https://critoxium.com/shop/

Terkini

5 kumpulan manusia yang tidak akan dibantu oleh RUU PKP

Oleh DR ONG KIAN MING

Matlamat Akta ini adalah baik iaitu untuk membantu golongan mereka yang terjejas akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ataupun “Movement Control Order” (MCO) yang bermula pada 18 Mac 2020.

Tetapi malangnya Fasal Kecualian ataupun “Savings” yang dinyatakan dalam Akta ini bermakna yang golongan yang sebahagian besar daripada golongan yang terjejas bukan sahaja tidak akan dibantu oleh Akta ini tetapi ada kemungkinan besar bahawa Akta ini akan menjadikan keadaan ekonomi mereka lebih teruk daripada keadaan dimana Akta ini tidak diperkenalkan.
Saya beri contoh LIMA individu / keluarga yang tidak akan dibantu oleh Akta ini…
PERTAMA, Penyewa Kedai di Kompleks Membeli Belah yang terpaksa ditutup semasa PKP / MCO dan tak mampu membayar sewa bulanan untuk 2 bulan.

Kontrak sewa ini dibatalkan oleh Pemilik Kedai dan Deposit Penyewa Kedai dilucutkan dan digunakan untuk membayar sewa tunggakan. Tindakan ini telah diambil oleh Pemilik Kedai dan sekarang, kedai itu telah disewa kepada penyewa yang lain.

Penyewa sebelum ini tidak mampu untuk membuka kedai di tempat yang lain kerana kehilangan pendapatan semasa PKP dan juga kehilangan deposit sewa yang dilucutkan.
Mengikut Fasal 10 Akta ini…

“Walau apa pun seksyen 7, mana-mana kontrak yang ditamatkan, mana-mana deposit atau bon pelaksanaan yang dilucut hak, mana-mana ganti rugi yang diterima, mana-mana prosiding undang-undang, timbang tara atau pengantaraan yang dimulakan, mana-mana penghakiman atau award yang diberikan dan mana-mana pelaksanaan yang dijalankan bagi tempoh dari 18 Mac 2020 hingga tarikh penyiaran Akta ini hendaklah disifatkan telah ditamatkan, dilucut hak, diterima, dimulakan, diberikan atau dijalankan dengan sah”

Dengan izin, “there is no recourse for the renter who has already been evicted”…

Pemilik kedai juga tidak ada sebarang kewajipan untuk memberi diskaun 30% untuk mendapatkan manfaat potongan cukai seperti apa yang dicadangkan oleh kerajaan.

KEDUA, untuk syarikat penganjur acara yang telah menandatangani kontrak untuk menyewa ribuan khemah dan tandas mudah alih (“mobile toilets”) untuk acara larian yang terpaksa dibatalkan, selagi syarikat yang menyediakan khemah dan tandas mudah alih memulakan tuntutan undang-undang terhadap anda SEBELUM pewartaan akta ini, perlindungan yang diberikan oleh akta ini juga tidak boleh dipakai oleh syarikat penganjur.

Bukan sahaja deposit yang dibayar oleh syarikat penganjur ini akan dilucutkan tetapi ada kemungkinan yang syarikat khemah akan menuntut bayaran ganti rugi daripada syarikat penganjur acara.

KETIGA, seorang pemilik syarikat PKS / SME yang mengalami kenaikan hutang dari RM30,000 ke RM70,000 akibat daripada penurunan bisnes semasa PKP / MCO dan tak mampu bayar balik hutang ini kerana aliran tunai ataupun “cashflow” terjejas akibat daripada PKP / MCO.

Walaupun Seksyen 20 RUU ini meningkatkan ambang minimum hutang oleh penghutang sebelum pemiutang berhak untuk memulakan petisyen kebankrapan dari RM50,000 ke RM100,000 tetapi jikalau pihak pemiutang memulakan prosiding kebankrapan terhadap pemilik syarikat PKS ini SEBELUM akta ini berkuatkasa, Akta ini juga tidak terpakai.

