13 Oktober, tragedi atau kejayaan untuk Anwar?
KETIKA ramai pemimpin politik sibuk berkempen di Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri itu tiga minggu lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu kenyataan media mengumumkan beliau mempunyai sokongan untuk mengambil alih pentadbiran negara.
23 September
Kata
Anwar pada tarikh ini, beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan
menyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan
Nasional (PN).
Anwar juga mendakwa telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 22 September, sehari sebelum sidang media tersebut.
"Alhamdulillah.
Kini saya mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli
Parlimen untuk saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan ingin
saya nyatakan, majoriti yang menyokong juga adalah dalam kalangan Melayu
dan Islam.
"Secara konklusifnya, (jumlah
majoriti) kuat dan kukuh. Saya tidak bercakap mengenai empat, lima,
enam (Ahli Parlimen) tapi lebih daripada itu.
"Maklumat
dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas menghadap Agong
dalam masa terdekat, insya-Allah," katanya ketika itu.
Namun ia terpaksa ditangguhkan kerana Yang di-Pertuan Agong menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 21 September.
Istana
Negara pada 23 September turut mengesahkan bahawa pertemuan dengan
Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sepatutnya
diadakan pada 22 September terpaksa ditangguhkan.
Beberapa
jam selepas Anwar mengumumkan mendapat sokongan yang kukuh dan
menyakinkan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat
kenyataan bahawa beliau tidak boleh menghalang Ahli-Ahli Parlimen parti
itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar.
"UMNO
dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang mengambil
keputusan untuk menyokong Anwar bagi menyatakan hasrat beliau," katanya.
Ahmad Zahid berkata, ramai Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasioanl (BN) telah menyuarakan sokongan.
Namun, Ahmad Zahid tidak menjelaskan secara terperinci bentuk sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN.
"Saya
dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan
sokongan. Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan,"
ujarnya.
Sebuah
portal mengeluarkan senarai 121 ahli Parlimen yang didakwa memberikan
sokongan kepada Anwar namun ianya tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Selepas
itu, seorang demi seorang Ahli Parlimen UMNO yang tidak memegang
apa-apa jawatan dalam kabinet menafkan bahawa mereka memberikan sokongan
kepada Anwar.
Ekoran dari kenyataan
Zahid yang mendakwa ramai Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk mengambil
keputusan menyokong Anwar, PAS mengeluarkan kenyataan mendesak UMNO
memberi penjelasan sejelas-jelasnya berhubung dakwaan tersebut.
Setiausaha
Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata
penjelasan dari UMNO itu penting memandangkan parti itu telah
menandatangani persefahaman dan persetujuan yang termaktub Piagam
Muafakat Nasional.
Katanya, Piagam
Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan
umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan
yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.
“Justeru
sekiranya peralihan ini benar, ianya boleh dianggap sebagai suatu
gerakan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang
terbina di atas permuafakatan BN, BERSATU, PAS, GPS dan beberapa parti
lain di atas kejatuhan Kerajaan PH.
“Sehubungan
itu PAS berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya
daripada UMNO atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak
UMNO untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati
secara bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Manakala
bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menggesa Anwar
perlu menunjukkan bukti bahawa beliau memperoleh sokongan majoriti
Ahli-ahli parlimen sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai penubuhan
sebuah kerajaan baharu.
Dr Mahathir
menegaskan, tindakan Anwar bukan sahaja memberi kesan dalam kestabilan
ekonomi negara malah turut akan menjejaskan imej Malaysia.
Tambah
Ahli Parlimen Langkawi itu, situasi yang berlaku ketika ini amatlah
membelakangkan keputusan yang dibuat rakyat terutama melalui tindakan
"membeli" wakil rakyat untuk menyokong pemimpin tertentu dengan begitu
mudah.
"Jadi (tindakan) ini tidak baik,
tetapi kita juga terima hakikat bahawa orang yang ada majoriti boleh
dapat (mentadbir negara), tapi ini belum ditunjuk, cuma dakwa ada
majoriti yang banyak. Sekarang kita dapati ada yang menafi (terutama
dari pemimpin UMNO), jadi keadaan tidak menentu,
"Kalau Datuk Seri Anwar ada (majoriti), buktikan bahawa dia betul cukup bilang dan kita akan putuskan perkara itu.
"Tetapi
bila kita sebut sesuatu dengan tidak beri penjelasan kononnya dapat
majoriti, maka ini akan timbul (kekeliruan), (dan) sebabkan keadaan
tidak stabil dalam negara dan dia menjadi kesan dalam pelaburan dan
sebagainya," katanya.
Hari berganti hari,
ramai yang menunggu bilakah benar Anwar akan ke Istana Negara menghadap
Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan sokongan yang beliau dakwa
kukuh dan menyakinkan itu.
Bukan sedikit
yang percaya bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak mempunyai
sokongan kukuh untuk membentuk kerajaan baharu. Begitulah juga
sebaliknya.
Akhirnya pada 8 Oktober lalu,
Anwar mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah diperkenan untuk
menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober ini.
Sehari
selepas itu, dalam satu mesyuarat secara sidang video, Anwar
memberitahu ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) partinya
bahawa kerajaan yang bakal ditubuhkannya ialah “kerajaan Melayu-Islam”.
Cerita
tentang sokongan kepada Anwar untuk diangkat sebagai Perdana Menteri
ke-9 kembali kedengaran dengan berbagai teori konspirasi.
Beberapa
parti politik antaranya PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti
Bersatu Sabah (PBS) membuat kenyataan bahawa mereka kekal menyokong Tan
Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN, biarpun dalam sidang medianya tiga
minggu sebelum ini Anwar mendakwa mendapat sokongan Ahli Parlimen bukan
parti.
Tiga Ahli Parlimen UMNO, Datuk
Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Shahhidan Kassim dan Datuk Ahmad Nazlan
Idris masing-masing dari Besut, Arau dan Jerantut membuat laporan polis
bagi menegaskan mereka tidak memberi sokongan kepada Anwar untuk menjadi
perdana menteri seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Idris
yang juga Pengerusi Felda memberitahu media laporan polis merupakan
cara terbaik untuk beliau menjelaskan pendirian serta membersihkan
namanya daripada terus dikaitkan dengan presiden PKR itu.
“Saya tidak pernah dihubungi (oleh Anwar), tidak pernah memberikan sokongan (kepada Anwar) tapi dikatakan menyokong.
“Saya
tidak faham. Saya sudah membuat kenyataan media sebelum ini menafikan
saya menyokong Anwar namun seolah-olah tidak diendahkan,” katanya.
Esok, Selasa 13 Oktober 2020, tarikh yang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak terutama penyokong Anwar.
Adakah
13 Oktober bakal menjadi tragedi buat Anwar atau merupakan hari penuh
sejarah buat beliau yang telah lama menanti untuk diangkat sebagai
perdana menteri.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.