https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ariff Yusof: 2 tahun reformasi Parlimen yang mengesankan

Oleh Wan Anwar Wan Ibrahim

Tanggal 16 Julai merupakan suatu yang bersejarah khususnya kepada Parlimen. Ini kerana pada tarikh ini bukan sahaja Ariff Yusof mengangkat sumpah sebagai yang di-pertua Dewan Rakyat ke-9 tetapi juga menandakan bermulanya pelaksanaan agenda reformasi badan perundangan tertinggi tersebut. Ramai yang menunggu dan memerhatikan, sama ada dari dekat atau jauh, baik dalam negeri mahupun luar negara, akan keberhasilan usaha pembaharuan dan penambaikan yang bersandarkan kepada Buku Harapan yang diiltizamkan oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Kini, sudah genap 2 tahun agenda reformasi Parlimen dilaksanakan bawah kepimpinan Ariff. Benar, segala program reformasi Parlimen yang digerakkan berpaksi kepada Janji 16 Buku Harapan iaitu tekad untuk mengembalikan wibawa institusi Parlimen. Kad Laporan Prestasi beliau sebagai YDP juga dikeluarkan dan ditularkan.

Antara reformasi besar dan konkrit yang berjaya direalisasikan Parlimen adalah menubuhkan sebanyak 10 jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang bertujuan untuk mengawal selia dan semak dan imbang pelaksanaan dasar setiap kementerian. Tidak dinafikan kebanyakan jawatankuasa tersebut sangat aktif mengadakan mesyuarat dan perbincangan malah turun ke lapangan menganjurkan sesi libat urus serta menerbitkan laporan untuk dibentangkan dalam sidang Dewan.
Antara jawatankuasa terlibat adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Menimbang Rang Undang-undang yang dipengerusikan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, ketika mana dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan maklum balas mengenai Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.

Kedua adalah pembentukan Kumpulan Rentas Parti Parlimen (APPG) untuk menggarap penglibatan masyarakat awam termasuk organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam proses penggubalan dan pelaksanaan dasar dan program kerajaan di peringkat mikro. Setakat hari ini, terdapat 3 APPG yang dibentuk malah beroperasi di beberapa kawasan Parlimen iaitu APPG bagi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG); Pelarian; dan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Satu lagi entiti yang tidak kurang penting adalah Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang diketuai ketua pembangkang ketika ini, Anwar Ibrahim selain Kaukus Ahli Parlimen Muda yang dipengerusikan Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad.

Ketiga dan yang paling sentral adalah mewujudkan Suruhanjaya Parlimen melalui pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen. Walaupun belum dapat dimaterialisasikan sepenuhnya kerana kekangan birokrasi, Parlimen berjaya menyiapkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Parlimen untuk dihantar ke Jabatan Peguam Negara bagi peringkat seterusnya. Agenda ini amat penting dan relevan bagi memastikan Parlimen sebagai badan legislatif benar-benar bebas daripada campur tangan eksekutif dalam kerangka doktrin pengasingan kuasa.

Bagaimanapun, harus diambil maklum usaha reformasi Parlimen yang diterajui Ariff bukanlah hanya tertakluk kepada ruang lingkup Buku Harapan semata-mata. Malah jika ditelusuri Kad Laporan Prestasi beliau, sebahagian lagi program reformasi yang dilaksanakan dipacu sendiri oleh beliau sebagai YDP. Sejak diamanahkan sebagai YDP, jumlah pelawat di Parlimen meningkat 2 kali ganda iaitu seramai 61,316 orang berbanding 36,997 orang pada 2016 dan 2017.

Beliau turut membawa institusi Parlimen terus kepada rakyat melalui inisiatif atau dasar “merakyatkan institusi Parlimen”. Ini dibuktikan melalui kunjungan hormat oleh 31 buah badan bukan kerajaan (NGO) , CSO, agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta sejumlah 42 program yang dianjurkan dengan kerjasama Parlimen dalam kawasan Parlimen. Siri Syarahan YDP (Speaker’s Lecture Series) yang pertama seumpamanya turut diperkenalkan bagi mendekatkan Parlimen dengan masyarakat.

Jika sebelum PRU-14 yang lalu Parlimen “kubu” yang tertutup hanya untuk elit politik sahaja, tetapi bawah teraju Ariff, Parlimen berubah wajah menjadi “rumah” rakyat yang terbuka luas kerana beliau percaya Parlimen tempat paling tinggi untuk membincangkan isu rakyat dan rakyat harus mempunyai akses.

