https://critoxium.com/shop/

Terkini

Melihat Sabah dari perspektif tragedi

Oleh Zin Mahmud

Beberapa hari sebelum penamaan calon pilihan raya negeri Sabah, angka kes baru Covid-19 mengejutkan negara kerana mencecah 180 dengan kluster baru muncul di Sabah dan Kedah. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kerana Sabah sedang memasuki tempoh berkempen pilihan raya.

Pilihan raya negeri Sabah ini mendedahkan negara kepada risiko Covid-19 kerana apabila ia berlangsung, pastinya pergerakan orang ramai akan lebih berleluasa, termasuk kedatangan mereka dari Semenanjung Malaysia sedangkan negara masih berada dalam perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Lebih-lebih lagi pilihan raya negeri ini sepatutnya tidak berlangsung. Tempoh mandat rakyat dalam pilihan raya negeri tahun 2018 yang diadakan serentak dengan pilihan raya umum (PRU) ke-14 belum berakhir. Ada 2 tahun lebih lagi.
Malangnya pilihan raya negeri ini terpaksa diadakan kerana sebahagian ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) melompat parti hingga boleh membawa kepada kejatuhan kerajaan Warisan pimpinan Shafie Apdal.

Bagi mengelak daripada kerajaannya tumbang, ketua menteri Sabah itu mencadangkan pembubaran DUN yang membawa kepada pilihan raya negeri itu.

Mandat rakyat yang dipegang oleh Shafie adalah 5 tahun. Mengapa pihak pembangkang tidak boleh menghormatinya dan tunggu sehingga habis tempoh itu dan mencabarnya dalam pilihan raya negeri akan datang?

Tindakan mengganggu kerajaan dalam tempoh penggal merupakan suatu tragedi bagi Sabah.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana perhatian negara, termasuk kerajaan negeri adalah terhadap menghadapi wabak Covid-19 serta kesan ekonomi akibat daripadanya.

Dengan pilihan raya ini, tentu perhatian rakyat, negeri, malah negara pasti terjejas.

Tetapi apa yang hendak dihairankan, cabaran yang dihadapi oleh Shafie itu berurutan daripada politik di Kuala Lumpur.

Kerajaan Pakatan Harapan tumbang ketika negara baru saja menghadapi cabaran Covid-19. Kerajaan negeri Pakatan Harapan di Johor, Melaka dan Kedah turut tumbang walaupun tempoh mandat rakyat yang dipegangnya belum berakhir.

Parti Warisan mengambil sikap menolak untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional. Sedangkan kerajaan baru ini mempunyai bilangan penyokongnya di Dewan Rakyat yang amat tipis dan memerlukan sebanyak mana ahli Parlimen yang boleh.

Walaupun di peringkat persekutuan, tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan adalah suatu kejadian politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi Sabah sudah banyak kali mengalaminya sepanjang ia berada dalam Malaysia sejak tahun 1963.

Sabah menikmati banyak kemajuan dan pembangunan. Kalau berbanding dengan wilayah lain di Asia Tenggara, Sabah jauh bernasib baik. Mungkin kerana Malaysia lebih membangun daripada Filipina, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Myanmar.

Tetapi rungutan tidak puas hati rakyat Sabah terhadap keadaan mereka bertambah setiap kali diadakan pilihan raya negeri sejak dari tahun 1970-an lagi.

Masa 10 tahun selepas penubuhan Malaysia, rasa tidak puas hati ini tidak timbul lagi kerana mungkin ruang masa diberikan untuk keadaan menjadi lebih baik. Tetapi selepas 10 tahun, tentu keresahan semakin bertambah.

Namun begitu, keresahan 10 tahun itu bukanlah suatu yang pelik kerana di Semenanjung sendiri, rasa tidak puas hati ini juga timbul.

Selepas 10 tahun merdeka, iaitu pada tahun 1967, kedengaran rasa tidak puas hati ini, baik dalam kalangan orang Melayu, mahupun dalam kalangan bukan Melayu, mengikut isu masing-masing.

Ia membawa kesan pada pilihan raya umum tahun 1969 dan Peristiwa 13 Mei. Hanya setelah penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974, keadaan menjadi tenteram apabila kerajaan baru memberi semula harapan pada rakyat negara ini.

Tetapi tentulah orang Semenanjung Malaysia tidak membezakan antara kerajaan pusat dengan negeri. Mereka mungkin menyalahkan kerajaan Perikatan. Kecuali Kelantan, kerajaan yang menguasai pusat dan negeri adalah dari parti yang sama.

