https://critoxium.com/shop/

Terkini

Buatlah pilihan raya cepat, biar ramai mati, perli Dr Mahathir


DR Mahathir Mohamad “menggesa” Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengotakan janji mengadakan pilihan raya umum (PRU) selepas menang pilihan raya negeri Sabah.

Dalam tulisan bernada sinis di blognya, Dr Mahathir menyelar tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin yang memaksa pilihan raya negeri (PRN) Sabah dan menyebabkan pandemik Covid-19 menular teruk. 

“Kata pemimpin tertinggi, kalau menang, PRU akan diadakan.

“Jangan mungkir janji. Adakan PRU. Biar ratusan ribu dijangkiti.

“Biar lebih ramai mati,” tulis Dr Mahathir di blognya chedet.

Semasa kempen PRN Sabah, Muhyiddin memberi bayangan PRU15 akan diadakan lebih awal sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentuk oleh PN bersama Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang.

Katanya, pilihan raya negeri itu penting sebagai penentu masa depan negara.

“Di peringkat nasional kita belum putuskan bila mahu adakan pilihan raya… tetapi di Sabah kalau kita sudah menang… kita cepat-cepatlah adakan pilihan raya di peringkat pusat.

“Apa yang penting PRN Sabah ini, adalah isyarat yang kita dapat diperolehi sama ada rakyat menyokong Perikatan Nasional  atau rakyat mahu saya menjadi perdana menteri kerana kita mahu Malaysia bergerak maju ke hadapan dan kita mahu Malaysia berjaya.

“Salah satu cara untuk berjaya adalah terus bersama saya,” katanya.

GRS menang keseluruhan 38 kerusi dan mendapat dukungan tambahan tiga kerusi yang dimenangi calon bebas, sementara Parti Warisan Sabah dan sekutunya yang bergabung atas nama Warisan Plus pula menang 32 kerusi.

Bagaimanapun selepas pilihan raya negeri, kes jangkitan Covid-19 yang pada masa itu menular di Sabah merebak ke Semenanjung antaranya melalui ahli politik yang pulang selepas berkempen.

Beberapa pemimpin politik termasuk menteri dan timbalan disahkan positif Covid-19. Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor juga disahkan positif Covid-19 dan sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Menurut Dr Mahathir,  PRN Sabah tidak sepatutnya diadakan kerana sudah ada kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Tapi kerajaan pintu belakang Pusat berhasrat kuasai Sabah juga melalui pintu belakang.

“Untuk elak daripada ini berlaku, kerajaan Warisan terpaksa dibubar untuk adakan PRN,” katanya.

Pilihan raya itu memakan kos wang ringgit yang bukan saja tinggi tetapi penularan Covid-19 yang merebak ke Semenanjung, manakala “dari negeri yang selamat Sabah jadi kluster,” kata Dr Mahathir.

Semalam 561 kes jangkitan baharu Covid-19 dicatatkan di seluruh Malaysia, dengan 488 sahaja direkodkan di Sabah.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.