Yang di-Pertuan Agong, pengisytiharan darurat, dan keperlembagaan
KUASA adalah satu perkara yang penting kerana tanpa kuasa kerajaan tidak dapat melakukan sesuatu perkara.
Akan tetapi setelah diberi kuasa, maka kuasa tersebut perlu dipantau dan perlu ada batasan dan sekatan kerana kuasa yang mutlak berkemungkinan akan melahirkan salah guna kuasa dan penzaliman.
Itulah tujuan Perlembagaan yang bukan sahaja memberi kuasa kepada sesiapa sahaja, ia juga membataskan kuasa tersebut.
Masalah di sini adalah apabila Perlembagaan tidak mengandungi apa-apa batasan atau sekatan terhadap mana-mana kuasa diperuntukkan juga dalam Perlembagaan.Isu pengisytiharan darurat merupakan salah satu daripada contoh utama perbincangan berkenaan dengan masalah ini.
Perkara 150 menyatakan: “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat…”.
Perkara 150 tidak menyatakan bahawa kuasa YDPA ini terbatas.
Namun, disebabkan mengisytiharkan darurat adalah salah satu fungsi Agong, maka Perkara 150 perlu dibaca bersama dengan Perkara 40(1) yang menyatakan bahawa Agong perlu bertindak mengikut nasihat.
Perkara 40(1A) memperhalusi nasihat tersebut dengan menyatakan Agong “hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu”.
Ada pihak yang tidak bersetuju. Mereka berhujah bahawa Perkara 40(1) juga memperuntukkan “…kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini…”.
Mereka menggunakan frasa-frasa ini untuk membuktikan bahawa Agong tidak tertakluk kepada nasihat Jemaah Menteri kerana Perkara 150 secara jelas memberi kuasa kepada Agong untuk mengisytiharkan darurat “jika Agong berpuas hati”, dan Perkara 150 tidak membataskan kuasa tersebut dengan merujuk kepada nasihat jemaah menteri.
Hujah ini perlu melihat kepada perbandingan antara Perkara 40(2) dan Perkara 150(1).
Perkara 40(2) Perlembagaan secara jelas memperuntukkan beberapa bidang kuasa kepada YDPA di mana “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya…”.
Perkara 150 sebaliknya tidak menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya” dalam membuat pengisytiharan darurat tersebut.
Jawatan Agong dibentuk pada 1957 di mana matlamat sebenarnya untuk mewujudkan jawatan Raja Perlembagaan iaitu seorang “Yang di-Pertuan Besar” yang bertindak mengikut nasihat.
Ini dijelaskan dalam Laporan Suruhanjaya Reid 1957 dan juga Kertas Putih Cadangan Perlembagaan Malaya 1957.
Maka apabila kuasa telah diberikan kepada jemaah menteri untuk menasihati Agong bagi membuat pengisytiharan darurat, adakah kuasa tersebut mutlak dan tidak terbatas serta adakah Agong hanya perlu mengikut sahaja nasihat tersebut?
Jika melihat kepada kandungan Perkara 40(1) dan Perkara 150 sahaja tanpa bersandarkan kepada mana-mana yang lain, maka kesimpulannya Agong tiada sebarang budi bicara dan perlu hanya bertindak mengikut nasihat tersebut.
Pendapat ini sah jika melihat kepada dalil sumber kuasa yang digunakan. Akan tetapi terdapat bahaya penyalahgunaan kuasa jika sesuatu kuasa itu adalah mutlak dan tidak terbatas.
Di sini timbul isu bagaimanakah cara untuk mengekang kuasa pemberian nasihat dari jemaah menteri tersebut.
Ada yang berhujah menggunakan teori dan konsep untuk mengekang kuasa tersebut. Hujah pertama, Agong mempunyai “kuasa prerogative” berdasarkan kedaulatan baginda sebagai seorang Raja Melayu.
Bersumberkan kedaulatan tersebut, maka baginda mempunyai budi bicara untuk menolak nasihat tersebut.
Hujah ini perlu diperhalusi lagi kerana jika faktor sejarah diambilkira, maka ia juga perlu melihat kepada aspek pertembungan kuasa di dalam masyarakat feudal.
Kedua, ada yang berhujah bahawa demokrasi adalah salah satu daripada tunjang asas negara ini maka dengan itu Agong berhak menolak nasihat tersebut demi menjaga prinsip demokrasi di negara ini.
Pendapat ini juga bermasalah kerana Perlembagaan tidak menyatakan apa-apa pun berkenaan dengan perkara ini.
Ada juga yang berhujah berdasarkan prinsip undang-undang.
