Belanjawan 2021: Pembangkang sedia sokong, Muhyiddin masih sibuk berpolitik
Sehingga hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih sibuk untuk bermain politik dan tidak nampak usaha beliau untuk menyelesaikan titah Yang Dipertuan Agong agar Belanjawan 2021 dapat diluluskan.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bukti Muhyiddin tidak berminat untuk menunaikan titah Baginda adalah, sehingga sekarang beliau masih sibuk untuk berunding dengan Umno untuk mempertahankan kerajaannya bukannya berusaha menyelesaikan titah Tuanku agar Belanjawan diluluskan.
“Hari ini adalah kali kedua Yang Dipertuan Agong bertitah agar jangan berpolitik dan luluskan Belanjawan 2021 bagi membolehkan belanja untuk menguruskan Covid-19 diluluskan.
“Tetapi sehingga kini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah memanggil kami untuk membincangkan perkara ini.
“Ketika Baginda bertitah agar tidak bermain politik, Muhyiddin sibuk untuk berunding dengan Umno bagi mengekalkan kerajaannya.
“Sekarang dah tiga nama dipertimbangkan Muhyiddin untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri bagi memenuhi tuntutan Umno bukannya titah Baginda agar Belanjawan 2021 diluluskan nanti,” kata Salahuddin kepada Malaysia Dateline.
Bagi beliau, jika Muhyiddin bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu kelulusan Belanjawan 2021 pada November ini, beliau akan memanggil pemimpin parti pembangkang untuk berunding.
“Dia nampaknya tidak berminat untuk mematuhi titah Yang Dipertuan Agong tetapi lebih berminat untuk terus bermain politik walaupun sudah dititahkan Baginda agar kurangkan berpolitik sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berkata kesediaan beliau untuk berunding dengan kerajaan bagi membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan.
“Isunya sekarang, Muhyiddin tidak minat untuk mematuhi titah Baginda. Sebab itu tidak ada di kalangan pembangkang yang dipanggil untuk berunding bagi membolehkan belanjawan diluluskan,” kata beliau.
Menurut Salahuddin, AMANAH sendiri sudah sedia untuk berunding bagi membolehkan Belanjawan 2021 dapat diluluskan sebagai titah Yang Dipertuan Agong.
“Kita sudah bersedia untuk menyokongnya. Kita dah sedia. Tetapi kena rundinglah,” kata Salahuddin memberi jaminan AMANAH akan mematuhi titah Baginda agar Belanjawan diluluskan
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.