https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kerajaan perlu percepat aktiviti pelaburan

Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 berkembang 3.6 peratus, lebih rendah daripada 4.1 peratus anggaran median Bloomberg.

Sumber pertumbuhan khususnya adalah daripada sektor swasta, terutama perbelanjaan pengguna yang meningkat sebanyak 8.1 peratus.

Dari satu sudut, ia agak mengejutkan memandangkan Indeks Sentimen Pengguna yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berada di bawah 100 mata buat lima suku tahunan berturut-turut.

Berdasarkan indeks itu, pengguna secara berterusan pesimis, namun ini belum diterjemahkan kepada perbelanjaan sebenar, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

Anggaran saya menunjukkan jika pertumbuhan perbelanjaan swasta berada pada paras tujuh peratus, dengan faktor lain tidak berubah, ekonomi hanya akan berkembang perlahan tiga peratus.
Maka, tabik hormat diberikan untuk semua pengguna.

Perbelanjaan swasta juga berkembang pada kadar terpuji 4.2 peratus, berikutan perbelanjaan modal lebih tinggi dalam perkhidmatan pengangkutan dan pembuatan berkaitan pembinaan.

Saya benar-benar berharap supaya syarikat akan terus berbelanja ke atas barangan modal kerana dasar monetari adalah amat membantu dan akan kekal menyokong pertumbuhan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, sektor awam dan eksport bersih masing-masing susut 2.2 peratus dan 9.8 peratus.

Dalam kata lain, kerajaan tidak begitu berbelanja, manakala sektor luaran adalah lemah.

Dua faktor itu menjadi penyebab utama penurunan ekonomi keseluruhan pada suku terakhir tahun lalu.
Boleh difahami, sektor luaran adalah di luar kawalan kerajaan. Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia pastinya mudah terdedah kepada pergerakan dalam permintaan luar.

Namun, adalah mengecewakan apabila kerajaan tidak mempercepatkan aktiviti pelaburannya.

Berkemungkinan, rangsangan fiskal, yang dijangka diumumkan akhir Februari atau awal Mac, akan dapat menyelesaikan masalah ini.

Bagi seluruh 2019, pertumbuhan KDNK Malaysia sederhana kepada 4.3 peratus berbanding 4.7 peratus pada 2018.

Sekali lagi, kita melihat peranan sektor swasta penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi tahun lalu, khususnya perbelanjaan pengguna. Berikutan itu, adalah penting bagi kerajaan supaya berbelanja lebih tahun ini.

Sektor swasta berkemungkinan akan memperlahankan aktiviti berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang dicetuskan oleh pelbagai faktor seperti perang perdagangan, perkembangan geopolitik di Asia Barat, lebihan bekalan minyak mentah dan baru-baru ini, penularan COVID-19 (coronavirus) yang dijangka memberi kesan serius kepada ekonomi China.

Saya sedar bahawa China menjadi begitu rapat dengan ekonomi global melalui rantaian bekalan. Kejutan daripada penularan virus itu berpotensi menjejaskan aktiviti pengeluaran di China.

Ini akan memberikan kesan gelombang kepada syarikat yang bergantung kepada pasaran China untuk eksport, selain sumber mendapatkan bahan mentah.

Justeru, ada sebab yang kukuh buat kerajaan merangka rangsangan fiskal bersasar dan tepat pada masanya bagi memastikan ekonomi domestik terus berkembang pada kadar yang wajar dan berupaya mengimbangi kelemahan dari luar negara.

Buat masa ini, saya mengekalkan unjuran KDNK 2020 pada 4.3 peratus, menunggu perkembangan selanjutnya penularan COVID-19.

Diharapkan, pertumbuhan KDNK pada separuh kedua 2020 akan berada dalam kedudukan lebih baik.

Saya hadir pada taklimat diberikan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung laporan KDNK.

Perkara paling menekan tidak lain tidak bukan adalah penularan COVID-19 yang berkemungkinan mempunyai impak ketara terhadap ekonomi China.

Impak virus itu kepada ekonomi Malaysia dalam lingkungan 0.2 peratus hingga 1.3 peratus daripada asas pertumbuhan.

Anggaran itu adalah amat sejajar dengan pandangan bank pusat dan kelihatan akan mempunyai impak ketara pada separuh pertama 2020.

Terdapat juga persoalan keputusan untuk mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas ketika mesyuarat dasar 22 Januari lalu, sudah mengambil kira impak penularan virus.

Sudah pasti, ia bukan isu besar ketika itu kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya mengisytiharkan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) pada 30 Januari lalu.

Dengan itu, saya berasakan BNM cenderung untuk memotong OPR lagi dalam masa terdekat ini.
BNM juga bersetuju bahawa perbelanjaan infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), LRT3, Lebuh Raya Pan Borneo dan laluan kereta api trek berkembar Gemas-Johor Bahru boleh menyokong KDNK.

Memandangkan BNM berperanan sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan, rangsangan fiskal hanya menunggu masa untuk diumumkan dan saiz program itu.

Ketika wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, pakej rangsangan fiskal RM8.3 bilion dengan RM1.7 bilion adalah daripada kerajaan, RM2 bilion daripada BNM, insentif dan pengecualian cukai RM800 juta, manakala bakinya daripada Institusi Kewangan Pembangunan (DFI).

Penulis adalah Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.