Pertama, Agong boleh menolak nasihat tersebut sekiranya tiada bukti kukuh bahawa perdana menteri yang mengetuai jemaah menteri itu mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Hujah ini mengambil kira kesahihan kedudukan perdana menteri di bawah Perlembagaan yang juga memberikan kesahihan kepada jemaah menteri.
Kedua, ada yang berhujah bahawa nasihat yang diberikan perlu berdasarkan kepada desakan darurat yang sah kerana jika nasihat itu bertujuan semata-mata untuk mempertahankan kuasa dan kedudukan politik mana-mana pihak, maka nasihat tersebut bukanlah kerana makna darurat yang sebenarnya di dalam Perlembagaan.
Kepentingan memberi hujah berdasarkan prinsip undang-undang sudah tentu memberikan nilai yang tinggi kepada hujah tersebut kerana bersandarkan kepada dalil hukum dan sumber kuasa.
Akan tetapi undang-undang perlembagaan berkait rapat dengan isu-isu mengenai kekuasaan, keadilan dan budaya dan mana-mana sumber perundangan bertulis yang dibuat oleh manusia tidak akan cukup untuk merangkumi kesemua permasalahan yang melibatkan pertembungan kuasa, keadilan dan budaya ini.
Jika dilihat kepada Perlembagaan itu sendiri, Perlembagaan hanyalah sekadar sehelai kertas. “Kertas” tersebut tidak akan bernilai apa-apa tanpa makna, nilai dan kepentingan yang diberikan oleh warganegara dan jentera kerajaan.
Dalam menentukan apakah makna, nilai dan kepentingan yang diberikan tersebut, ia tidaklah sama dan sekata kerana masing-masing individu memberikan nilai, makna dan kepentingan yang berlainan.
Ini adalah kerana masing-masing individu adalah berbeza, mempunyai citarasa dan aspirasi yang berbeza, dan berasal dari kelas masyarakat yang berbeza.
Maka ini menyebabkan perbezaan antara isi kandungan Perlembagaan itu dengan apa yang difaham dan disokong oleh individu tersebut.
Fenomena ini dinamakan “a living Constitution” atau “perlembagaan hidup”yang berbeza dengan Perlembagaan yang hanya wujud sebagai sehelai kertas.
Pengamatan ini dibuktikan dengan jelas dengan melihat kepada isu darurat ini.
Ada yang mengatakan perlu dilihat kepada isi bertulis Perlembagaan itu sahaja.
Ada yang membantah atas alasan kuasa Raja Melayu melebihi Perlembagaan.
Ada yang menempelak dengan mengatakan kuasa kerajaan mewakili dan menerima mandat rakyat melebihi kuasa yang lain.
Ada juga yang mengatakan bahawa darurat itu perlu menepati maksud “darurat” yang sebenarnya di dalam Perlembagaan.
Sebagai balasan, ada yang berhujah kerajaan yang memerintah mempunyai kuasa di dalam menentukan ruanglingkup makna sesuatu darurat.
Sekadar berhujah dengan hanya bersandarkan kepada Perlembagaan itu sahaja tidak akan mencukupi kerana isi Perlembagaan itu tidak lengkap dalam membataskan dan mengekang kuasa.
Akan tetapi jika isu Perlembagaan itu dibiarkan untuk ditentukan hanya mengikut “citarasa dan aspirasi masing-masing” maka ia tidak akan selesai dan akan menjadi tergantung kerana pilihan peribadi di dalam mentafsirkan Perlembagaan mungkin dikelabui dengan kepentingan diri sendiri.
Maka perlulah isu dan masalah Perlembagaan ini diselesaikan bukan hanya dengan merujuk kepada isi Perlembagaan itu sendiri, malah ia perlu disertai dengan prinsip-prinsip yang sesuai.
Matlamat Perlembagaan bukan setakat untuk memberikan kuasa, ia juga bertujuan untuk mengekang , memantau dan membataskan kuasa tersebut.
Perlu diadakan interaksi antara individu, masyarakat dan jentera kerajaan untuk memperhalusi niai, makna dan kepentingan Perlembagaan tersebut.
Ini penting kerana Perlembagaan bukanlah milik perdana menteri, jemaah menteri, hakim mahkamah, peguam, dan ahli politik sahaja.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia milik semua warganegara Malaysia. Maka perlu ada rasa hak kepunyaan dan ketanggungjawaban daripada semua pihak.
* Mohd Nazim Ganti Shaari, pensyarah di Fakulti Undang-Undang, UiTM.
* Penulis berterima kasih kepada YB Dr Abdul Aziz Bari, Prof Andrew Harding, Prof Shad Saleem Faruqi, Prof Faridah Jalil, Prof Kevin Tan, Prof Thio Li Ann, Prof HP Lee dan Prof Yvonne Tew atas ilmu undang-undang perlembagaan yang telah mereka curahkan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.