https://critoxium.com/shop/

Terkini

Penjelasan dari peguam yg membela mereka yg tertipu dgn Al-Maunah.


 Oleh Zulqarnain Lukman

Saya ucapkan tahniah kepada bekas klien saya yang terlibat dalam kes Al-Maunah kerana mendapat pengampunan dan dibebaskan hari ini daripada penjara.

Kebanyakan mereka adalah pengikut yang telah ditipu oleh ketua mereka. Semasa perbicaraan kes pada tahun 2000 dahulu beberapa fakta kes penipuan itu pun baharu mereka tahu seperti pedang kembar yang didakwa diperolehi daripada pertapaan guru rupanya hanya dibeli di pasar seni Kuala Lumpur. Ada juga yang ditipu kononnya untuk menjalani latihan bersama tentera tetapi sebenarnya ketua mereka mempunyai agenda tersirat untuk menjadi khalifah di Malaysia atas dasar kononnya wajib mewujudkan kembali pemerintahan Islam secara khalifah.

Namun, undang-undang tetap mendapati mereka bersalah walaupun mereka hanyalah pengikut sahaja. Ini menunjukkan janganlah kita berwala' sangat dengan pemimpin kita yang karut marut dan berpanjangan menipu. Kelak, nanti kesalahan mereka juga akan terbeban atas diri kita juga dan tatkala itu kita sudah terlambat untuk menarik diri.

Selepas beberapa tahun perbicaraan mereka didapati bersalah kerana memerangi YDPA di bawah S. 121 Kanun Keseksaan. 4 orang telah dihukum mati dan beberapa orang telah mengaku salah dan dihukum penjara 7 - 10 tahun. Beberapa orang yang tidak mengaku salah telah dihukum penjara sepanjang hayat.

Penjara sepanjang hayat ini berbeza daripada penjara seumur hidup kerana penjara seumur hidup ini ada tempohnya. Dahulu kalau tidak silap penjara seumur hidup ini adalah penjara selama 20 tahun dan kemudiannya undang-undang dipinda untuk penjara selama 30 tahun. Sesiapa yang berkelakuan baik akan menerima diskaun hukuman sepertiga secara automatik.

Penjara sepanjang hayat ini pula maksudnya orang itu tidak boleh keluar penjara melainkan sudah menjadi mayat. Tidak silap saya ada 2 orang di kalangan mereka yang telah meninggal dunia di dalam penjara.

Pada awalnya, waran yang dikeluarkan ke atas mereka menyatakan tempoh mereka akan keluar penjara pada tahun 2013 tetapi pendakwaraya pada masa itu menyedari perbezaan maksud penjara seumur hidup dan sepanjang hayat lalu telah mengarahkan supaya waran itu dipinda menjadi sepanjang hayat.

Setelah berlalu satu tempoh pemenjaraan, mereka dibenarkan oleh undang-undang untuk membuat representasi bagi pengampunan diraja sama ada melalui penjara atau melalui peguam. Saya pernah juga mewakili mereka dan memohon pengampunan diraja sewaktu pemerintahan YDPA Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dahulu tetapi representasi itu telah ditolak oleh Lembaga Pengampunan. Mungkin sebab sentimen keselamatan negara pada waktu yang mana kes Jamaah Islam dan ISIS sangat ketara. Saya meminta mereka terus berdoa dan berdoa agar satu hari nanti peluang pengampuan terbuka buat mereka.

Alhamdulilah syukur hari ini mereka telah dibebaskan dan saya percaya itu keputusan yang baik buat mereka dan negara ini sendiri. Mereka bukanlah penjenayah tegar atas kesalahan merompak, mencuri atau merogol. Meskipun kesalahan memerangi YDPA itu adalah kesalahan yang berat tetapi kesalahan itu dibuat di bawah pengaruh ketua mereka dan mereka adalah bersifat pengikut yang ditipu. Mereka mampu memberikan sumbangan untuk pembangunan negara. Kos tahanan mereka di penjara juga dapat dijimatkan sebanyak RM35 seorang setiap hari.

Saya berdoa agar mereka dapat terus memulakan kehidupan baharu bersama keluarga tercinta yang terus berada di samping mereka. Tidak mudah bagi famili untuk terus berada di sisi tatkala ketua keluarga mereka dipenjarakan selama tempoh 20 tahun.

Sisi baik juga bagi mereka adalah ada di kalangan mereka yang telah mengikuti program keagamaan ataupun akademik semasa berada di penjara. Ada yang telah menghafaz Al-Quran lebih daripada 7 juzuk dan ada juga yang telah meneruskan pengajian jarak jauh dari dalam penjara sehingga ke peringkat master. Ada juga yang mengikuti kelas kemahiran seperti menjahit baju. Tahniah kepada pihak penjara kerana telah berjaya membuat program sedemikian. Selain itu, mereka juga adalah perawat yang berkaliber yang mampu memberikan rawatan kepada penyakit fizikal dan gangguan iblis syaitan.

Semoga semua kemahiran yang diperolehi itu berguna untuk mereka meneruskan kehidupan baharu.

Nota tambahan: Semua sekali kena tuduh 29 orang. 4 orang telah dihukum gantung termasuk arwah Amin, hukuman 5 tahun 2 orang, hukuman 10 tahun 8 orang, hukuman penjara sepanjang hayat 15 orang (13 bebas semalam, 2 meninggal dunia dalam tahanan)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.