https://critoxium.com/shop/

Terkini

Saintis tempatan perlu perjelas wabak coronavirus

Oleh Dr Mohd Hafiz Arzmi

BELUM reda isu influenza, timbul pula masalah kesihatan baharu bawaan coronavirus. Influenza ialah penyakit berpunca daripada jangkitan influenza A virus ataupun H1N1.

Virus itu diklasifikasikan dalam kategori rantaian tunggal ribonuklik asid (ssRNA). Seperti influenza A virus, coronavirus (2019-nCoV) adalah sejenis virus yang terbentuk daripada satu rantaian RNA yang amat mudah termutasi.

Apa yang membezakan antara kedua-dua virus itu adalah kewujudan vaksin di dalam negara di mana bagi influenza A, ia boleh diperoleh di hospital dan klinik dengan segera. Namun, tidak untuk coronavirus 2019-nCoV, di mana sehingga hari ini, masih belum ada lagi vaksin yang ditemui.

Bagi menghasilkan vaksin untuk virus yang baharu ini, kajian yang segera perlu dijalankan bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan.

Bagaimanapun, antara halangan utama kepada saintis tempatan untuk turut sama menghasilkan vaksin bagi virus itu ialah kekurangan fasiliti yang mencapai piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di sebalik kekurangan itu, tentu timbul tanda tanya apakah peranan yang dapat dimainkan oleh saintis tanah air dalam memberikan sumbangan menghadapi wabak seperti coronavirus? Meskipun saintis kita tidak dapat terbabit secara langsung dengan penghasilan vaksin, tentu masih ada banyak peranan lain yang boleh diambil oleh saintis mikrobiologi tempatan.

Pertama, saintis tempatan boleh menjadi penyumbang kepada penulisan ilmiah di media tempatan sama ada konvensional, mahupun digital yang memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat Malaysia.

Ia mengingatkan saya kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang beberapa kali menggalakkan saintis tempatan memperbanyakkan penulisan di akhbar di samping jurnal berwasit.

Ini bagi memastikan kajian saintis tempatan turut mendapat manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Apatah lagi rakyat yang menjadi penyumbang utama kepada geran dan gaji saintis tempatan melalui cukai yang dibayar setiap tahun.

Selain itu, saintis tempatan perlu berperanan memperbetulkan salah faham khususnya membabitkan bakteria, virus, fungus serta mikroorganisma yang lain. Saintis ialah pakar yang menjadi rujukan pengamal perubatan dan masyarakat amnya.

Di samping itu, saintis tempatan perlu berani keluar daripada kepompong makmal kepada hidup bermasyarakat.

Mereka perlu menggunakan kepakaran yang ada untuk dijadikan topik perbualan bersama masyarakat sekeliling khususnya mengenai kepentingan kebersihan dan etika bersin yang amat penting bagi mengelak penyebaran kuman berbahaya ini.

Dengan sijil pascaijazah asli yang dimiliki, ia secara tidak langsung boleh meyakinkan pendengar khususnya di luar bandar, sekali gus mengubah gaya hidup supaya lebih mementingkan kebersihan dan kesihatan.

Akhirnya, wajar untuk saintis tanah air merenung dan menimbang sama mereka ingin berubah dengan berkhidmat langsung kepada masyarakat ataupun hanya mahu terus kekal mengejar jurnal dan citation (rujukan) yang kelak cuma menguntungkan penerbit makalah semata-mata?

Penulis adalah Timbalan Presiden Persatuan Oral Mikrobiologi dan Oral Imunologi Malaysia (MySOMOI)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.