https://critoxium.com/shop/

Terkini

Muhyiddin Perdana Menteri 'Cina Buta''


Oleh Mohd Sayuti Omar
 
Dalam budaya orang Melayu ada satu istilah dinamakan Cina Buta, ia merupakan satu jalan keluar bagi pasangan yang bercerai lebih daripada tiga kali talak tetapi mereka ingin rujuk semula. Dari konteks agama ia disebut "muhallil". 
 
Menurut peraturan nikah kahwin dalam Islam, setiap pasangan yang bercerai dengan talak tiga, mereka tidak boleh merujuk semula, melainkan sesudah si perempuan itu berkahwin lain baru ia boleh rujuk atau berkahwin semua dengan bekas suaminya itu. (Tak percaya tanya tok peti jadi menteri).
 
Si isteri diceraikan itu kena berkahwin terlebih dahulu, sekejap pun tidak mengapa untuk menghalalkan dia bernikah semula dengan bekas suaminya itu. Ertinya perkahwinan itu tektikal sahaja, tetapi ia halal. 
 
Saya tercari-cari kenapa istilah itu sebagai Cina Buta. Selepas membuat sedikit kajian lisan, saya percaya kenapa ia dipanggil Cina Buta, ialah kerana lelaki yang dijadikan alat menghalalkan cara itu mungkin dia seorang cina yang matanya buta, maka ia dipanggil Cina Buta. Kita fahamlah kalau seseorang itu yang matanya buta, ia tidak mempunyai deria rasa (lihat) seperti orang biasa, dan kekurangan penglihatan itu dikira dia mudah untuk dipersendakan. 
 
Di Kelantan ia tidak disebut Cina Buta, tetapi "bbuta". "Bbuta" ini satu pekerjaaan untuk membantu menyelesaikan masalah suami isteri bercerai lebih tiga kali kemudian ingin rujuk semula.Orang yang sanggup melakukan itu dipanggil "upah bbuta"
 
Kerja upah "bbuta" ini biasanya dilakukan oleh lelaki yang kurang perkasa, tidak sihat dan tak berapa galak kejantanannya. Kerana tujuannya bukan untuk jadi pasangan kekal tetapi sandaran bagi melepaskan tatahukum semata-mata. Biasanya ia berkahwin hanya satu malam sahaja, esok si tukang "Bbuta" itu akan diminta menceraikan bininya, baik secara rela atau paksa. Selepas melakukan kerja itu maka tukang "bbuta" itu akan dibayar upahnya. 
 
Sehubungan itu saya nak kisahkan suatu kejadian "bbuta" di Kelantan, dekat-dekat kampung saya. Sepasangan suami isteri telah bercerai sebanyak tiga kali, (talak tiga) tetapi mereka ingin berkahwin semula. Maka si suami kerana tidak mahu serahkan isterinya kepada tukang bbuta, dia meminta kawannya untuk jadi "tukang bbuta." Dia berbuat begitu kerana lebih percaya kepada kawannya daripada tukang bbuta, maklumlah isteri cantik, lawa dan gebu menggiurkan sesiapa sahaja. 
 
Apa diharap tidak jadi kenyataan, kawannya yang jadi tukang bbuta itu tidak mahu menceraikan bekas isterinya itu. Dan isterinya juga selesa hidup bersama suami barunya si tukang bbuta itu. Mungkin kerana barang baik kok. (Hehe..)
 
Apa lagi, maka terngaggalah lelaki itu, bekas bininya kekal jadi bini kawannya dan dia pula menduda sampai ke tua.
 
Nah, dalam kejadian rampasan kuasa kerajaan PH, berdasarkan kepada dialog dalam mesyuarat PH 23 Februri lalu, seperti ditranskripkan, yang bertindak sebagai tukang bbuta ialah Muhyiddin Yassin. Beliau tidak dilaporkan berkata apa-apa pun dalam mesyuarat yang panas itu atau menunjukkan dia berminat dengan jawatan PM. Mustahil beliau tidak hadir.
 
Pihak lain yang lebih-lebih bercakap, bertengkar dan meninggikan suara. 
 
Ada orang yang berhajat untuk jadi PM, sebab itulah mesyuarat itu tegang. Bagaimana pun individu berkenaan ada masalah lain untuk dia memiliki jawatan itu maka, di sinilah Muhyiddin dijadikan galang gantinya buat sementara. Sifat Muhyiddin itu tidak ubah sebagai Cina Buta, atau pengambil upah "bbuta".
 
Orang yang bernafsu hendakkan jawatan PM itu mengharap selepas ini Muhyiddin akan melepaskan kepadanya, atau setidak-tidak melantik dia dahulu sebagai TPM sebagai merintis ke kerusi PM. Tetapi tidak dilakukan Muhyiddin.
 
Hari ini melihat kepada cara Muhyddin persiapkan diri mengukuhkan dirinya, dengan memberikan kepada semua MP ghanimah, menampak dia tidak akan serahkan jawatan itu dan akan terus memegangnya. 
 
Barangkali dia sudah merasai sedap dan enak menjadi PM, boleh berbuat apa saja yang dimahuinya, seperti mana si tukang bbuta tadi sesudah merasai sedap berkahwin dengan bekas isteri kawannya ia tidak akan melepasnya lagi sampai kapan pun.
 
Nah begitulah Muhyiddin, dia adalah PM semacam Cina Buta atau ambil upah “bbuta” sahaja. Trims.


Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.