https://critoxium.com/shop/

Terkini

Zahid mahu kerajaan tegas isu Rohingya

AHMAD Zahid Hamidi mahu kerajaan bertegas dalam isu pelarian Rohingya selepas tular dakwaan kumpulan etnik pelarian dari Myanmar itu membuat pelbagai tuntutan kepada kerajaan.
Presiden Umno berkata sebagai pelarian, mereka sepatutnya berada di Malaysia untuk suatu tempoh tertentu dan diberikan bantuan kemanusiaan sebelum dihantar ke negara lain atau pulang ke negara asal.

“Tentunya kita telah dan akan membantu mereka di atas dasar kemanusiaan. Itu sahaja.
“Mereka harus menghormati undang-undang dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Kerajaan mesti bertegas dalam hal ini serta selesaikannya secara baik dan berdiplomatik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Zahid mengulas isu pelarian Rohingya yang sedang hangat dibahaskan selepas tular dakwaan mereka memohon taraf kerakyatan Malaysia.

Dalam kenyataannya, Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri menggariskan pelbagai tindakan dan bantuan yang sudah kerajaan lakukan untuk etnik Rohingya.

Kata Zahid, segala bantuan itu tidaklah sampai membolehkan etnik Rohingya jadi rakyat Malaysia.
Dakwaan yang mula tersebar di media sosial, kononnya etnik Rohingya di Malaysia menuntut taraf warganegara, bagaimanapun sudah dipadam dan tidak lagi dapat dikesan.

Pemimpin etnik Rohingya di Malaysia yang didakwa membuat kenyataan itu juga menafikan ada mengeluarkan kenyataan tersebut.

Namun mesej sama terus disebarkan oleh banyak pihak sehingga mencetuskan sentimen kebencian berbaur perkauman terhadap etnik Rohingya.

Dakwaan yang tular itu mula dikesan tidak lama selepas pengumuman pihak tentera Malaysia mengenai kejayaan mereka pada 16 April lalu menyekat percubaan sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya untuk masuk ke perairan negara, lebih kurang 130 km dari Pulau Langkawi.

Tindakan itu dikritik oleh beberapa pertubuhan hak asasi manusia serta wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Eric Paulsen sebagai tidak berperikemanusiaan.

Awal hari ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan Putrajaya baru-baru ini menyekat kemasukan baharu pelarian Rohingya ketika Malaysia berdepan penularan pandemik Covid-19.

Menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob pula berkata polis sedang menyiasat penyebaran ucapan dan kenyataan berbaur kebencian terhadap etnik Rohingya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan menyiasat Bernama Radio, stesen berita radio milik agensi berita nasional, berhubung wawancara dengan seorang pemimpin badan masyarakat mengenai pelarian etnik Rohingya di Malaysia. Wawancara itu didakwa melanggar kod kandungan penyiaran.–

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.