https://critoxium.com/shop/

Terkini

Lompat si katak lompat, kerana kuasa lupa rakyat

Oleh

 Minggu ini, dua wakil rakyat PH di Kedah mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas. Malah, mereka turut menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Oktober 2015, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah berkata bahawa wakil rakyat yang lompat parti bukan lagi seperti katak tetapi tidak ubah seperti ‘monyet’. Beliau mengibaratkan ‘monyet-monyet’ ini tidak sabar untuk melompat ke pokok lain setelah mereka mendapati pokok yang diduduki sebelum ini kehabisan buah.

Namun, pendirian beliau dilihat bercanggah bermula penghujung Februari lalu dengan kenyataan beliau yang berbunyi “demokrasi bukan hanya satu pintu” dengan mengambil contoh kisah Nabi Yusuf. Mungkin beliau terlupa dengan kenyataan yang dikeluarkannya pada tahun 2015 tersebut.

Penganalisis politik dan kolumnis Harakah Daily, Dr Kamarul Zaman Haji Yusof pula menyatakan kononnya tindakan lompat parti sebagai hak demokratik wakil-wakil rakyat.

Persoalannya, bagaimana pula dengan hak rakyat yang mengundi dan memberi mandat kepada wakil rakyat tersebut?

Apakah pula hak parti yang menyokong dan memberi segala bentuk bantuan serta galakan kepadanya sebelum ini?

Rata-rata menteri yang melompat parti ini memiliki cita-cita peribadi lebih besar berbanding berkhidmat untuk rakyat.

Isu lompat parti kembali hangat bermula 24 Februari lalu yang menunjukkan sikap sebenar Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 10 lagi ahli PKR. Mereka bertindak keluar dari parti dan menubuhkan blok bebas.

Aneh melihat individu-individu yang sama-sama melawan dan menjatuhkan kleptokrasi sebelum ini, kini hidup ‘rukun’ menjadi kerajaan bersama dengan parti lawan. Mereka bersama-sama membentuk kerajaan pintu belakang dan mengabaikan hak pengundi serta perjuangan yang digembeleng bertahun-tahun lamanya.

Para pelompat parti ini jelas hilang arah perjuangan dan tidak bermaruah.

 Menggadaikan parti, rakan-rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan (PH) dan lebih buruk lagi membelakangkan para pengundi yang mengangkat mereka pada satu kedudukan yang tinggi.

Malaysia kini berada dalam situasi yang meletakkan rakyat dalam sebuah dimensi lain, tanpa kuasa dan matinya hak demokrasi. Ia satu situasi yang amat buruk dan mandat rakyat perlu dikembalikan pada Pilihan Raya ke-15 nanti supaya Malaysia tidak dilihat goyah di mata dunia.

Biarlah menjadi pembangkang yang bermaruah daripada menjadi kerajaan tanpa mandat rakyat

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.