https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kedah bentuk kerajaan campuran Pakatan dan Bersatu, kata Mukhriz

MUHKRIZ Mahathir kekal sebagai menteri besar Kedah selepas mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH) untuk kerajaannya terus mentadbir negeri.

Kerajaan Kedah sekarang ialah kerajaan campuran antara Bersatu dan PH, katanya.
Adun Jerlun itu berkata konflik di peringkat pusat antara PH dengan Bersatu tidak akan menjejaskan pentadbiran negeri.

“Adalah dimaklumkan bahawa Adun PH dan Bersatu menyatakan sokongan kepada saya untuk kekal sebagai menteri besar Kedah.

“Adun PH dan Bersatu sepakat dan bersetuju supaya kerajaan negeri Kedah dikekalkan.

“Kerajaan negeri hari ini gabungan PH dan Bersatu, kesepakatan ini menjamin urusan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa,” katanya pada sidang media di Sri Mentaloon di Alor Setar, hari ini.

Sidang media itu disertai bersama Adun Bersatu dan PH.

Mukhriz mengadakan sidang media selepas menghadap Sultan Kedah Sultan Sallahuddin Badlishah pagi tadi di Wisma Darul Aman.

Sebelum itu, beliau bertemu dengan semua Adun di barisan exco kerajaan negeri.
Mukhriz juga mengadakan pertemuan dengan barisan exconya semalam selama dua jam, selepas pulang dari Kuala Lumpur.

Beliau berkata kerajaan campuran itu tidak akan rapuh walaupun jika terdapat pertukaran kerajaan di peringkat pusat.

Keadaan di Kedah ini adalah hampir dengan politik Selangor pada tahun 2015 ketika kemelut Pakatan Rakyat membabitkan – PKR, DAP dan PAS.

PAS keluar gabungan itu dan sebahagian ahli PAS membentuk parti baharu, Amanah.

“Perkara ini bukan tidak pernah berlaku. Sebelum ini pun kira pernah ada kerajaan (canpuran) di negeri Selangor yang mana Pas tidak bersama di peringkat nasional tetapi bersama di peringkat negeri.

“Itu telah diuruskan dengan baik,” kata Mukhriz.

Beliau berkata keputusan itu juga dibuat selepas mendapat restu daripada perdana menteri interim Dr Mahathir Mohamad.

“Saya mendapat restu daripada Dr Mahathir dan saya maklumkan kepada pucuk kepimpinan Bersatu.
“Setakat ini kita tidak perlu berspekulasi (antara kerajaan pusat dengan negeri). Yang penting ketetapan yang dibuat bersama 19 Adun bersetuju dengan keputusan ini,” katanya.

PH membentuk kerajaan di Kedah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 dengan majoriti tipis dua kerusi.

Kerajaan Kedah dibentuk dengan gabungan 6 kerusi Bersatu, 7 PKR, 4 DAP dan 2 Amanah.
Umno dan PAS, yang menjalin kerjasama politik secara rasmi sejak September lalu, mempunyai keseluruhan 17 kerusi, dengan PAS 15 kerusi dan Umno 2. –

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.