https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kekhilafan Yang Di Pertua Dewan Rakyat Dalam menghadkan Agenda Mesyuarat Berdasarkan Peraturan 11 (2) Dan Peraturan 15 (2) ?

Oleh Dato' Wira Amiruddin Hamzah

Dalam kesibukan pentadbiran PH + BERSATU menghadapi krisis di Kedah, kita dikejutkan dengan satu hebahan media daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bahawa sidang mesyuarat pada hari Isnin, 18 Mei 2020 hanya dihadkan kepada Titah Di Raja tanpa ada agenda-agenda lain.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengumumkan hal berkenaan kerana menuruti makluman YAB Perdana Menteri yang bertindak sebagai Ketua Majlis Dewan Rakyat. Alasan yang diberikan ialah penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda walaupun PKPB telah membenarkan beberapa industri dan perusahaan memulakan operasi.

Jika kita meneliti alasan yang diberikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan membuat semakan Peraturan Dewan Rakyat, terdapat ruang persoalan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah terkhilaf kerana membenarkan permintaan pihak Kerajaan untuk menghadkan agenda mesyuarat kepada titah Yang di-pertuan Agong semata-semata berdasarkan Peraturan 11 (2) dan Peraturan 15 (2), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu melihat semula keputusan tersebut kerana:

a. Peraturan 11(2) hanya memberikan kuasa kepada Ketua Majlis dan Timbalannya untuk mengubah tarikh-tarikh persidangan Dewan Rakyat yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa. Ia
BUKANNYA untuk mengubah dan menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat yang telah ditetapkan susunan agendanya dalam Peraturan 14 (1).

b. Peraturan 15(2) pula hanya memberikan kuasa kepada pihak Kerajaan untuk menentukan aturan urusan Kerajaan, BUKAN aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat. Sekali lagi diulangi bahawa Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat telah ditetapkan susunan agendanya dalam Peraturan 14 (1).

c. Urusan kerajaan hanyalah sebahagian daripada agenda dalam Aturan Urusan Mesyuarat yang diberikan keutamaan berdasarkan Peraturan 15 (1). Peraturan 15(2) boleh digunakan oleh pihak kerajaan misalnya dalam menentukan aturan dalam senarai Rang Undang yang ingin dikemukakan atau dibahaskan.

Jika benar ada keperluan mendesak untuk pihak kerajaan mendahulukan sesuatu urusan bertentangan dengan aturan sedia ada dalam Peraturan 14 (1), Peraturan 14 (2) membenarkan satu usul daripada Menteri untuk berbuat demikian.

Usul ini pun tidaklah sampai boleh menafikan agenda-agenda lain dilangsungkan selama mana waktu mesyuarat mengizinkan.

Timbul persoalan mengapakah perlu dihadkan secara kontroversi urusan mesyuarat kepada Titah Diraja semata-mata sebelum mesyuarat bermula?

Hal ini seakan mengiyakan dakwaan pembangkang bahawa tindakan ini adalah disebabkan usul yang akan dibawa oleh YB Langkawi.

Jika pihak Kerajaan tiada urusan yang ingin dilangsaikan seusai titah diraja maka berilah laluan kepada usul persendirian daripada YB Langkawi. Itulah yang sebaiknya bagi mendukung setelus mungkin sistem demokrasi negara kita.

Saya kira jika pihak kerajaan jelas telah menguasai majoriti ahli dewan rakyat, usul tersebut tidak perlu digeruni. Malah ia akan membuktikan kepada umum kekuatan sebenar bilangan kerajaan di parlimen dan juga sekaligus memadamkan dakwaan yang mengatakan kerajaan tidak mempunyai bilangan yang cukup untuk memerintah.

Baiklah, apakah pilihan yang ada buat Kerajaan sekiranya Kerajaan tidak mahu berdepan dengan Usul YB Langkawi?

Pihak Kerajaan hanya perlu memastikan bahawa Mesyuarat Dewan Rakyat sentiasa disibukkan dengan urusan Kerajaan sehingga tamat sesi Dewan Rakyat jam 5.30 petang.

Tidak perlu mengambil tindakan yang membuka ruang khilaf dan bertentangan dengan peraturan Dewan Rakyat untuk menidakkan hak YB Langkawi bagi usulnya dibaca dan diputuskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Jangan kita lupa bahawa selain daripada menjamin ketertiban mesyuarat, Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat digubal bagi menjaga hak dan demi berlaku adil kepada semua ahli-ahli Dewan Rakyat termasuklah Pembangkang. Inilah ruh dan peranan sebenar Dewan Rakyat di dalam kerangka demokrasi ala-Westminster yang kita amalkan di Malaysia.

Dato' Wira Hj Amiruddin Hj Hamzah
Ahli Parlimen Kubang Pasu
ADUN Anak Bukit

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.