https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perancis sengaja undang bala


Oleh Mohammad Radzi Mohd Zin

Dalam kemeriahan menyambut Rabiulawal, bulan keputeraan baginda SAW, kita dikejutkan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo mahu menerbitkan semula karikatur Nabi Muhammad SAW.

Charlie Hebdo mahu menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad SAW, yang menjadi punca serangan penembak beragama Islam terhadap akhbar berkenaan pada 2015.

Dikatakan tindakan itu bagi menandakan bermulanya perbicaraan adik-beradik, Said dan Cherif Kouachi yang melakukan serangan bersenjata di pejabat akhbar itu di Paris. Seramai 12 orang termasuk beberapa kartunis terkemuka Perancis, maut dalam tragedi 7 Januari 2015 itu.

Menambah kemarahan umat Islam adalah tindakan Perancis yang tidak menghalang penyebaran karikatur tersebut. Ini dilihat sebagai tindakan pencerobohan terhadap kebebasan dan hak asasi umat Islam.

Ditambah dengan kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang ibarat mencurah minyak dalam api apabila beliau mendakwa orang Islam sebagai penganut fahaman pemisah dan menyifatkan Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Kita menyokong tindakan Kementerian Luar yang mengutuk perbuatan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam tidak kira dalam bentuk pidato populis atau penyebaran karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW yang berlaku di Perancis.

Demikian juga surat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan tindakan akhbar berkenaan.

Turki adalah sebuah lagi negara yang lantang mengecam tindakan itu. Presidennya, Recep Tayyip Erdogan ketika berucap dalam Program Pembukaan Minggu Maulid Nabi di Pusat Kongres dan Kebudayaan Nasional BeÅŸtepe di Ankara menggesa memboikot membeli barangan Perancis susulan serangan dan kenyataan Islamophobia oleh Macron.

Yang pasti, penganut agama apapun akan terguris perasaan mereka apabila agama mereka dihina. Inikan pula agama Islam, agama yang satu-satunya dijamin sebagai agama yang benar oleh Allah SWT. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam… (ali-‘Imran: 19)

Selain itu, mengapa dilakukan provokasi sedemikian rupa? Adakah ia suatu kebetulan atau sengaja dirancang pada bulan Rabiulawal. Walhal Islam tidak pernah mengajar umatnya bertindak agresif ataupun ekstrem waima kepada orang kafir.

Perancis persis mengundang bala dengan bertindak demikian walaupun menyedari ia menyakitkan hati 1.8 bilion umat Islam seluruh dunia. Nabi SAW adalah rasul yang diutus Allah sebagai rahmat ke atas sekalian alam. Amat tidak wajar dan tidak beradab bagi sesiapa yang menghina baginda SAW.

Dalam masa yang sama, Perancis juga berhadapan pandemik Covid-19. Statistik setakat semalam menunjukkan 1.23 juta rakyatnya dijangkiti Covid-19 dengan 35,785 angka kematian dan jumlah kes aktif sebanyak 1.08 juta orang.

Menurut laporan AFP, keluaran dalam negara kasar Perancis juga terbantut dalam suku keempat tahun ini yang menyaksikan penguncupan ekonomi sebanyak 9 peratus. Selain itu, kadar pengangguran juga dijangka meningkat kepada 9.7 peratus pada hujung 2020 berbanding 8.1 peratus hujung tahun lalu.

Tuduhan Macron ke atas Islam itu bukan sahaja tidak munasabah tetapi jelas double standard apabila mengaitkan Islam sebagai penganut fahaman pemisah dan menyifatkan Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Kes pembunuhan seorang guru lelaki di pinggir bandar Paris pada 27 Oktober lalu tidak boleh dijadikan kesimpulan mengeluarkan kenyataan sedemikian. Sebelum itu, mangsa didakwa memaparkan kartun merujuk sebagai Nabi SAW ketika mengendalikan subjek berkaitan kebebasan mengeluarkan pendapat.

Beberapa kumpulan utama mewakili masyarakat Islam di Perancis mengecam pembunuhan tersebut. Majlis Agama Islam Perancis (CFCM) berkata, pembunuhan itu adalah satu perbuatan jenayah dan tindakan mengaitkannya sebagai serangan pengganas Islam adalah tidak relevan sama sekali.

“Islam tidak menyokong malah mengutuk serta melarang umatnya melakukan keganasan. Apa pun alasannya, kami mengutuk keras pembunuhan itu,” menurut kenyataan CFCM di Twitter.

Dalam kejadian sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) itu, mangsa dipenggal berhampiran sebuah sekolah di Conflas Saint-Honorine kira-kira 30 kilometer (km) di barat daya Paris.

Tindakan provokasi ke atas Nabi SAW oleh Perancis juga pernah berlaku sebelum ini. Akaun rasmi Facebook Dewan Pemuda Pas Terengganu menyebut, semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II Han sekitar tahun 1876-1909 ada rancangan mengadakan persembahan teater yang diadaptasi daripada karya Voltaire. Ia bertemakan ‘Muhammad atau ketaksuban’ yang mengandungi penghinaan ke atas baginda SAW.

Ekoran itu, Sultan Abdul Hamid II memanggil Duta Besar Perancis yang berada di Istanbul dan melarang diteruskan teater tersebut. Tindakan itu menggagalkan usaha Perancis mengadakan program terbabit.

Bagi umat Islam, marilah kita bersatu dan menyokong usaha Turki dalam memboikot produk keluaran Perancis. Ini antara senjata untuk ‘mengajar’ pihak-pihak yang suka menimbulkan provokasi terhadap Islam.

Menyokong dan membantu menjayakan kempen ini sekurang-kurangnya menjadi jawapan kita di akhirat kelak apabila ditanya apa yang kita buat apabila melihat penghinaan ke atas Rasulullah SAW. Dalam masa yang sama, usaha dakwah kepada bukan Islam mesti diteruskan.

Kepada golongan yang mahu kekal kafir, kita katakan kepada mereka: “Bagi kami agama kami, bagi kamu agama kamu”.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.