https://critoxium.com/shop/

Terkini

PAS sokong Dr Mahathir untuk royalti minyak

Oleh

PAS beriya-iya mahu Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga ke akhir penggal untuk memastikan Kelantan dan Terengganu terus mendapat hasil royalti petroleum, kata Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.

Beliau menganggap PAS berkiblatkan wang semata-mata kerana sanggup melakukan “rasuah politik” bagi memastikan hasil royalti petroleum itu berterusan.

“PAS kalau betul hendak nyatakan rasa terima kasih tak payah guna Parlimen buat usul terima kasih kepada perdana menteri sebab beri peruntukan dan royalti.

“Kenapa hendak heret 222 ahli Parlimen mengundi semata-mata kerana kamu dapat duit banyak,” katanya lagi, mengulas rancangan PAS melancarkan usul undi percaya ke atas Dr Mahathir.

Tambahnya, PAS juga pernah beriya-iya mempertahankan Najib Razak sewaktu ahli Parlimen Pekan itu menjadi perdana menteri.

“Sekarang hendak pertahankan Dr Mahathir pula. Rakyat kini melihat PAS bukan seperti PAS dahulu ketika tahun 1999, PAS ketika di zaman (bekas mursyidul am) Nik Aziz Nik Mat dan Fadhil Noor (kedua-duanya allahyarham).

“PAS sekarang berkelakuan aneh,” katanya.

Usul itu timbul apabila timbul cakap-cakap bahawa PAS, Umno, Bersatu dan segelintir penyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali membuat perakuan untuk menyokong Dr Mahathir kekal perdana menteri hingga pilihan raya umum akan datang.

Presiden PKR Anwar Ibrahim bagaimanapun menganggap usaha berkenaan tidak lebih daripada usaha untuk memecah-belahkan Pakatan Harapan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan sudahpun bersetuju agar Anwar menggantikan Dr Mahathir dan perdana menteri juga berulang kali mengulangi akan mengotakan janji tersebut.

Mengulas lanjut, Azan seterusnya berkata, tindakan PAS itu seolah-olah menunjukkan parti itu mahu membalas jasa kepada Dr Mahathir kerana memberi wang royalti kepada kerajaan negeri.

“Ini adalah satu-satu cara untuk PAS Kelantan dan Terengganu mengucapkan terima kasih. Ini sebenarnya cara mereka untuk balas jasa kerana termakan budi.

“Jadi cara untuk balas budi adalah bantu Dr Mahathir buat undi percaya. Mereka kena buat-buat percayalah sebab dapat duit royalti banyak,” katanya.

Kata Azan PAS juga seolah-olah keliru dengan peranan sebagai pembangkang untuk menjalankan semak dan imbang dan bukannya menyokong perdana menteri

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.