Berbeza dengan Sabah dan Sarawak. Walaupun kedua-dua negeri itu diperintah oleh gabungan yang sama dengan persekutuan, tetapi dari segi parti, mereka adalah berbeza dan bebas daripada Kuala Lumpur.

Maka mudah bagi rakyat untuk menyalahkan ahli politik “Malaya” terhadap kesusahan mereka. Istilah “Malaya” digunakan sebagai nada “memerli” terhadap pemimpin persekutuan.

Ini kerana istilah “Malaya” tidak disukai oleh orang Semenanjung. Keadaan mereka ini dirasakan berpunca daripada campur tangan atau tekanan pemimpin persekutuan, yang tentunya merujuk pada ahli politik Semenanjung juga.

Di sinilah dapat dilihat Sabah dari perspektif tragedi. Apa yang dimaksudkan dengan “tragedi” ialah Sabah seharusnya boleh menjadi lebih baik daripada keadaan yang ada pada hari ini jika dipimpin dengan betul.

Tetapi kalau hendak dikira “tragedi” ini, keseluruhan Malaysia juga boleh dilihat dari sudut yang sama. Malaysia pun seharusnya boleh lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini.

Sebahagian rakyatnya, iaitu yang menyokong pembangkang, tentu menyalahkan Umno dan Barisan Nasional yang mentadbir negara berpuluh-puluh tahun lamanya.

Bagaimanapun, Sabah mempunyai budaya politik yang lebih berwarna-warni. Berbanding dengan politik Sarawak yang dirasakan tenang dan stabil, Sabah menyaksikan banyak perubahan kerajaan negeri sejak penubuhan Malaysia.

Malah istilah “katak” untuk merujuk wakil rakyat melompat parti bermula secara besar-besaran di Sabah. Itu belum dikira fenomena penggunaan wang yang ketara dalam politik negeri itu.

Sememangnya ada campur tangan daripada pemimpin persekutuan, tetapi pada keseluruhannya apa yang berlaku dalam politik Sabah adalah suatu rangkaian berhubungan antara ahli politik negeri dan pusat. Sesuatu yang tidak pelik dalam sistem negara persekutuan.

Baru saja selepas penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974 yang memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia, keadaan politik Sabah bergolak.

Parti Berjaya muncul dan menumbangkan kerajaan Usno. Barisan Nasional pusat memberikan sokongan pada Berjaya.

Tetapi pentadbiran Berjaya tidak kekal lama. Berjaya berpecah dan muncul Parti Bersatu Sabah (PBS). Setiap kali pilihan raya negeri diadakan, berlakulah pergolakan.

Hinggakan pada masa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, beliau membawa masuk Umno ke Sabah dan diajukan sistem penggiliran ketua menteri.

Kesemuanya adalah untuk mewujudkan kestabilan politik di negeri itu. Tetapi bagi sebahagian rakyat Sabah, ia merupakan campur tangan besar-besaran dari Semenanjung.

Dengan keadaan politik Sabah sedemikian, Shafie mengambil langkah menubuhkan Parti Warisan Sabah, sebuah parti negeri selepas beliau tidak lagi bersama Umno. Sentimen rakyat Sabah adalah pada parti negeri, bukannya persekutuan. Warisan hanya menjadi sekutu Pakatan Harapan, bukannya anggota.

Setelah 57 tahun merdeka dan bersama Malaysia, generasi rakyat Sabah pun sudah berganti.

Walaupun hanya segelintir yang bercakap mengenai Sabah berada di luar Malaysia, tetapi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah menjadi arus perdana.

Walaupun tuntutan MA63 sudah menjadi dasar kerajaan negeri Sarawak sejak Adenan Satem menjadi ketua menteri, tetapi kini terdapat pemahaman di Sabah juga bahawa perjanjian itu perlu dirujuk semula dan dipatuhi oleh kerajaan persekutuan.

Ketidakpatuhan terhadap MA63 itu boleh dianggap sebagai suatu “tragedi” bagi Sabah yang akhirnya wajar diatasi. Tetapi kejayaan sesuatu dasar bukan terletak pada apa yang dipersetujui di atas kertas.
Apa yang lebih penting ialah kepimpinan di peringkat negeri dan persekutuan. Ketiadaan kepimpinan yang baik merupakan “tragedi” sebenar bagi sesebuah negeri.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.