https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jauhkan istana dari politik ‘pintu belakang’

Oleh Faisal Abdul Aziz

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengikuti secara rapat perkembangan terbaru berkenaan ura-ura pembentukan kerajaan persekutuan melalui gabungan baharu parti-parti politik tertentu yang dilakukan secara “pintu-belakang”.

Abim melihat ia sebagai pengkhianatan kepada aspirasi rakyat yang mahukan perubahan, apabila pemimpin kleptokrat yang ditumbangkan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, telah kini direncanakan kembali untuk meneraju kerajaan tanpa “mandat rakyat” yang sah.

Usia kerajaan persekutuan Malaysia yang baharu pasca-PRU14 belum lagi mencecah dua tahun dan inisiatif perubahan ke arah kebaikan serta penambahbaikan terhadap tadbir urus (governance), ketelusan, integriti, serta penyeimbangan dan penurunan kuasa eksekutif yang masih belum berada pada tahap memuaskan, telah disabotaj oleh pihak berkepentingan yang jelas menolak perubahan kepada sistem yang lebih telus dan baik.

Apa yang berlaku pasti akan menjadi sejarah hitam kepada sejarah politik negara, apabila hasrat rakyat yang mahukan perubahan telah disia-siakan oleh Perdana Menteri sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lebih menyedihkan, rakyat mengharapkan tidak timbul sebarang langkah “politicking” selepas berakhirnya Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Jumaat lalu. Rakyat mahukan kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha pembangunan negara dan reformasi institusi di samping memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi secara holistik.

Namun, tanpa sebarang sebab yang kukuh, langkah “politicking” seperti yang dipamerkan oleh para politikus Malaysia semalam adalah suatu yang jelas tidak bermoral dan melanggar konsensus nasional.

Jika perancangan “pintu-belakang” ini berlaku, pastinya akan berlaku konflik berterusan yang menyebabkan kondisi sosio-politik negara terus terumbang-ambing dan tidak stabil.
Malah, negara juga semakin bergoncang jika rejim kleptokrat diangkat semula, seterusnya menjauhkan lagi para pelabur daripada kerajaan yang tidak dipercayai.

Selain itu, dengan terhormat, Abim menggesa bahawa adalah lebih baik Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menangguhkan sebarang usaha “pintu-belakang” sehingga 9 Mac 2020, iaitu apabila sidang parlimen bermula.

Dalam perkembangan sama, ABIM berpandangan supaya Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyerahkan kepada Parlimen untuk menentukan sekiranya berlaku sebarang perubahan kepemimpinan negara.

Penentuan menerusi sidang Parlimen ini adalah penting untuk memastikan penubuhan sebarang kerajaan baharu (sekiranya bakal berlaku) dilihat telus dan demokratik apabila ia diputuskan dalam platform rasmi yang dimandat oleh rakyat.

Ia juga penting bagi menjarakkan Istana dari pergelutan politik ekoran dari permainan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tuntasnya, Abim berpendirian sebagai mewakili masyarakat terbanyak di Malaysia, bahawa rakyat tidak memerlukan langkah “politicking” pintu-belakang ini.

Tiada sebarang alasan untuk perkara ini bermula. Lebih malang lagi, sekiranya ia disandarkan sentimen bangsa dan agama yang dimainkan, pastinya akan memburukkan keadaan.

Justeru, kami juga menyeru rakyat supaya tidak termakan umpan makhluk politik berkepentingan yang akan menjerumuskan negara ke gaung kehancuran.

* Muhammad Faisal Abdul Aziz adalah presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.