https://critoxium.com/shop/

Terkini

Stabilkan segera pentadbiran kerajaan

Oleh Dr Muzaffar Syah Mallow

 Semua pihak yang terlibat dalam kancah politik dalam negara kita perlu mengambil segala bentuk langkah dengan segera bagi memastikan kerajaan Malaysia ini wujud dan kekal stabil.

Kestabilan dalam proses pentadbiran negara adalah penting bagi memastikan proses perjalanan pentadbiran kerajaan dalam negara kita dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan sehingga menjejaskan kehidupan semua pihak.

Ini susulan ura-ura yang mula disebarkan semenjak hari Ahad yang lalu bahawa akan wujud sebuah kerajaan baru dalam Malaysia.

Untuk rekod, Malaysia telah ditadbir oleh Pakatan Harapan semenjak tamatnya proses pilihan raya umum pada Mei 2018 yang lalu mengantikan BN yang sudah memerintah negara ini semenjak merdeka.

Namun akibat daripada pergolakan politik yang berlaku, kerajaan PH dilihat tidak dapat memberi fokus mereka terhadap pentadbiran negara sehingga terdapat terlalu banyak ura- ura yang mengatakan kerajaan di bawah pimpinan PH tidak akan bertahan lama dan akan digantikan dengan sebuah kerajaan yang lain.

Walau apa pun yang berlaku, Malaysia perlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil bagi memastikan proses perjalanan dan pentadbiran negara dapat dilakukan dengan lancar serta bagi mengelakkan keadaan huru-hara daripada berlaku dalam negara kita.

Malaysia adalah sebuah negara yang kompleks kerana masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, salah faham dan konflik akan mudah berlaku sekiranya keadaan tidak stabil dalam kerajaan berterusan berlaku dalam negara kita.

Pada masa yang sama juga, keadaan ketidakstabilan yang berlaku dalam tampuk pemerintahan negara kita ini juga boleh menyukarkan pihak-pihak pelaksana khususnya pekerja-pekerja di sektor awam untuk memberi fokus terhadap kerja mereka.

Ini sekali gus akan memberi kesan terhadap perkhidmatan yang ingin diberikan kepada rakyat.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua ahli politik yang ada dalam negara kita mengetepikan ego serta kepentingan politik masing-masing serta mengambil satu keputusan muktamad bagi memastikan tampuk pemerintahan negara kita berada dalam keadaan kuat dan stabil.

Dalam mengharungi suasana politik yang dilihat kurang stabil pada masa kini dalam negara kita, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing.

Pihak berkuasa seperti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan di atas suasana yang berlaku pada masa kini.

Proses penguatkuasaan undang-undang perlu dilakukan bagi memastikan tiada pihak yang dilihat mengambil peluang dalam keadaan pada masa kini untuk mencetuskan suasana tidak aman dalam negara kita.

Pihak berkuasa yang lain seperti tentera dan kastam juga perlu memastikan keadaan sempadan negara kita berada dalam keadaan yang baik serta tidak dibolosi oleh mana-mana pihak.

Kakitangan awam pula perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka seperti biasa.

Fokus harus diberikan oleh semua kakitangan awam khususnya mereka yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membendung penularan penyakit berjangkit koronavirus ataupun COVID-19 yang sedang menular pada masa kini.

Kakitangan awam yang bertugas di sektor-sektor yang lain juga harus melaksanakan tugasan mereka seperti biasa serta tidak terlampau memberi fokus terhadap isu politik yang sedang melanda negara kita pada masa kini.

Tumpuan haruslah diberikan oleh semua kakitangan awam kepada proses perkhidmatan kepada seluruh rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongan.

Semua lapisan masyarakat dalam negara kita perlu juga mengambil langkah yang sama dengan tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menjejaskan negara kita.

Biarlah ahli-ahli politik yang terlibat melakukan kerja mereka untuk menyelesaikan masalah politik yang telah ditimbulkan oleh diri mereka sendiri.

Semua pihak tidak harus mengambil peluang di atas masalah ketidaksatabilan politik yang sedang berlaku dalam negara kita.

Semua pihak juga tidak seharusnya mengeluarkan sebarang berita atau maklumat palsu yang boleh menjejaskan keadaan dalam negara kita pada ketika ini.

Orang dewasa harus perlu melakukan tugas dan kerja harian mereka seperti biasa. Pelajar-pelajar juga harus terus pergi ke sekolah seperti biasa.

Ahli politik pula perlu mengambil langkah dengan serius dan segera bagi menghentikan suasana ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara pada ketika ini.

Semua ahli politik harus memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat dan bukannya mementingkan diri mereka sahaja.

DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.