https://critoxium.com/shop/

Terkini

Permainan Golek Para Dalam Isu 101 Projek Runding Terus

Oleh Mohd Sayuti Omar

Wakil rakyat yang bangkit bertanya mengenai apakah berlaku pemberian perolehan (projek) secara runding terus di zaman kerajaan PH adalah wakil Pontian, Ahmad Maslan. Atas rasa ingin tahu Mat Maslan dengan tujuan agar perkara itu terdedahlah maka Menteri Kewangan Zafrul Aziz menjawab dan memberitahu ada 101 projek bernilai RM6.61 billion diberikan secara terus di era kerajaan PH.

Sekali pandang apa dilakukan Mat Maslan dan diberi tindakan oleh Zafrul (menjelas) itu bagus buat Umno dan kerajaan PN, kerana ia seakan untuk memburukkan kerajaan lalu khasnya menghina Guan Eng selaku menteri kewangan. Itulah persepsi yang nampak ketika itu. 

Tetapi setelah menilai kesan daripada keberanian dan ketelusan Zafrul itu ia memberi kesimpulan lain pula. Semasa menjawab pertanyaan dibangkit oleh wakil Pontian itu, Menteri Kewangan lancar menjelaskan satu persatu, seperti sudah ada dalam nota di depannya. Keadaan ini seakan sudah ada "muafakat nasional" antara Mat Maslan dengan Zafrul.

Di sini dapat disimpulkan Zafrul sudah bersedia dengan jawaban dan penjelasan itu. Ertinya pendedahan 101 projek diberi terus itu sudah dirancang awal-awal. Yang jadi pertanyaan dan senak perut, pendedahan itu di samping untuk mengena Guan Eng dan mendiang kerajaan PH, ia juga turut tempias kepada beberapa menteri kabinet lain termasuk yang berada dalam kerajaan PH dahulu.

Antara yang tempias sama adalah Muhyiddin Yassin, Azmin Ali sendiri. Kerana ada tempiasan inilah maka pendedahan Zafrul itu hanya sekerat sahaja, tanpa sedia untuk menyenaraikan nama-nama 101 buah syarikat yang mendapat projek berkenaan.

Episod pendedahan hal itu dilihat disamping untuk memalukan kerajaan PH ia juga bagi memalukan Muhyiddin juga. Jika andaian ini benar tidak pelek kerana orang bertanya itu tentu kecil hati kerana tidak dibawa masuk ke dalam kabinet maka ia bersifat ingin memulang paku buah keras kepada orang yang tak memilihnya.

Seperti ada permainan golek para dari pihak Umno mengenai perkara ini.

Isu 101 buah projek ini tidak akan terurai selagi nama-nama syarikat yang mendapat projek itu tidak didedah dan dipamerkan di notis billboard awam. Rakyat kini sedang menuntut perkara itu seperti mana mana rakyat menuntut agar hukuman setimpal kepada menteri yang langgar SOP Covid. Trims.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.