Bahkan, Fasal Kecualian di Akta ini berkemungkinan besar akan memberi insentif kepada pemiutang untuk memulakan prosiding kebankrapan secara ramai-ramai.

KEEMPAT, seorang penjaja di pasar malam telah membeli barangan dapur dengan cara pembayaran ansuran. Oleh kerana penutupan pasar malam semasa PKP, penjaja ini tak dapat berniaga dan tak dapat sebarang pendapatan dan tidak mampu membayar ansuran barangan dapur.

Walaupun Fasal 23 RUU ini melindungi penjaja ini daripada penjual untuk mengambil balik milikan barangan yang terkandung dalam suatu perjanjian sewa beli di bawah seksyen 16 Akta Sewa Beli 1967, tetapi oleh kerana adanya Fasal kecualian iaitu Fasal 24, jikalau penjual mengambil tindakan mengambil balik milikan SEBELUM akta ini berkuatkuasa, maka penjaja ini juga akan terjejas dan terlepas daripada pelindungan yang sepatutnya diberikan oleh Akta ini.

KELIMA, seorang penyewa rumah yang juga pemandu e-hailing tidak dapat membayar sewa semasa PKP kerana kehilangan pendapatan. Oleh itu, pemilik rumah menghalau penyewa rumah ini dan menyewa rumah kepada orang yang lain.

Akta ini tidak memberi sebarang pelindungan kepada penyewa rumah. Misalnya, tidak disebut bahawa penyewa dapat menangguhkan bayaran sewa semasa PKP ataupun deposit penyewa tidak boleh diambil oleh pemilik untuk pembayaran sewa.

Pada masa yang sama, pengubahan Akta DIstres 1951 di bawah RUU untuk menyekat pemilik rumah daripada merampas barang kepunyaan penyewa untuk membayar tunggakan sewa tidak terpakai jikalau tindakan perampasan in berlaku SEBELUM akta ini berkuatkuasa

Akta ini akan berkuatkasa seawal-awalnya di akhir bulan September selepas Dewan Negara habis bersidang. Pada masa ini, saya rasa golongan yang mendapatkan manfaat yang terbanyak adalah peguam yang memberi nasihat kepada klien mereka untuk memfailkan tuntutan SEBELUM Akta ini berkuatkasa.

Apa yang lebih mengecewakan adalah berbulan-bulan yang telah digunakan untuk mengkaji apa yang telah dilakukan oleh negara lain termasuk Singapura. Singapura telah memulakan ‘lockdown’ mereka pada 7 April 2020.

Pada hari yang sama, versi RUU COVID mereka diluluskan di parlimen. Tujuan utama rang undang-undang ini adalah untuk memberikan bantuan sementara kepada pihak peniaga dan individu yang tidak dapat melaksanakan obligasi kontraktual mereka akibat daripada COVID-19.

Tahap perincian berkenaan dengan langkah-langkah perlindungan dalam versi RUU Singapura jauh lebih mendalam berbanding dengan RUU COVID Malaysia. Sebagai contoh, RUU Singapura menyatakan bahawa tuan tanah tidak boleh mengeluarkan wang jaminan penyewa untuk membayar tunggakan sewa semasa tempoh ‘lockdown’.

Singapura juga meminda RUU COVID mereka pada 5 Jun 2020 untuk menyalurkan lebih banyak bantuan termasuk wang tunai dan geran yang lain untuk meringankan keperitan ekonomi yang timbul dari ‘lockdown’ mereka.

Malaysia ada peluang untuk membentangkan RUU COVID yang lebih komprehensif semasa persidangan parlimen pada 18 Mei 2020. Masa itu hanya 2 bulan setelah bermulanya MCO dan pihak peniaga masih mempunyai masa untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan yang sewajarnya.

Sebaliknya, pemerintah PN yang tidak anda pilih oleh pengundi menolak peluang ini untuk mengadakan sidang parlimen yang biasa. Enam bulan kemudian, apa yang kita ada sekarang adalah RUU COVID yang penuh dengan kelemahan, terlambat dan terlewat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.