https://critoxium.com/shop/

Terkini

Boleh mansuh tol jika tiada skandal 1MDB,

PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan boleh memansuhkan tol jika bukan kerana skandal 1MDB.

Beliau turut membidas kerajaan Barisan Nasional terdahulu lupa mereka pernah melanjutkan konsesi tol PLUS Malaysia Bhd.

Putrajaya memutuskan tidak menjual PLUS kepada sektor swasta dan ia kekal dengan 2 pemiliknya – Khazanah yang memiliki 51% kepentingan menerusi UEM Group serta baki 49% dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Konsesi PLUS yang sepatutnya tamat pada 2038, akan dilanjutkan 20 tahun lagi, tetapi kadar tol akan dikurangkan 18% mulai bulan depan dan tiada kenaikan untuk 30 tahun lagi.
Lim menjawab kritikan ke atas keputusan kerajaan itu dengan berkata, ini bukan kali pertama konsesi PLUS dilanjutkan kerana kerajaan BN pernah berbuat demikian dari 2018 ke 2038.

“Tetapi masa itu, tidak dikurangkan kadar tol, sebaliknya mereka naikkan kadar tol mengikut tempoh konsesi ataupun kekalkan kadar tol,” katanya selepas melancarkan Ops Selamat di Butterworth, Pulau Pinang sempena Tahun Baru Cina hari ini.

“Tapi kali ini bila kita lanjutkan konsesi PLUS sepanjang 20 tahun, tidak seperti kerajaan dahulu di mana mereka naikkan kadar tol. Kerajaan PH kurangkan kadar tol, bukan sekadar kekalkan, kurangkan sebanyak 18% untuk tempoh sepanjang konsesi.

“Bila mereka ini yang tak kurangkan kadar tol mengkritik kita yang kurangkan kadar tol, saya rasa ini tak kena pada tempatnya, mungkin mereka perlu tengok cermin sendiri.”

Lim berharap rakyat boleh memahami dan menghargai perbezaan antara keputusan 2 kerajaan.
“Ada orang yang cakap kenapa tak hapus? Cakap senang, cakap mudah, kalau bukan kerana 1MDB, tak jadi masalah. 1MDB makan perbelanjaan RM150 bilion, sungguhpun kita dapat balik RM47 bilion, tapi kita masih kurang RM103 bilion.

“Untuk hapuskan tol konsesi PLUS, kita perlukan RM45.2 bilion. Mana boleh cari 45.2 bilion bila RM103 bilion sudah hangus dikebas oleh skandal 1MDB.

“Kalau bukan kerana skandal ini, tentu ini dapat dilakukan.”

Katanya, perkara terbaik yang kerajaan boleh buat ketika ini ialah mengurangkan kadar tol.
“Mengapa dulu kerajaan BN tak boleh buat, kita sekarang boleh buat? Kerana dulu kerajaan BN mereka lebih jaga kepentingan syarikat swasta, bukan macam kerajaan PH, kita lebih jaga rakyat.”

Mengenai Pilihan Raya Kecil Kimanis yang dimenangi BN semalam, Lim berkata, beliau menghormati keputusan rakyat di kubu kuat BN itu yang kekal menyokong mereka.

Semua pihak, katanya, perlu bekerja keras untuk memenuhi jangkaan tinggi rakyat.

Tetapi, beliau percaya keputusan PRK tidak semestinya mencerminkan sokongan cara pengundian rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, beliau fikir rakyat masih akan memilih PH yang kurang korup dan lebih cekap berbanding pembangkang.

Semalam, calon BN, Mohamad Alamin dipilih sebagai ahli Parlimen Kimanis yang baru selepas menewaskan lawannya dari Warisan, Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.