https://critoxium.com/shop/

Terkini

Henti manjakan rakyat dengan duit


SUATU masa dahulu, setiap langkah yang diambil pemain tengah pasukan Harimau Malaya, DATUK RAMLAN ASKOLANI di tengah padang digeruni pihak lawan. Kini sejak mengubah angin dengan melibatkan diri dalam politik pada 1991, nama beliau disebut-sebut pula sebagai harapan kepada warga Lembah Pantai untuk meneruskan perjuangan UMNO dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Kelincahan bekas pemain bola sepak kebangsaan itu dalam kerja-kerja kemasyarakatan bukan sahaja melayakkannya memegang jawatan penting dalam UMNO Lembah Pantai, malah beliau menjadi ‘johan’ dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut ekoran memiliki perwatakan seorang pemimpin yang mesra dan mudah didekati.

Mahu mendengar sendiri daripada mulutnya berhubung aduan penduduk mempertikaikan kepimpinan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Fadzil dalam menjaga kawasan Parlimennya, wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurugambar MUHAMAD IQBAL ROSLI menemu bual Ketua UMNO Lembah Pantai itu mengenai isu semasa dan pendekatan beliau dalam membantu mengatasi masalah di situ.

UTUSAN: Nama Datuk tidak asing lagi dalam arena bola sepak negara. Kenapa Datuk beralih angin dari seorang pemain bola sepak ke bidang politik?
RAMLAN: Saya memulakan karier sebagai pemain bola sepak sejak menuntut di Maktab Mahmud di Kedah pada 1979 hingga 1980 serta pernah bermain untuk pasukan Kedah.
Hanya selepas pulang ke ibu kota, saya meneruskan kerjaya dalam pasukan Kuala Lumpur sehingga 1990 dan sempat menyumbang bakti kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk satu musim sebelum mengambil keputusan bersara pada usia 31 tahun.

Walaupun masih aktif di padang, namun saya sudah mula berjinak-jinak dengan politik ketika mengikut Datuk Mohamed Kamal Hussain yang pada ketika itu bertanding sebagai wakil rakyat pada 1990.

Kemudian pada 1993, saya bertanding Jawatankuasa (AJK) Pemuda Bahagian dan menang di Lembah Pantai sehingga 2004. Selepas itu, saya mengikut Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil selama tiga penggal sebelum kalah kepada Nurul Izzah Anwar.

Saya juga pernah menjadi pegawai kepada Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang berperanan menjaga pembangunan dan perumahan di Lembah Pantai.
Kecederungan dalam politik terbit apabila mahu melihat kehidupan rakyat lebih terbela, malah darah politik itu sudah mengalir kerana mengikut jejak bapa.

Bagaimana Datuk melihat perbezaan UMNO dahulu dan kini setelah memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Lembah Pantai?
Hala tuju parti agak terumbang ambing dan tiada arah selepas kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Beberapa kali Raja Nong Chik meminta saya untuk mengambil alih jawatannya tetapi saya menolak. Saya juga berbincang bersama Timbalan Ketua UMNO bahagian, Tengku Zuhri Aziz, namun beliau turut mencadangkan saya untuk memegang jawatan sebagai ketua bahagian berdasarkan pengalaman serta mengetahui selok belok kehidupan rakyat.

Ia ibarat langit dan bumi jika mahu dibandingkan cara pentadbiran dan kewangan ketika Raja Nong Chik menjadi pemimpin di sini. Aliran kewangan agak terhad ketika saya memimpin tetapi tidak mematahkan semangat saya untuk terus menabur bakti.

Saya melihat kekangan Datuk untuk memimpin disebabkan faktor kewangan yang terbatas. Apakah pendekatan yang diambil agar rakyat masih tetap menerima bantuan yang diperlukan?

Saya lakukan yang mana termampu walaupun tidak semewah dahulu. Kita menggunakan kaedah baharu dengan membantu seadanya.

Ini kerana jika kita terlalu manjakan mereka dengan wang ringgit pun orang tidak boleh terima. Justeru, saya bantu seadanya. Jika mereka mahu menyokong, mereka akan tetap berpihak kepada kita secara ikhlas serta berdasarkan bantuan yang diterima dan pengajaran yang diperoleh sejak Lembah Pantai dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH).

Apakah kelemahan dalam pentadbiran PKR sejak memimpin Lembah Pantai?
Semasa Nurul Izzah memimpin pun saya mendengar tentang bantuan tidak sampai ke akar umbi terutama dalam membantu golongan yang susah dan memerlukan seperti B40.

