https://critoxium.com/shop/

Terkini

Menanti ketegasan kerajaan Selangor

Oleh Ismail Daud

 APA maknanya apabila Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor bersuara dalam isu pencemaran sungai yang membawa kepada gangguan bekalan air di Lembah Klang?

Teguran itu bukan sahaja menunjukkan baginda berdua sangat prihatin terhadap masalah rakyat tetapi satu isyarat kepada pihak berkuasa untuk bertindak dengan lebih tegas dan keras.

Sebenarnya, apa yang dizahirkan oleh Al-Sultan Abdullah dan Sultan Sharafuddin itu adalah cetusan hati rakyat. Apatah lagi isu ini sudah berulang kali berlaku tanpa ada penyelesaian yang tuntas.

Kalau kita lihat ruangan komen di Facebook Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari, kemarahan rakyat sangat ketara. Semuanya mahukan tindakan tegas tanpa kompromi lagi.

Yang menjadi modal sembang mereka ialah bagaimana kilang haram boleh beroperasi di tepi sungai selama enam tahun tanpa lesen. Takkan tak tahu, kata mereka.

Masalah ketiadaan bekalan air ini bukan sahaja menyusahkan rakyat tetapi ada kos tambahan yang perlu ditanggung oleh mereka. Sebab itu mereka naik angin.

Mereka terpaksa membazir cuti tahun, membeli air untuk air minum, berbelanja untuk membeli bekas simpanan air tambahan dan apabila bekalan air pulih, terpaksa pula membuang puluhan mungkin ratusan liter air keruh yang masuk ke dalam tangki rumah.

Ini semua bukan sedikit kosnya. Kalau anak ramai, lagi banyak kosnya. Kalau bekalan terputus banyak hari, bertambahlah lagi. Rebat tidak pernah diberikan.

Justeru, sekarang bukan masa untuk mencipta alasan dan menuding jari menyalahkan pihak lain.
Tindakan pemutihan aktiviti perindustrian di sepanjang sungai di Selangor terutama di 31 muka sauk perlu dipercepatkan, apatah lagi pihak istana juga sudah memberi ‘izin’ untuk tindakan meroboh.

Selangor tidak rugi satu sen pun dengan merobohkan kilang-kilang haram ini kerana mereka bukannya membayar cukai, sebaliknya mereka mengaut keuntungan lumayan. Jangan ada lagi belas ehsan. Jika tidak menteri besar yang jenuh menjawab.

Selangor ada tujuh lembangan sungai dengan 1,025 anak sungai. Kalau semua pihak berkuasa yang berkaitan membuat rondaan dan pemeriksaan, mungkin sebulan sudah cukup untuk semua kilang haram tepi sungai dikenal pasti.

Rakyat kini menunggu ketegasan daripada pihak berkuasa.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.