Bagi memastikan kewujudan dan peranan Parlimen dirasai di peringkat akar umbi dan generasi muda, YDP ke-9 juga tidak canggung untuk menyantuni bukan sahaja mahasiswa-mahasiswi IPT tetapi juga pelajar sekolah. UM, UKM, UIA, KUIS, SMK Taman Forest Heights, Seremban dan Sekolah Menengah Sains Tapah antara IPT dan sekolah yang disantuni beliau sepanjang 2 tahun berkhidmat. Inisiatif ini juga jelas mendapat sambutan dan maklum balas yang sangat menggalakkan daripada masyarakat.

Dalam memperkasakan diplomasi peringkat kedua negara iaitu diplomasi parlimen, Ariff memacu penambahan jumlah Kumpulan Persahabatan Parlimen (Parliamentary Friendship Group) dengan parlimen dunia termasuk Kesatuan Eropah. Peranan diplomasi parlimen ini sangat membantu memperkuatkan hubungan 2 hala serta perdagangan antarabangsa. Sebagai contoh, isu pemboikotan minyak kelapa sawit Malaysia oleh Kesatuan Eropah dan India sebelum ini berjaya diredakan melalui forum perbincangan yang dimudahcarakan Parlimen antara Kumpulan Persahabatan Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa yang diketuai oleh Ahli Parlimen Subang Wong Chen dengan ahli-ahli Parlimen Jerman dan India.
Sehingga penulisan ini dibuat, terdapat sebanyak 39 buah Kumpulan Persahabatan Parlimen diwujudkan.

Bidang pendidikan tidak pernah lenyap daripada diri YDP ke-9 ini. Ia tidak menghairankan memandangkan beliau juga bekas pensyarah di Universiti Malaya. Untuk memastikan pendidikan yang berterusan untuk ahli Parlimen, Parlimen bawah pentadbiran beliau melaksanakan banyak program dan aktiviti advokasi dan latihan di samping menguruskan lawatan sambil belajar ke beberapa parlimen di dunia termasuk House of Commons (United Kingdom), Bundestag (Jerman) dan Stortinget (Norway).

Matlamat untuk melahirkan generasi ahli Parlimen baru Malaysia juga tidak diketepikan. Ini dapat dilihat melalui komitmen Parlimen di era beliau memberikan ruang bagi penganjuran program mengasah bakat perbahasan ala parlimen dalam kalangan anak muda seperti Debaton Parlimen dengan kerjasama KiniTV dan Simulasi Debat Parlimen bagi inisiatif Malaysia Future Leaders School bawah Kementerian Belia dan Sukan, malah Ariff sendiri mempengerusikan kedua-dua sidang tersebut! Menarik lagi, program di atas turut menarik minat anak muda berusia 16 tahun!

Kemuncak usaha pendidikan beliau mengenai institusi Parlimen ini dengan menerbitkan manual ringkas tentang Tatacara Parlimen dan juga apa yang disebut sebagai “Erskine May” (rujukan utama) pertama mengenai Parlimen iaitu Undang-undang, Prinsip dan Amalan di Dalam Dewan Rakyat setelah lebih 5 dekad buku pertama mengenainya diterbitkan pada 1969. Kedua-dua naskhah ini juga ada diterbitkan dalam versi Bahasa Inggeris dan diniatkan sebagai menambahkan lagi koleksi kesusasteraan Parlimen.

Yang terakhir yang belum sempat disempurnakan adalah pendidikan parlimen bagi IPT dan sekolah yang lebih berstruktur yang turut mendapat kerjasama daripada Oireachtas (Parlimen Ireland) melalui inisiatif Inter Pares (Parliaments in Partnership) bawah kelolaan Kesatuan Eropah (EU). Namun, draf sukatan pendidikan parlimen tersebut telah pun disiapkan jika ingin diteruskan oleh pentadbiran Parlimen hari ini.

Jelasnya, tempoh 2 tahun secara relatifnya tempoh yang agak singkat bagi melaksanakan sebarang bentuk perubahan dan pembaharuan dalam negara. Walaupun begitu, sebahagian besar agenda reformasi Parlimen berjaya dilaksanakan dengan signifikan dan berkesan oleh Ariff. Ya, tempoh perkhidmatan beliau sebagai YDP ke-9 mungkin antara yang paling pendek, namun Parlimen yang sebelum ini dianggap sebagai jabatan kerajaan yang paling selesa dan relaks kini sepatutnya sudah berganjak menjadi antara institusi yang paling sibuk memartabatkan urusan rakyat dan sudah semestinya legasi yang beliau tinggalkan ini akan kekal berpanjangan ke hadapan.
Terima kasih atas khidmat bakti kepada negara dan rakyat Tan Sri Mohamad Ariff.

Wan Anwar Wan Ibrahim adalah pegawai tugas-tugas khas kepada speaker Dewan Rakyat ke-9, Ariff Yusof

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.