Ketika zaman Ahmad Fahmi pula, ramai yang marah apabila ‘dikencing’ dengan janji-janji palsu seperti bantuan kepada golongan muda, rumah, bantuan kepada anak-anak yang melangkah ke universiti dan yang memerlukan bantuan kesihatan tidak sampai. Tiada bantuan yang luar biasa diberikan.

Ramai yang mengadu kepada saya. Malah untuk berjumpa Ahmad Fahmi juga agak sukar tanpa temu janji. Sebaliknya, rakyat mudah untuk bertemu saya tanpa syarat.

Apakah cabaran sepanjang menjadi Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai?
Sejak hilang kuasa pemerintahan agak sukar untuk saya membantu masyarakat kerana banyak permohonan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditolak. Oleh sebab itu, kami terpaksa memohon bantuan dari segi kesihatan atau perniagaan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ini kerana jika menggunakan kepala surat UMNO, pasti tidak dilayan.

Pandangan Datuk apabila BN mengumumkan untuk melakukan gencatan politik dan cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytihar darurat baru-baru ini?
Ia ada kebaikan dan keburukan tetapi bagi saya, pembubaran Parlimen adalah langkah paling tepat ketika ini kerana kedudukan politik negara yang tidak stabil sekiranya tiada penularan pandemik Covid-19.

Ini kerana sukar untuk membuat keputusan. Jika dahulu semasa BN memerintah, kita boleh membuat dasar-dasar dan bantu rakyat walaupun ada parti pembangkang. Ia tidak mendatangkan masalah.

Bagaimana pula dengan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Lagi susah. Sedangkan sekarang ini pun sukar, apatah lagi jika duduk semeja.

Terdapat ura-ura PRU-15 akan diadakan dalam masa terdekat, mungkin akhir tahun ini. UMNO sudah bersedia?
Kami sudah bersedia sejak dahulu lagi melalui penyerahan pelbagai bantuan kepada golongan yang memerlukan. Walaupun bukan seorang hartawan tetapi saya berjanji akan membantu sedaya upaya. Contohnya, isu penjaja di Taman Lucky yang akhirnya berjaya diselesaikan.

Daripada 26 orang penjaja, kini tinggal 20 penjaja yang aktif selain kawasan tersebut ditambah baik dari segi saluran dan lebih bersih. Juga disediakan kawasan rekreasi, tandas dan surau.

Bagaimana Datuk melihat peluang untuk merebut kembali Lembah Pantai?
Saya terlibat secara langsung dengan beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN). Dari situ kita melihat rakyat sudah kembali menyokong BN.

Ini mungkin berpunca daripada gelombang orang Melayu yang menyesal kerana mempercayai janji-janji ditaburkan oleh PH.

Rasanya 50 hingga 60 peratus manifesto yang kononnya diilhamkan oleh PH dicuri daripada idea BN seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi dijenamakan semula sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH). Begitu juga isu tol yang mahu dihapuskan, pengecualian pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan penurunan harga minyak tidak dilaksanakan.

Sementara kita kalah di Lembah Pantai ekoran elemen isu yang dimainkan oleh PKR pada ketika itu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Datin Seri Rosmah Mansor. Penduduk pada ketika itu mudah terpengaruh selain mengharapkan janji-janji daripada parti berkenaan.

Tetapi nampaknya mereka sudah mula sedar. Insya-Allah, ada perubahan pada pilihan raya umum akan datang kerana UMNO sudah mula mendapat sokongan daripada orang Melayu dan India.

Selain sebagai Ketua Pemuda Lembah Pantai, Datuk juga memegang jawatan Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan. Apakah harapan dan impian Datuk dalam memperkasa sukan di negara ini?
Saya berhasrat untuk membina kompleks sukan dengan fasiliti terbaik di Putrajaya bagi kegunaan atlet. Antara kemudahan yang akan disediakan termasuk perkhidmatan fisioterapi, air pancut mandian seolah-olah mengurut dan sebagainya.

Selain itu, saya mahu mengambil pemain import yang baik dengan bayaran gaji setimpal. Mahu jadi seperti pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) agak sukar kerana mereka mempunyai modal yang besar tetapi sekurang-kurangnya biarlah yang setimpal.

Saya lebih percaya jika menang perlu ada bonus dan inisiatif sebagai ganjaran kepada kerja keras mereka.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.