https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pokok halal, daunnya haram

Oleh Teon Eg

SANA ketum sini ketum. Acap kali pokok dengan nama saintifiknya mitragyna speciosa disebut bukan sahaja oleh penanam, penagih, orang biasa, penguat kuasa tetapi sampai kepada orang politik.

Entah sampai bila polemik ketum boleh diselesaikan. Isunya unik apabila menanam tidak salah tetapi salah apabila dipetik, dijual atau diminum. Ia kerana Malaysia belum ada undang-undang menyeluruh menangani pokok yang boleh mengkhayalkan itu.

Namun banyak ‘pejuang’ ketum menyifatkan ketum baik untuk perubatan sehingga daun tersebut dieksport ke negara-negara Eropah. Ketum dari Malaysia didakwa berkualiti dan mendapat permintaan tinggi.

Pelik juga pokok yang dianggap berfaedah dan boleh buat duit oleh negara-negara luar ‘dibenci’ di negara sendiri.

Bagi penyeludup Thailand mereka mendakwa ketum dieksport ke Jerman untuk dihasilkan ubat. Mereka memperoleh pendapatan lumayan dengan mengeksport daun dilarang di Malaysia.
‘LADANG’ ketum di Kampung Perik, Kuala Nerang, Kedah.
Kehebatan ketum di mata orang luar terbukti apabila polis Perlis mengakui setiap hari mereka merampas 200 hingga 300 kilogram ketum cuba diseludup ke Thailand. Penyeludup sanggup bayar RM30 hingga RM40 sekilogram daun ketum kepada orang tengah di negara ini.

Ekoran permintaan tinggi, sesiapa yang pernah ke Kedah dan Perlis akan dapat mengenali pokok ketum yang setengah-setengah tempat menghiasi kiri atau kanan jalan.

Banyak cerita pekebun tebang getah dan bersihkan sawah tanam ketum. Harga ladang ketum RM9 hingga RM15 berbanding getah hanya kira-kira RM2 sekilogram.

Ingat lagikah sekitar tahun 2017, Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) ketika itu Datuk Zahidi Zainul Abidin dikecam gara-gara memohon kerajaan membenarkan penanaman ketum secara komersial.

Niat Zahidi membantu pekebun getah namun cadangan itu bagai ledakan bom daripada pemimpin negara malah orang-orang agama turut keluarkan fatwa ketum adalah haram.

Sebenarnya, tiada salah dengan ketum sebaliknya peminat daun tersebut yang buat tahi. Ketum seperti tumbuhan lain malah lebih istimewa kerana didakwa ada nilai perubatan.

Justeru kerajaan kena segera memutuskan status ketum mahu diharamkan atau dihalalkan. Jika haram buatlah undang-undang jitu untuk membasmi penanaman. Jika halal kena ada garis panduan agar tidak disalah guna sebagai air mabuk atau khayal.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.