https://critoxium.com/shop/

Terkini

Zuraida perlu tepati janji - Lembaga Disiplin PKR

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin PKR memberi amaran kepada Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin supaya menepati janji untuk hadir sesi pendengaran kes disiplinnya pada 25 Februari ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Kasim menegaskan, pihaknya tidak akan berlembut lagi dengan Zuraida jika beliau gagal hadir pada tarikh yang beliau tetapkan sendiri.

“Kita fikir juga beliau sibuk dengan tugas sebagai menteri, tetapi beliau kena pastikan datang pada 25 Februari ini. Itu tarikh yang beliau minta.

“Kita beri amaran beliau kena tepati janji. Sebelum ini sudah tiga kali beliau minta tangguh. Selepas ini kita tidak mahu tangguh lagi. Kes disiplin beliau ini berat,” katanya

Semalam, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan beliau hanya akan hadir pada 25 Februari ini untuk sesi pendengaran oleh Lembaga Disiplin parti.

Katanya, perkara itu juga sudah dipersetujui selepas pegawainya menghubungi Lembaga Disiplin PKR untuk penetapan tarikh berkenaan.

Sebelum itu, Lembaga Disiplin memberi tempoh kepada Zuraida untuk hadir sesi pendengaran sebelum 20 Februari ini namun Ahli Parlimen Ampang itu mendakwa persetujuan sudah dicapai yang beliau akan hadir pada 25 Februari nanti.

Baru-baru ini, Zuraida mengambil cuti daripada semua jawatannya dalam parti sehingga Lembaga Disiplin parti itu selesai menjalankan siasatan berhubung satu ucapannya yang mengkritik pimpinan secara terbuka.

Zuraida turut meminta supaya prosiding dan tatacara siasatan terhadap dirinya ditangguhkan seketika berikutan beliau menerima dua surat berkait tindakan undang-undang daripada dua pemimpin PKR.

Sementara itu, Ahmad berkata, perubahan tarikh sesi pendengaran Zuraida itu tidak mengganggu agenda mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dijadual pada 23 Februari nanti.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.