan penyakit terbabit.
Spektrum gejala klinikal boleh dikatakan sama manifestasinya, iaitu demam, batuk, kesukaran bernafas dan gejala tidak spesifik lain seperti sakit kepala, muntah, bengkak kelenjar di leher dan mungkin cirit-birit. Pencegahannya juga sama, iaitu mengelak diri daripada berada di tempat penuh sesak serta sentiasa menjaga kebersihan.
Jika demam, berehatlah di rumah. Jangan mencipta masalah dengan menyebarkan jangkitan kepada masyarakat awam. Jika kita sihat, tetapi berisiko tinggi mendapat jangkitan, pakai topeng muka apabila keluar rumah serta mengelak daripada terdedah kawasan penuh sesak yang berisiko.
Tahap teruk magnitud penyakit sebenarnya perlu diterjemahkan secara realistik. Ia harus mengambil kira pola penyakit berjangkit secara keseluruhannya. Kita ambil contoh malaria. Pada 2018, hampir 250 juta populasi dijangkiti malaria di seluruh dunia dan saban tahun pula, malaria mengakibatkan 400,000 kematian seluruh dunia yang lebih separuh ialah kanak-kanak dan ibu mengandung.
Denggi pula pada 2019, sejumlah 390 juta dijangkiti denggi, manakala penyakit itu mengakibatkan kematian hampir 25,000 pada peringkat global.
Bagaimanapun, apa tanggapan masyarakat umum dan media terhadap penyakit terbabit berbanding penularan virus dari Wuhan? Angka kematian masih di bawah 100, tidak setinggi kes malaria.
Bagaimanapun, publisiti berita begitu bias terhadap maklumat terbaru, ditambah kuasa tular masyarakat, menyebabkan keutamaan yang sepatutnya seimbang pada semua penyakit berjangkit, lebih ditumpukan hanya kepada penyakit yang tidak pasti keadaannya.
Kita dapati sikap masyarakat terhadap penyakit bawaan vektor seperti malaria dan denggi tidak berubah. Peristiwa dua anggota kesihatan bertugas memantau malaria baru-baru ini yang foto mereka dirakam serta ditularkan sebagai individu tidak bertanggungjawab, memperjelaskan salah faham masyarakat terhadap kepentingan untuk turut berganding bahu terhadap pencegahan penyakit malaria.
Andai mereka tahu kematian akibat penyakit malaria jauh lebih tinggi daripada SARS, mahupun selsema burung ataupun coronavirus dari Wuhan ini pasti pendekatan tidak beradab itu tidak berlaku.
Kesedaran menjaga kebersihan alam sekitar masih pada peringkat tidak memuaskan. Contoh mudah dapat kita lihat melalui betapa banyak sampah dikutip setiap kali negara menyambut tahun baharu.
Timbunan sampah-sarap ini boleh menyebabkan banjir kilat, mahupun wujud sarang pembiakan nyamuk. Ini mengakibatkan wabak denggi masih menjadi masalah utama yang perlu diselesaikan di negara kita.
Dalam apa juga kejadian penularan penyakit berjangkit, kita semua perlu tahu dan faham punca jangkitan dan bagaimana ia ditularkan. Fokus pencegahan ditumpukan kepada apa yang boleh kita lakukan dan ia dilaksanakan tanpa bias atau sekadar memberi tumpuan apa ditularkan media.
Tanggungjawab mencegah penyakit kepada semua individu, bukan hanya kementerian atau anggota kesihatan semata-mata. Izinkan mereka berpengetahuan untuk mengambil tempat dalam hebahan maklumat tepat. Bagi kita, cukuplah untuk berganding bahu pada peringkat paling asas memperkukuhkan usaha serta tidak lupa berdoa kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.