https://critoxium.com/shop/

Terkini

Teknologi digital mantapkan strategi niaga pasca COVID-19

Oleh Dr Abdul Reezal Abdul Latif

Pandemik COVID-19 membawa impak amat besar terhadap pengilang. Sektor seperti elektronik, automotif, farmaseutikal, logam, produk komersial dan perindustrian antara teruk terkesan.

Dalam sektor perkilangan, proses kini lebih kompleks berbanding beberapa dekad lalu, membabitkan penghasilan produk melalui subkomponen yang disumberkan dari seluruh penjuru dunia tanpa sempadan.

Barangan mentah diperlukan untuk menghasilkan subkomponen itu hampir keseluruhan disumberkan dari negara lain, malah benua lain. Produk jualan pula perlu dihantar ke seluruh dunia untuk meneroka pasaran antarabangsa.

Kebergantungan besar terhadap sistem logistik kompleks ini hanya menyukarkan proses import, eksport dan pengilangan khususnya apabila gangguan terhadap rantaian bekalan tidak dijangka berlaku.

Sektor perolehan pula, dari sudut kontra terdapat juga cabaran pemerolehan bagi syarikat yang mengendalikan proses berkenaan.

Dalam dunia pascaglobalisasi ini, pemacuan ekonomi sedunia terhadap arah kecekapan produktif meningkatkan tumpuan aktiviti perkilangan di negara yang mempunyai kos perindustrian rendah, khususnya negara Timur seperti China, Taiwan, Vietnam dan ekonomi kos rendah lain.

Bagaimanapun, oleh sebab penularan pandemik yang bermula di China dan seterusnya merebak ke seluruh negara, keperluan untuk mengagihkan risiko perindustrian perlu dipertimbangkan. Ini mengambil kira krisis kekurangan barangan yang berlaku akibat pandemik belum diatasi.

Proses pengagihan produk kini mengalami beberapa cabaran dahsyat seperti isu mengisikan gudang dengan pekerja, keperluan sistem pengagihan secara langsung serta peruntukan responsif yang lebih sistematik dan canggih.

Pasaran konsumer juga mengalami impak tersendiri. Perintah kawalan pergerakan dikuat kuasa seluruh dunia menimbulkan situasi aneh dengan permintaan bagi barangan asasi masih wujud, tetapi pasaran bagi barang mewah mengalami permintaan merosot.

Hakikatnya, beberapa peruncit terpaksa menghentikan operasi mereka dan lebih banyak lagi akan mengalami cabaran besar dari segi margin operasi dan model.

Dari aspek konsumer pula, fenomena penghimpunan stok ubat-ubatan dan barang keperluan lain untuk diri sendiri disebabkan kemelut COVID-19 ini, menjejaskan kecekapan rantaian bekalan.
Hakikatnya, fenomena ini bukan aneh, malah dianggap sebagai reaksi normal dalam keadaan krisis ini.

Bagaimanakah syarikat mampu melaksanakan penyelesaian jangka pendek dalam carta organisasi mereka, untuk mengatasi isu ketegangan rantaian bekalan?

Apabila berhadapan krisis COVID-19, taktik meningkatkan autonomi bagi jabatan atau lokasi mungkin tidak sesuai dilaksanakan.

Oleh itu, syarikat dan organisasi boleh memilih untuk memberi kelonggaran kepada pasukan pelbagai fungsi untuk membuat keputusan tersendiri.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa meningkatkan autonomi, walaupun pada peringkat sementara, mungkin merisaukan kumpulan eksekutif peringkat atasan.

Namun, organisasi semestinya mempunyai prinsip lebih positif, iaitu kakitangan mereka perlu dipercayai untuk membuat keputusan sukar.

Seterusnya, syarikat mungkin boleh mempertimbangkan keputusan untuk melaksanakan kepemimpinan single-threaded atau jalur tunggal. Kepemimpinan single-threaded sudah diguna pakai dengan berjaya oleh konglomerat multinasional seperti Amazon.

Apakah itu kepemimpinan single-threaded? Istilah ini boleh ditakrifkan sebagai taktik memberi seorang pemimpin tugas mengatasi sesuatu cabaran dengan bajet dan masa tertentu.

Kepemimpinan berdasarkan model ini membolehkan syarikat untuk mengenal pasti idea 'permulaan' berpotensi, lalu menugaskan seorang pemimpin daripada kalangan kakitangan mereka untuk memacu ke arah kejayaan.

Dengan cara ini, pemimpin dapat memaksimumkan fokus dan meminimumkan segala gangguan — sekurang-kurangnya buat masa ini.

Utamakan alat kolaborasi digital yang mudah dan senang digunakan. Selalunya, komunikasi dalaman terhalang oleh sistem dan situasi warisan seperti menunggu keputusan yang mengambil masa. Untuk membantu pengurusan krisis, syarikat harus memilih satu set alat kolaborasi digital dan melakukan semuanya.

Terdapat banyak alat boleh dipasang dan digunakan dengan mudah untuk pertemuan maya, komunikasi segera dan kerjasama kerja projek. Satu-satunya kriteria untuk platform kolaborasi digital ialah kemudahan penggunaan.

Di samping itu, komunikasi amat penting, terutama dalam situasi COVID-19 ini. Pemimpin mesti memastikan pekerja menggunakan aplikasi komunikasi digital yang mudah digunakan.

Ini penting kerana ia akan membolehkan pekerja membuat keputusan dengan lebih cepat dan tepat berkenaan kerja seharian.

Kesimpulannya, bagi memastikan rantaian bekalan tidak terjejas, beberapa langkah atau penyelesaian yang perlu diambil. Pertama, memberi lebih autonomi atau kuasa kepada pekerja untuk membuat keputusan tanpa memerlukan perbincangan yang mengambil masa.

Kedua, bajet diberikan kepada ketua jabatan atau operasi untuk menyelesaikan tugas dan masalah dalam rangka masa diberi dan ditetapkan. Ini membolehkan ketua operasi menumpukan lebih perhatian kepada tugas utama.

Ketiga, komunikasi secara jelas dan telus. Menggunakan pelantar digital mudah dan merekodkan setiap langkah diambil. Keempat, menggunakan peranti digital yang membolehkan kerjasama lebih cepat dan cekap.

COVID-19 menyajikan banyak cabaran serius belum pernah terjadi sebelumnya bagi organisasi melintasi persekitaran perniagaan, termasuk kemungkinan kecairan, gangguan rantaian bekalan global, peningkatan halangan perdagangan dan perubahan pemikiran pengguna.

Bagaimanapun, dunia pasca COVID-19 akan melihat teknologi digital memainkan peranan penting dalam memberi penambahbaikan bagi perniagaan, termasuk rantaian bekalan lebih berdaya tahan, peningkatan pengalaman pengguna secara ketara dan kepintaran proses untuk menghasilkan perniagaan lebih menguntungkan.

Penulis adalah Presiden dan ketua Pegawai Eksekutif Renax Technologi Sdn Bhd

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.