https://critoxium.com/shop/

Terkini

Politik baharu perlu berteras jujur, amanah

Oleh Dr Muhamad Razak Idris

 Kelihatan masih ramai ahli politik belum menghayati nilai politik baharu berteraskan kejujuran yang tumbuh dan sedang berkembang pesat di negara kita.

Akibatnya, mereka terus terjebak amalan politik berasaskan nilai lama, iaitu manipulasi dan eksploitasi demi memenuhi kepentingan peribadi atau kumpulan, atas nama demokrasi dan lunas perlembagaan.

Amalan politik lama inilah yang menyebabkan medan politik luhur dan murni dianggap kotor oleh masyarakat. Ahli politik pula digelar political animal atau politikus bernafsu haiwan yang tidak mengenal batas akhlak dan kehormatan dalam mengejar cita-cita, pengaruh dan kekuasaan.

Ahli politik sepatutnya cepat belajar dan mengambil iktibar peralihan pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Andai ditelusuri, peralihan kepemimpinan antaranya disebabkan faktor peningkatan dan perluasan tingkat penghayatan rakyat terbanyak terhadap kepentingan nilai politik mulia dalam sesebuah pemerintahan negara.

Penolakan rakyat pada pemerintah sebelum ini disebabkan ia tidak lagi dilihat mampu mempertahankan dan mengamalkan nilai politik jujur dalam urusan pemerintahannya.

Kecurangan urus tadbir, khususnya dalam hal ehwal urusan sosioekonomi negara oleh sebahagian ahli politik terdahulu, jelas bertentangan prinsip politik berteraskan nilai kejujuran.

Politik baharu berteraskan nilai jujur yang berkembang dalam kalangan rakyat hari ini sepatutnya diraikan ahli politik, terutama berorientasikan agama. Ia satu inti pati penting dalam mencapai maqasid syariah.

Dalam erti kata lain, ahli politik mesti menterjemahkan nilai kejujuran dalam setiap perancangan dan perlakuan politik masing-masing sebagai satu bentuk modal baharu meraih sokongan rakyat.

Mereka tidak sepatutnya meletakkan kedudukan diri dalam keadaan pertentangan dengan nilai jujur dituntut rakyat.

Satu gambaran jelas pengaruh nilai jujur dalam politik era Malaysia Baharu, ialah debat meluas rakyat terbanyak terhadap sejauh mana komitmen kerajaan hari ini dalam menunaikan janji terungkap dalam manifesto pilihan raya lalu.

Rakyat secara umum peka dan sensitif dengan ucapan dan tindakan ahli politik yang didapati bersikap ‘culas’ dalam melaksanakan janji pilihan raya. Tingkat keyakinan mereka terhadap seseorang ahli politik atau kerajaan amat bergantung sejauh mana mereka jujur menyempurnakan kandungan manifesto dijanjikan.

Politik berteraskan nilai jujur mendorong rakyat menolak perlakuan yang dilihat dan dirasakan seolah-olah cuba mempermainkan janji diungkapkan atau amanah dipertanggungjawabkan.
Ahli politik tidak lagi boleh menanggapi rakyat hari ini dengan mudah mengikut telunjuk mereka dengan kata-kata manis atau dengan sumbangan wang ringgit tertentu.

Era politik yang hanya bergantung modal ucapan retorik, dalih seribu alasan atau agihan projek sebenarnya sudah berlalu. Dengan tahap kematangan politik rakyat dan meluasnya nilai politik jujur, rakyat mementingkan ahli politik ikhlas, amanah dan gigih menyempurnakan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara.

Politik berteraskan nilai jujur tentu mengarahkan rakyat menghukum ahli politik dan kumpulannya yang mengamalkan manipulasi dan eksploitasi. Budaya berpolitik yang suka membakar sentimen perkauman dan ketegangan agama, misalnya adalah satu bentuk politik manipulasi yang ditolak rakyat matang.

Perbuatan mengadakan pakatan sulit bertujuan menghuru-harakan kestabilan politik seterusnya menangguk di air keruh, pasti tidak dimaafkan walaupun menggunakan apa juga dalil agama dan alasan.

Sesungguhnya berpolitik pada era baharu memerlukan ahli politik meningkatkan kualiti nilai mereka dengan menekankan politik berasaskan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Mereka tidak sepatutnya terjebak politik sabotaj atau sikap ‘bercakap tidak serupa bikin’. Harapan rakyat terhadap politik sebagai antara jalan penting bagi mencapai perubahan kini semakin tinggi.

Rakyat menunaikan amanah mereka dengan begitu berani pada pilihan raya umum lalu demi melihat perubahan terbaik terhadap negara.

Lantas, sandaran besar kini tertanggung kepada ahli politik yang terpilih bagi menyempurnakan harapan diberikan dengan sepenuh komitmen. Ahli politik diharap tidak menghancurkan harapan besar rakyat yang tinggi menggunung itu.

Justeru, penting untuk ahli politik mengelak terbabit sebarang usaha tidak berakhlak dan bertentangan nilai jujur yang boleh mengundang rasa kecewa rakyat sekali lagi.

Rakyat yang kecewa pasti akan mengundang padah buruk kepada masa depan ahli politik suatu hari nanti.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.