https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pengkhianat tiada tempat dalam Pakatan

PEMIMPIN yang enggan bergerak sebagai satu angkatan dan memperjuangkan prinsip Pakatan Harapan (PH) dipersilakan keluar daripada parti, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata beliau tidak mahu melihat ada lagi pengkhianatan dalam pakatan itu yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH.

“Jangan kita biarkan episod pengkhianatan demokrasi ini berlaku lagi. Jika ada lagi pimpinan seperti ini, dipersilakan keluar,” tulisnya di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata PH kini perlu bersatu dan tidak menyerah kalah.

“Apa jua yang berlaku, pasukan ini akan terus kekal bersama dan bina kekuatan. Usah kita panik, namun harus pulihkan semangat.

“Kita mesti kukuh dan bergerak sebagai satu angkatan dan terangkan kepada rakyat berkenaan sanggahan pasukan pengkhianat. Jangan mengalah dan korbankan prinsip,” jelas beliau.

Anwar berkata itulah yang dijelaskan kepada pimpinan PH pada rapat umum Pertahan Mandat Rakyat di Kuala Lumpur semalam.

Pada 24 Februari, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan perdana menteri sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden Zuraida Kamaruddin juga dipecat pada 24 Februari selepas mencetuskan spekulasi adanya gerakan mahu membentuk kerajaan pintu belakang.

Sembilan ahli Parlimen PKR kemudian mengumumkan keluar parti menyokong Azmin, dan membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Kesemua bekerjasama termasuk Azmin dan Zuraida dengan Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan Perikatan Nasional, sebuah gabungan yang juga terdiri daripada Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pada 1 Mac lalu Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.