https://critoxium.com/shop/

Terkini

PAS mungkin tak serah kerusi Pantai Timur kepada Umno, kata penganalisis


PETALING JAYA: PAS yang mahu menjadi “kingmaker” dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin kerusi, tetapi penganalisis berkata, masalah mungkin timbul sekiranya ia menyerahkan kerusi di Kelantan dan Terengganu kepada sekutu politiknya, Umno.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan memberitahu FMT, Perikatan Nasional (PN) sudah menubuhkan 3 pasukan rundingan yang terdiri daripada pemimpin PAS, PPBM dan Barisan Nasional (BN).

Formula itu, katanya, bertujuan mengekalkan status quo, tetapi kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan semasa PRU14 akan dirundingkan antara 3 parti itu.

Penganalisis politik,bagaimanapun berkata, masalah mungkin timbul kerana PAS mungkin tidak mahu menyerahkan kerusi Parlimen dan DUN di Kelantan serta Terengganu kepada Umno.

Katanya, Umno meminta kerusi di 2 negeri itu daripada PAS sebelum ini, tetapi mendapat tentangan.

“PAS harus tahu sokongannya di luar Kelantan dan Terengganu masih lemah. Kalau mahu memperluaskan jangkauannya ke negeri lain, ia perlu mengalah kepada Umno,” katanya kepada FMT.

Azmi, yang bersara dari Universiti Teknologi Malaysia baru-baru ini, berkata PAS perlu menunjukkan “keikhlasan” dalam perkongsian kerusi dengan Umno sebelum boleh berunding untuk mendapatkan lebih banyak kerusi di seluruh negara.

Katanya, PAS sudah berusaha meletakkan dirinya secara strategik dengan bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional, dan PPBM melalui PN.

“Mereka berusaha mencari peluang menjadi ‘kingmaker’,” katanya sambil mengingatkan BN mungkin meninggalkan PAS, jika ia tidak berpuas hati dengan parti itu.

Azmi berkata, BN mempunyai jentera dan kemampuan untuk melakukannya sendiri.

“Itu sebabnya ia mungkin bijak untuk PAS menunjukkan keikhlasannya terlebih dahulu dengan berkongsi kerusi DUN mereka dengan Umno,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan secara sinis berkata, lebih baik Umno membubarkan bahagian dan cawangannya di Kelantan, Terengganu serta Kedah, jika PAS berkeras mahu menguasai 3 negeri itu tanpa berunding dengan sekutunya.

“Tak adillah kalau kita nak serahkan bulat-bulat 3 negeri itu kepada PAS. Kalau macam itu, lebih baik bubarkan saja Umno di negeri itu,” katanya dipetik akhbar Utusan Malaysia pada Isnin lalu.

Penganalisis politik, Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia merasakan lebih baik Umno tidak kacau Kelantan dan Terengganu.

“Kelantan dan Terengganu ialah negeri PAS. Mengapa mereka perlu mengalah?

“PAS menang tanpa bantuan sesiapa dan ahli tegarnya mungkin tidak gembira menyerahkan kerusi itu kepada Umno,” katanya

Beliau berkata, strategi Umno ialah menuntut sekurang-kurangnya beberapa kerusi di 2 negeri itu untuk memperluaskan kuasanya di sana.

“Umno mungkin berusaha secara strategik untuk fikir pergi lebih jauh daripada PRU15 bagi mendapatkan kerusi yang tidak dikuasai mereka.”

Namun, katanya, Umno perlu bekerjasama dengan PAS kerana senario politik semasa memerlukan sekurang-kurangnya 2 parti untuk bekerjasama bagi mendapatkan sokongan.

“Ia tidak sama seperti 30 hingga 40 tahun lepas, di mana BN boleh menang dengan majoriti jelas.”

Pada PRU14, PAS memenangi 18 daripada 158 kerusi Parlimen yang ditandinginya dengan sekutunya, Gagasan Sejahtera, Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan Parti Berjasa Malaysia.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.