https://critoxium.com/shop/

Terkini

Amanah, DAP tolak rundingan dengan ‘dalang jahat’

PETALING JAYA: DAP dan Amanah menolak sebarang rundingan dengan “dalang jahat” dikaitkan dengan pertemuan antara ahli Parlimen Umno, PAS, PPBM dan PKR yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari lalu.

Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub dan Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran berkata, kegagalan membezakan kawan serta lawan akan membawa kepada kehancuran tidak terbendung.

Katanya, sebarang kombinasi parti untuk memulihkan mandat rakyat perlu membabitkan 5 parti asal PH, iaitu Amanah, DAP, PKR, Warisan dan kumpulan dalam PPBM yang diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Mereka berkata, PH tidak boleh membuat sebarang perjanjian atau cubaan membuat perjanjian dengan Hamzah Zainudin yang dilabelkan mereka sebagai “konspirator utama rampasan kuasa Langkah Sheraton”.
“Sebarang perkiraan yang melibatkan Hamzah, tetapi mengecualikan Warisan dan kumpulan Mahathir tidak boleh diterima dan tidak berasaskan prinsip,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Mereka turut menolak sebarang rundingan untuk membentuk kerajaan dengan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali atau bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Adalah penting bagi parti-parti PH Plus mencapai kesefahaman tentang siapakah musuh sebenar.
“Amanah dan DAP berpegang Warisan dan kumpulan Mahathir dalam PPBM bukanlah musuh, sebaliknya mereka adalah sekutu dalam perjuangan menentang gabungan kleptokratik Perikatan Nasional.”

Kenyataan ini menyusul laporan Hamzah menemui Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju untuk Mahathir menjadi calon perdana menteri PH, jika gabungan itu berjaya menguasai Putrajaya semula.

Sabtu lalu, Hamzah dilaporkan berkata: “Ia adalah pertemuan peribadi dengan individu yang sudah tidak berjumpa selama beberapa tahun dan perkara yang dibincangkan adalah perkara peribadi yang tidak perlu dihebahkan kepada umum.”

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.