https://critoxium.com/shop/

Terkini

Agihan Kerusi Pru15, Pas Berpeluang 33 Kawasan Parlimen

Oleh Mohd Yusri Ibrahim

Mohon maaf kepada teman2 media yang minta buat ulasan tentang usul Pemuda Pas yang cadang parti tersebut bertanding 50 kerusi dalam PRU15 nanti.

Saya tidak sempat untuk memberi maklum balas awal seperti diminta oleh rakan2 media kerana sedikit hambatan kesibukan dalam dua hari ini.

Pada pandangan saya, jumlah yang diminta oleh Pemuda Pas tersebut adalah wajar dalam strategi rundingan agihan kerusi.

Semestinya dalam rundingan agihan, meletak jumlah yang tinggi sebagai target adalah bijak, kerana masih berpuas hati walaupun tidak memperolehi sepenuhnya.

Berbanding 50 yang disasarkan oleh sayap pemuda, saya menjangkakan Pas berpeluang untuk memperolehi sekitar 33 kerusi.

Walau bagaimanapun ini bergantung sepenuhnya kepada kompetensi pasukan perunding yang sedang dan akan mewakili Pas nanti.

Sebagaimana yang dimaklumi ramai, isu agihan kerusi Pas hanya melibatkan Umno dan Bersatu, iaitu kawasan pilihan raya majoriti Melayu-Muslim.

Berapa jumlah kerusi yang akan diperolehi setiap parti bergantung sepenuhnya kepada formula yang digunakan serta beberapa timbang tara sampingan.

Formula yang paling mudah digunakan adalah setiap parti akan terus bertanding kerusi masing2 yang sedang disandang sekarang selepas menang PRU14 lepas.

Bagi kawasan yang ketiga-tiga kalah, parti yang memperolehi undi kedua terbanyak akan bertanding mewakili kolisi PN/BN.

Selain formula ini, mungkin ada beberapa timbang tara mengikut kes demi kes boleh digunakan berdasarkan situasi menang-menang.

Jika mengikut formula ini, Pas sudah pasti akan bertanding 18 kerusi yang sedang disandang sekarang iaitu Pendang, Jerai dan Sik di Kedah.

Di Kelantan pula Pas akan kekal bertanding sembilan kerusi iaitu Tumpat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Selain itu mereka juga akan mempertahankan enam kerusi di Terengganu iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Mengambil kira mengumpul undi kedua terbanyak di kawasan yang dimenangi PH, Pas berpeluang menambah 10 kerusi lagi.

Kerusi2 tersebut adalah empat di Kedah iaitu Jerlun, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah dan Padang Serai.

Empat kerusi lagi di Selangor iaitu Bangi, Sungai Buloh, Kapar dan Kota Raja, manakala satu kerusi lagi parlimen Kuantan di Pahang.

Mengambil alasan telah melakukan pengorbanan besar di Sabah dan mungkin juga di Sarawak selepas ini, Pas boleh cuba meminta tambahan beberapa kerusi lagi.

Kerusi2 tersebut yang mereka berada di tempat ketiga tetapi perbezaan jumlah undi yang sangat kecil dengan parti2 sekutu yang berada di tempat kedua.

Antara kerusi yang boleh diminta oleh Pas seperti Merbok dan Sungai Petani di Kedah, dua kerusi ini Pas hanya berbeza undi dengan Umno sekitar satu peratus.

Begitu juga kerusi Indera Mahkota di Pahang yang berbeza 0.1 peratus dengan Umno, namun kerusi ini sedikit rumit apabila penyandang sekarang adalah Bersatu yang melompat daripada PKR, dalam masa sama berstatus menteri.

Selain itu Pas juga boleh memujuk untuk bertanding di Parit Buntar untuk melawan Amanah, kerana beza undi Pas dan Umno yang berada di tempat kedua hanyalah dua peratus.

Begitu juga dengan kerusi Selayang, Pas boleh cuba dapatkan kerusi ini kerana beza jumlah undi dengan Umno hanyalah satu peratus sahaja.

Mengulas usul supaya bertanding 50 kerusi, saya boleh rumuskan Pas memiliki 18 kerusi dalam tangan, berpeluang cerah tambahan 10 kerusi, serta ada potensi untuk lima kerusi lagi.

Jumlah 33 kerusi adalah munasabah dan realistik untuk ditandingi oleh Pas jika mereka meneruskan kerjasama dengan Umno dan Bersatu dalam PRU15 nanti.

Walau bagaimanapun, jumlah tersebut boleh bertambah dan juga berisiko untuk berkurang, bergantung sepenuhnya kepada kecekapan pasukan perunding yang mewakili Pas.

Banyak pemboleh ubah lain akan mengganggu formula dan timbang tara rundingan nanti, yang berpotensi mempengaruhi keputusan jika gagal diuruskan dengan baik.

Paling ketara adalah kedudukan Bersatu yang hanya memiliki 13 kerusi jika menggunakan formula agihan tersebut, mengambil kira Tanjung Piai yang sudah dimenangi oleh Umno dalam PRK, Bersatu hanya memiliki 12 kerusi.

Kerusi2 lain yang sedang disandang oleh Bersatu sekarang majoritinya milik Umno yang dimenangi dalam PRU14 lepas, diperolehi oleh Bersatu apabila ahli2 parlimen berkenaan melompat parti.
Sebagai parti yang sedang menguasai kerajaan dan mengetuai PN, mustahil untuk Bersatu bersetuju sekadar bertanding 13 kerusi dalam PRU15 nanti.

Jika ingin menambah kawasan bertanding, sudah pasti Bersatu akan cuba dapatkan kerusi2 yang sedang dimiliki dan sedang diintai oleh Umno dan Pas.

Di sinilah kecekapan pasukan perunding masing2 akan berperanan besar, parti yang diwakili oleh pasukan perunding yang kompeten akan mengaut laba besar.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.