https://critoxium.com/shop/

Terkini

'MKT UMNO ada kuasa pecat ahli'

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mempunyai kuasa memecat ahli yang melakukan salah laku termasuk melanggar perlembagaan parti dan tataetika seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 20.9 (d) perlembagaan parti itu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata apabila Lembaga Disiplin UMNO membuat keputusan, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan UMNO serta MKT untuk dibuat keputusan.

“Malah dengan kuasa yang ada, MKT juga berkuasa dan dibenarkan oleh perlembagaan UMNO untuk membuat apa apa keputusan tanpa dibawa ke Lembaga Disiplin UMNO.

“Apa yang penting semua ahli punya hak dalam UMNO. Namun apa juga perkara ia tertakluk kepada perlembagaan UMNO yang dibentuk dalam Perhimpunan Agung UMNO.

“Perkara yang penting ialah Presiden UMNO secara peribadi tiada kuasa memecat atau mengambil tindakan terhadap mana mana ahli UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lenggong itu turut menegaskan tindakan memecat ahli yang ingkar bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dilaksanakan termasuk dalam kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Beliau berkata ia adalah proses dan amalan biasa di dalam UMNO bagi ahli yang melakukan salah laku seperti melanggar perlembagaan parti dan tataetika ahli.

“Disiplin ini termasuklah patuh kepada perlembagaan dan tataetika ahli, mengikut perintah parti, menjalankan dasar-dasar parti, patuh dan menghormati keputusan parti, menjaga rahsia parti, memelihara nama baik dan maruah parti serta sentiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib,” katanya.

Sementara itu di bawah Perkara 11 Tataetika Ahli pula, Shamsul Anuar berkata, ahli boleh dikenakan hukuman di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan jika didapati melakukan salah laku di bawah Perkara 5.3 Tataetika Ahli iaitu menerbit, menyiar atau menulis apa saja risalah atau karya secara langsung atau tidak langsung yang mempunyai unsur menyokong, memfitnah, mencela, mengeji atau mengandungi kenyataan palsu terhadap mana-mana ahli parti yang disiarkan melalui media massa, elektronik atau internet dengan tujuan mengelirukan seseorang berkenaan ahli yang lain.

Selain itu, mereka juga boleh dikenakan hukuman di bawah fasal yang sama sekiranya melakukan salah laku di bawah Perkara 5.4, iaitu membuat kenyataan mengenai seorang ahli yang lain yang boleh merendahkan reputasinya dalam masyarakat atau menyebabkan masyarakat menghindari atau mengelaknya.

Semalam, ahli MKT, Datuk Dr Puad Zarkashi menerusi Facebooknya mendakwa Datuk Lokman Noor Adam dipecat daripada parti tanpa mengikut saluran yang betul apabila keputusan itu dibuat MKT atas syor Biro Politik bukan Lembaga Disiplin parti itu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.