Jangan sebar berita tidak sah - Lee Lam Thye
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu menahan keinginan berkongsi berita yang tidak disahkan menerusi platform media sosial seperti WhatsApp, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau
berkata sejak 2017 apabila pihak berkuasa mula memantau berita palsu,
11,000 aduan diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia.
"Portal
suruhanjaya itu Sebenarnya.my menerima tidak kurang daripada 203 juta
hit daripada orang awam yang bimbang sama ada item berita tertentu benar
atau palsu dan itu mungkin bukan mencerminkan keadaan sebenar. Antara
berita palsu yang disebar meluas ialah isu berkaitan kerajaan, jenayah,
kesihatan, penggunaan dan keselamatan," kata beliau dalam satu kenyataan
hari ini.
Lee berkata berita palsu juga
menghakis keyakinan terhadap media berita tradisional dan serius
contohnya surat khabar, radio dan televisyen.
"Ia
juga meletakkan beban tidak sepatutnya ke atas wartawan yang terpaksa
menapis dan mengesahkan kebenaran peristiwa itu sebelum menerbitkannya
sebagai berita benar. Ini merupakan beban yang tidak sepatutnya ke atas
mereka yang bekerja keras memastikan orang awam mendapat maklumat yang
betul," katanya.
Beliau berkata berita
palsu merupakan satu penyiksaan dalam kehidupan moden yang tidak akan
berakhir dalam masa terdekat dan apa yang penting orang awam tahu
bagaimana untuk hidup berhadapan dengannya dan tidak tertipu olehnya.
"Kami
sudah ada COVID-19, masalah ekonomi, perubahan cuaca dan isu-isu lain
yang memenuhi minda dan tenaga kami, tanpa perlu membazirkannya ke atas
berita palsu.
Jika berita itu bunyinya
pelik, semak dengan beberapa laman sesawang semakan fakta dalam
internet.
Bagi berita yang dihasilkan di Malaysia semak dengan
Sebenarnya.my dan apabila portal ini mengatakan berita itu palsu,
padamkannya serta-merta," kata beliau.
-- BERNAMA
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.